SIRI 324
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 5: Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah
Ciri-Ciri Penting Auliya Allah
(1) Mu’min Pilihan Allah
Pada pengertian umum, semua hamba-hamba Allah yang di-Kasihi-Nya adalah Auliya Allah. Maka Rasul dan Nabi adalah termasuk ke dalam pengertian Auliya Allah. Walau bagaimanapun apabila disebut Auliya Allah" secara khusus, maka ianya merujuk kepada Mu'min yang benar-benar bertaqwa kerana kedua-dua insan Pilihan Allah ini (Rasul dan Nabi) sudah pun mempunyai panggilan khusus masing-masing.
(2) Maqam Ma'rifat yang tinggi
Auliya Allah adalah mereka yang telah mencapai Maqam Tauhid yang tinggi atau Ma'rifat yang tinggi — iaitu mereka yang suci bersih hatinya daripada Syirik khafi (syirik di dalam hati), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) atau aghyar (sekalian suatu selain Allah). Mereka sentiasa berzikir dan abdikan diri kepada Allah Ta'ala zahir dan batin. Mereka berpegang teguh pada Allah dan Rasul-Nya dan menjunjung tinggi Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ sebagaimana yang kami telah bentangkan di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah lain.
(3) Berada di dalam Qubah Allah
Sekalian Auliya Allah berada di dalam "Qubah Allah", iaitu di dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Ta'ala. Mereka sentiasa berserta Allah dan tiada dukacita apa pun hal keduniaan.
(4) Hanya Wali Allah peringkat tinggi mengetahui kewaliannya
Kebanyakan Auliya Allah tidak mengetahui bahawa diri mereka Auliya Allah. Hanya Auliya Allah yang berada pada tingkat-tingkat yang sangat tinggi mengetahui bahawa diri mereka Auliya Allah dan juga dikenali Wali Allah yang lain di seluruh dunia. Walau bagaimanapun mereka tidak sesekali mendedahkan kewalian mereka kepada umum.
(5) Setiap Mursyid yang Siddiq adalah Wali Allah
Sekalian hamba Allah yang di-Pilih oleh Allah menjadi Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, adalah Auliya Allah. Namun mereka tidak dimasyhurkan sebagai Auliya Allah ketika mereka masih hidup. Gelaran Auliya Allah hanya dimasyhurkan ke atas mereka setelah kewafatan mereka. Ini adalah penjagaan agar gelaran "Mursyid" tidak disalah gunakan oleh Guru-guru palsu.
(6) Darjat tertentu
Auliya Allah mempunyai Darjat-darjat tertentu sesuai dengan Darjat Keimanan atau Tauhid yang mereka capai di dalam perjalanan mereka pada Jalan Ma'rifat. Mereka menanggung Amanah Kerasulan dan Kenabian atas muka bumi sesuai dengan Tingkatan masing-masing.
(7) Tersembunyi – disembunyikan oleh Allah
Umumnya Auliya Allah tidak dikenali kerana mereka tersembunyi di sebalik pakaian mereka yang zahir. Mereka hadir di kalangan manusia seperti manusia biasa-biasa sahaja. Walau bagaimanapun orang yang benar-benar beriman mampu mengenali mereka berdasarkan tanda-tanda yang wujud pada diri mereka.
(8) Amanah berbeza-beza
Sebahagian Auliya Allah diberi Kuasa mentadbir Dunia Ma'rifat, merekalah Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq. Sebahagian yang lain hanya melakukan Zikrullah dan Ubudiyyah terus-menerus tanpa henti. Mereka memenuhi bumi dengan Kalimah Allah dan Cahaya Tauhid.
Bersambung siri 325 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment