Friday, October 25, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 552)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Kemusykilan 4:

Adakah termasuk larangan jika kami membeli rumah yang besar dan kenderaan kuat (kenderaan tahan lama) bertujuan untuk berdakwah (mengadakan Majlis Zikrullah, Majlis Solawat, pengajian kitab dan lainnya) dan juga untuk mendidik manusia pada jalan Allah?



Jawapan:

..................

 Rumah yang selesa dan luas serta kenderaan yang kuat adalah di antara kebaikan dunia yang membawa kepada kemenangan Akhirat.


Hadith Rasulullah ﷺ :

عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ


“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang jahat (perangainya), serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

[Imam Ibnu Hibban, Imam Ahmad, Imam Ath-Tabrani, Imam Al-Haakim, Imam Abu Nuaim]


Ringkasan pengajaran Hadith ini:

(1) Beberapa perkara duniawi yang menjadikan seseorang beriman memperoleh kebahagiaan dunia Akhirat.  Di antaranya Baginda menyebut: Tempat tinggal atau Rumah kediaman yang lapang  luas.  


(2) Maksud "Rumah yang lapang" di sini tidak semestinya rumah mewah. Tetapi memadai rumah yang tidak sempit sekira-kira mampu memberikan ketenangan kepada penghuninya. 


(3) Tempat tinggal yang lapang memberikan keluasan kepada ahli keluarga mendirikan solat, zikir dan ibadah lain dengan selesa. 


(4) Tempat tinggal yang lapang  dapat dimanfaatkan untuk perjumpaan ahli keluarga atau jiran-jiran atau sahabat handai bagi jalinan silatur-rahim.


(5) Tempat tinggal yang lapang banyak berfaedah bagi menyebarkan Da'wah dan Jihad (hati), antaranya mengadakan Majlis Zikrullah dan Majlis Ilmu.  Ramai sekali Ulama Soleh terdahulu menggunakan rumah kediaman mereka untuk sebarkan Ilmu Agama.  Di antara mereka yang sangat masyhur adalah Al-Imam Sulton Auliya Allah Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu yang mulakan Da'wah dan Tarbiyyah beliau di rumah beliau sendiri. Apabila pengikut beliau bertambah ramai, beliau besarkan lagi rumah beliau sehingga menjadi sebuah Madrasah bersambung dengan rumah beliau. 


(6) Kenderaan yang selesa, iaitu kenderaan yang teguh dan kuat amat bermanfaat untuk Da'wah, Jihad dan Silatur-rahim.  


(7) Rasulullah ﷺ dan para Sahabat  Baginda memiliki kuda yang sangat kuat dan pantas yang Baginda dan sahabat menggunakannya untuk Jihad Fi Sabilillah.  Dengan demikian memiliki kenderaan yang kuat dan pantas bukan suatu kemewahan sebaliknya merupakan keperluan bagi orang-orang beriman menunaikan Haq-Haq Allah Ta'ala. 


Dengan penjelasan ringkas ini, kita dapat memahami... usaha sungguh-sungguh memperoleh kediaman yang luas lapang dan kenderaan yang baik dan teguh tidak termasuk bermegah-megah dengan dunia.  Sebaliknya ia adalah keutamaan bagi orang beriman.  Mereka menyimpannya bukan untuk mencari keseronokan nafsu dunia, sebaliknya berusaha sekuat mungkin menunaikan Haq Allah demi mencari Keredhaan Allah. 


Bersambung siri 553  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

______________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 551)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Kemusykilan 3:

Adakah semua jenis perhiasan duniawi termasuk ke dalam kategori "bermegah-megah dengan dunia"? 


Jawapan:

..................


Asal hukum menghias diri dengan pakaian yang indah (baju, jubah, serban dan lainnya) Kurniaan Allah atau hiasi rumah, taman, pejabat dan lainnya dengan perhiasan-perhiasan yang memberikan kelapangan hati adalah harus berserta syarat-syaratnya.  


Firman Allah:


قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِىٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِ‌ قُلۡ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةً۬ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ كَذَٲلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَعۡلَمُونَ


"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang di-Kurniakan-Nya?  Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari Qiamat.  Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui."

[Al-A'raf (7) : Ayat 32]


Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Indah dan Dia suka yang indah-indah.


