■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 581)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68
Menyumpah Musibah
….sambungan….
Penjelasan ringkas :
Musibah ke atas Rasul, Nabi dan Auliya Allah.
Musibah bagi Rasul, Nabi dan Auliya Allah adalah suatu bentuk Kasih Sayang Allah Ta'ala kepada mereka bagi meningkatkan Darjat mereka di Sisi-Nya.
Daripada sekian banyak manusia, hamba-hamba Allah yang paling berat menerima musibah adalah sekalian Utusan Allah. Mereka dimusuhi, dituduh sebagai ahli sihir, dituduh pemecah belah masyarakat, dituduh pelampau yang cuba merosak masyarakat, dituduh sebagai gila dan macam-macam lagi penghinaan dilemparkan kepada mereka.
Mengapakah mereka dimusuhi dan diperangi?
Cuba lihat Nabi kita yang mulia Sayyidina Muhammad ﷺ. Sebelum Junjungan Rasulullah ﷺ mendapat wahyu menjadi Nabi, Baginda terkenal sebagai Al-Amin, orang yang amanah, orang yang sangat mulia. Namun sebaik sahaja Baginda menjadi Nabi dan menyeru kaum Quraisy supaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa, dan tinggalkan sembahan kepada berhala, maka seluruh angkatan Quraisy bangkit memerangi Baginda. Mereka mencaci, menghina dan menuduh Baginda dengan berbagai panggilan buruk.
Mengapakah kaum Quraisy tiba-tiba menjadi ganas?
Apakah kesalahan Baginda?
Kaum Quraisy memusuhi Baginda kerana Baginda menyeru kepada "Tauhid". Baginda menyeru kepada hakikat _Ubudiyyah_ yang mutlaq. Golongan Quraisy memahami maksud Da'wah Rasulullah ﷺ.
Jika Baginda menyeru kaum Quraisy supaya masing-masing melakukan ritual peribadatan, sudah tentu masyarakat Quraisy akan menerima dengan lapang dada kerana mereka juga beribadat kepada patung-patung dewa Tuhan-tuhan mereka. Tetapi "Cahaya Tauhid" yang Baginda bawa bukan demikian, bukan ritual peribadatan yang telah menjadi amalan mereka. Tetapi ia adalah Kalimat Agung yang menggoncang kegelapan hati manusia jahil dan takabbur.
Meskipun para Rasul, Nabi dan Warisatul Anbiya menghadapi berbagai tentangan, halangan, cacian, fitnah dan ugutan, namun mereka tetap menyempurnakan Amanah Allah dan tidak berganjak sedikit pun daripada kebenaran.
Allah Ta'ala meningkatkan Darjat Kemuliaan mereka di Sisi-Nya atas kesabaran mereka menghadapi segala dugaan mendirikan Kalimah Allah atas muka bumi. Sesungguhnya mereka adalah Kekasih Allah yang tiada khuatir dan tiada ketakutan apa pun menghadapi makhluq.
Firman Allah :
أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
[Yunus (10) : Ayat 62]
Bersambung siri 582 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment