Saturday, April 25, 2026

SIRI 325


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 5:  Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah

Ciri-Ciri Penting Auliya Allah

sambungan....



(9) Diperkuat dengan Karomah

Ketahuilah.... Setengah daripada dugaan berat ke atas hamba-hamba Allah yang sedang mujahadah pada Jalan Allah adalah terjadinya berbagai Karomah Hissiyyah ke atasnya.  Mereka tersangat bimbang terkena Istidraj akibat memandang berbagai Karomah Hissiyyah.  Hal ini termasuklah mereka yang baru sampai ke Maqam Tauhid Zat kerana kedudukan mereka belum kukuh dan belum benar-benar tahqiq. 

Huraian kepada hal ini amat panjang.  Berikut disampaikan penjelasan secara ringkas sahaja:


Poin 1:  Pengertian Karomah


Dari segi bahasa:

Karomah (كَراَمَة) berasal dari kata karima atau Karoma (كَرَمَ) bermaksud: 

mulia, utama, kelebihan, keistimewaan.


Dari segi istilah:

Karomah (كَراَمَة) adalah kemuliaan Kurnia Allah kepada hamba-hamba Allah yang Di-Kasihi-Nya berupa Keimanan dan Ketaqwaan — yang ini disebut Karomah Ma'nawiyyah dan juga kemuliaan berupa hal-hal luar biasa yang melemahkan manusia daripada memperbuatnya — yang ini disebut Karomah Hissiyah.


Poin 2:  Perbezaan dan persamaan Karomah dengan Mu'jizat

Mu'jizat adalah Kemuliaan Kurnia Allah kepada Rasul dan Nabi sedangkan Mu'jizat adalah Kemuliaan Kurnia Allah kepada sekalian Auliya Allah.  Rasul dan Nabi diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan_Mu'jizat sementara Auliya Allah dan Mu'min sejati diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan Karomah dan Ma'unah.  Sekalian Mu'jizat, Karomah, Ma'unah adalah perkara-perkara luar biasa yang Allah Ta'ala jadikan kepada Kekasih-kekasih-Nya, yang mencengangkan aqal manusia dan melemahkan orang yang cuba memperbuat sepertinya, Kunci memahami hal ini: Karomah adalah dari Allah Ta'ala semata-mata, maka tiada campur tangan manusia atau jinn atau apa jua kuasa lain.                                                                                          


Poin 3:  Perbezaan Karomah  dengan Sihir

Allah Ta'ala menjadikan Karomah  di tangan para Auliya Allah sedangkan Sihir dijadikan di tangan ahli sihir, ahli nujum, bomoh, pawang dan lain-lain yang bersekutu dengan jinn syaitan.  Kebanyakan orang awam tidak dapat membezakan Karomah dengan Sihir kerana terjadinya kedua-dua hal ini kelihatan hampir-hampir serupa.  Sedangkan haqiqatnya kedua hal ini jauh beza antara langit dan bumi.  Karomah adalah Cahaya sedangkan Sihir adalah kegelapan!


Poin 4:

Karomah terbahagi dua:

(1) Karomah Haq — dari Allah.

(2) Karomah Batil — dari iblis, jinn, ahli sihir. 


Poin 5:

Karomah dari Allah terbahagi dua:

(1) Karomah Ma'nawiyyah 

(2) Karomah Hissiyah


Bersambung siri 326 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________

  MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 338 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...