Rasulullah ﷺ  bersabda:


إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ


"Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan"

[Imam Muslim]



Hadith Rasulullah ﷺ :

"Seseorang menemui Rasulullah ﷺ  dengan mengenakan pakaian yang telah usang, maka Baginda bertanya kepadanya: "Apakah engkau memiliki harta?" dia menjawab, "Tentu wahai Rasulullah".  Baginda bertanya lagi: "Apakah harta itu?" dia menjawab, "Allah telah memberiku unta, kambing, kuda dan budak."  Lantas Baginda bersabda: "Jika Allah telah memberikan harta kepadamu maka perlihatkanlah kesan Nikmat dan Kemuliaan yang Allah Kurniakan kepadamu."

[Imam An-Nasai]


Ertinya tidaklah semua jenis perhiasan duniawi itu dikatakan bermegah-megah dengan dunia.  Sebahagian perhiasan bersifat duniawi diharuskan dengan beberapa syarat sesuai dengan ruh Agama. 

Jika dibuat penilaian menurut neraca perbincangan tajuk di sini, perhiasan yang dilarang sehingga dikatakan bermegah-megah dengan dunia adalah:


(1) Perhiasan berlebihan dari kadar yang patut.

(2) Menghiasi rumah, kenderaan, atau lainnya dengan perhiasan-perhiasan di luar kemampuan hanya sekadar menunjuk-nunjuk. 

(3) Sibuk habis wang dengan perhiasan-perhiasan tetapi abaikan faqir miskin. 

(4) Wanita berhias diri untuk lelaki ajnabi. 


Bersambung siri 552  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

______________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, October 24, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 550)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Kemusykilan 2:

Apakah syarat-syarat sesuatu pekerjaan yang asalnya harus dan berupa duniawi menjadi Ibadah kepada Allah?

Apakah garis ukuran dan batasannya?

Apakah penentuannya?  

Apakah tanda-tandanya?


Jawapan:

Sesungguhnya hal ini amat rumit. 

Kebanyakan orang awam tidak dapat memahaminya dengan benar.  Adakalanya seseorang menyangka sesuatu hal dunia yang diperbuatnya itu benar dan terpuji, sedangkan ianya bertentangan dengan Kehendak Allah.  Pada ketika yang lain dia menyangka sesuatu hal itu sebagai dunia yang dicela sedangkan ianya terpuji.  Mari kita melihat sebahagian dari keterangan berkenaan dengan hal ini.


Syarat bagi sesuatu pekerjaan "dunia" menjadi Ibadah atau perkara terpuji  yang di-Redhai Allah adalah:


(1) Niat ikhlas kerana Allah, mencari Keredhaan-Nya.

Ini syarat utama dan pertama. Setiap perkara berupa "dunia" atau "keduniaan" akan menjadi Ibadah dan kebajikan apabila dilakukan semata-mata ikhlas mencari Keredhaan-Nya.  Walau bagaimanapun waspada!  Tidaklah memadai niat yang baik ini terhenti di dalam hati semata-mata, melainkan perlakuan dan tindakannya juga wajib menepati Kehendak dan Ketentuan Allah Ta'ala. (lihat syarat no. 2)


Ertinya jika seseorang ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah tetapi pada masa yang sama perlakuannya bertentangan dengan Kehendak Allah, maka ini batil.  Tindakan seperti ini BUKAN Ibadah sebaliknya kembali kepada "dunia yang tercela".  


(2) Perlaksanaannya sesuai dengan hukum Syara' (menepati pertimbangan Ahlus Sunnah).   Ini bermaksud "setiap niat yang baik dan ikhlas" WAJIB disertai dengan "cara" atau "kaedah" yang menepati hukum Syari'at (Ahlus Sunnah yang benar).


(3) Syukur kepada Allah yang Mengurniakan berbagai Ni'mat dan Rahmat dari Sisi-Nya. Ertinya setiap hamba Allah hendaklah melihat dari dalam hati bahawa semua kebaikan yang diperbuatnya itu adalah Kurnia dan Rahmat Ilahi kepadanya.... BUKAN kerana kebaikan dirinya atau kerana kebijaksanaannya atau kerana kehebatan pengetahuannya. 


(4) Hasil daripada apa yang diperbuatnya itu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan kehidupan di dunia yang membawa kepada Akhirat. 


(5) Tidak abaikan kewajipan-kewajipan fardhu.

Ketika melakukan pekerjaan dunia yang umum tersebut, jangan sesekali abaikan kewajipan Ibadah khusus seperti Solat, Zikrullah dan lain-lain.


Jika seseorang menepati syarat-syarat tersebut di atas ketika membangun, mengolah, memakai perkara-perkara yang bersifat duniawi, maka ia tidaklah dikatakan "dunia" tetapi tergolong perkara "Akhirat" yang terpuji yang membawa kepada Keredhaan Ilahi.


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Jika engkau melihat dunia (perhiasannya), palingkanlah pandanganmu dari keindahannya.  Tutuplah hidungmu dari semerbak syahwat dan kelazatannya, agar engkau selamat dari malapetaka yang akan ditimpakannya.  Dengan demikian engkau akan dapat bahagian duniamu tanpa membuatmu terpedaya."

[Adab As-Suluuk]


Bersambung siri 551  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

______________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 549)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Kemusykilan dan Jawapan

====================


Kemusykilan 1:

Adakah " pekerjaan dunia" dicela secara keseluruhan?


Jawapan:

Menurut pegangan Ahlus Sunnah, "pekerjaan dunia" tidak tercela keseluruhannya. Bahagian Dunia yang tercela adalah juzuk dunia yang menjauhkan manusia dari ingat Allah (lalai hati dari Zikrullah), menjauhkan manusia dari Perintah Allah, melibatkan diri ke dalam kemungkaran, kefasikan, kemunafikan, kesesatan dan kekafiran.  Semua ini tercela dan dilaknat.


Sedangkan setiap "pekerjaan dunia" yang mendekatkan diri kepada Allah, Zikrullah, Mengenal Allah (Tauhid hakiki) dan Ubudiyyah tulus ikhlas kepada Allah, maka semua ini bahagian "pekerjaan dunia" yang terpuji serta masuk ke dalam Keredhaan Allah.


Firman Allah:


وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)


"Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran (3).”

[Al-Asr (103) : Ayat 1-3]


Firman Allah:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan Jinn dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

Makna  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun)  pada ayat di atas adalah " يعرفون "  (ya'rifun)  iaitu Mengenal Allah (di dalam pengertian mendalam disebut Ma'rifat).   Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan pengertian ini. 

[Tafsir Ibn Abbas]


Rasulullah ﷺ bersabda:


 الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرَ اللَّهِ تَعالى وَمَا وَالاَهُ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا


“Dunia ini terlaknat, terlaknat apa yang ada di dalamnya, melainkan Zikrullah dan yang mengikutinya atau orang alim yang mengajar atau mereka yang belajar."

[Imam Tirmizi]  


Menurut penjelasan Ahli Ma'rifat, Zikrullah yang  dimaksudkan adalah Zikir yang bawa Mengenal Allah (Tauhid hakiki, Iman sejati), Zikir yang hapuskan kesyirikan dan mazmumah dalam hati, Zikir yang menerbitkan cahaya Rabbaniyyah dalam hati, Zikir yang menerbitkan Cahaya Iman, Cahaya Tauhid yang suci murni menurut Sistem Tarbiyyah yang diwarisi turun-temurun daripada Rasulullah ﷺ oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.


Firman Allah:


أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌


“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]



Ringkasnya:


1. Pekerjaan dunia tidaklah tercela sekaliannya. 


2. Bahagian dunia yang tercela dan dilaknat adalah pekerjaan yang melalaikan dari Mengingat Allah, pekerjaan yang menjurus kepada kekufuran, kefasikan dan kesesatan.


3. Bahagian dunia yang membawa kepada Zikrullah, mendekatkan diri kepada Allah dan Mengenal Allah serta Ubudiyyah adalah pekerjaan dunia yang terpuji serta memperoleh Redha Allah dan Kasih-Nya.


Bersambung siri 550  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

______________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 548)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



(4)  Tak mampu Tunaikan kewajipan sebagai orang beriman

Apabila kamu habiskan masa berlumba-lumba dengan orang lain mencari kemegahan dan kekayaan kamu akan abaikan Ibadah Solat dan kewajipan lain.  Kamu tiada masa untuk berzikir, mendirikan Solat dan kewajipan lain kerana terlalu sibuk mengurus harta yang bertimbun.   


Setengah mereka beranikan diri dengan berkata begini:  "Umur masih muda, bila dah tua aku carilah masjid untuk ibadat banyak-banyak.”  Hujjah yang zahirnya kelihatan hebat.  Tetapi itu semua tipu daya nafsu dan Iblis.  Panggilan kubur datang menyapanya dahulu sebelum mencapai "hari tua".  Wal Iyazubillah.



(5)  Tiada Ketenangan Hidup

Orang yang habiskan masa berlumba-lumba mencari kehebatan duniawi tak pernah tenteram hidupnya kerana sentiasa memikirkan bagaimana menambah-nambah kekayaannya dan bagaimana tewaskan pesaing-pesaingnya.



(6) Kufur Ni'mat Allah

Orang yang berlumba-lumba mencari kekayaan dan kemegahan akan kufur Ni'mat Allah.  Dia tak mempunyai masa untuk bersyukur Ni’mat yang telah di-Kurniakan disebabkan kesibukannya mencari kekayaan dan kenikmatan baru.



(7) Hilang keberkatan Hidup

Kebanyakan kita akan berfikir dan berkata:  “Untungnya orang yang kaya-raya, mewah hidupnya dan tak perlu susah-payah macam kita yang miskin.” Yang benar adalah : Orang yang tamak adalah orang sebenar-benar miskin dan faqir kerana tak pernah merasa cukup.  Orang yang tak merasa cukup itulah sebenar-benar miskin.  Pengertian lain membawa maksud : Telah hilang keberkatan hidupnya.   


Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Jauhilah sifat tamak kerana sesungguhnya tamak adalah suatu kefakiran (tersangat miskin) yang nyata. ” 

[Imam Bukhari]



(8) Penyakit berpanjangan

Sebahagian daripada mereka mengalami kesakitan yang berpanjangan.  Lazimnya mengalami penyakit-penyakit misteri yang tiada rawatan.  Mereka habiskan wang puluhan ribu atau ratusan ribu mencari rawatan.



(9) Bebanan berat Pada Hari Perhitungan

Setengah daripada asbab seseorang tertahan lama di Mahsyar adalah kerana hartanya yang banyak ketika hayatnya.  Setiap inci harta yang dihimpunkan dan dibelanjakan akan dihitung satu persatu.  Orang yang melakukan kebaikan pun akan dihitung dan tertahan lama. Apa lagi orang yang melakukan dosa-dosa besar —  dosa bakhil, tamak dan dosa-dosa lain.  Alangkah baiknya mereka sedekahkan kebanyakan harta tersebut dan tinggalkan sebahagian yang memadai bagi anak-anaknya.  


(10)  Istidraj

Kebanyakan orang yang menghimpun kekayaan untuk dirinya dan abaikan Haq Allah dan haq makhluq,  menyangka mereka orang kesayangan Allah.  Sedangkan hakikatnya segala Ni’mat yang mereka kecapi menjadi _istidraj_, iaitu Pemberian Allah di dalam Kemurkaan-Nya.  Wal Iyazubillah. 


Firman Allah:


وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ 


Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui.

[Al A'raf (7) : Ayat 182]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Apabila kamu melihat bahawa Allah Ta’ala memberikan Ni’mat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (derhaka, abaikan kewajipan, buat dosa besar ), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

[Imam At-Thabrani, Imam Ahmad dan Al-Baihaqi)


Moga Allah Ta'ala selamatkan kita semua dari tipu daya nafsu, syaitan, dunia dan makhluk yang membawa kebinasaan dunia Akhirat.


Bersambung siri 549  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 547)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Akibat Berlumba-lumba,

Bermegah dengan dunia

=======================


(1) Sekutukan Allah — Syirik khafi

Setiap orang Islam yang berlumba-lumba mencari-cari timbunan kekayaan, harta benda, wang ringgit, kuasa politik, kuasa ekonomi, pangkat, kedudukan dan kemasyhuran.... tidak terlepas dari dosa besar Syirik khafi. Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi, syirik dalam hati, sekutukan Allah dalam hati, Syirik halus yang amat halus dalam hati.  Sifatnya tersangat halus daripada yang halus, sehingga digambarkan oleh Rasulullah ﷺ sebagai "semut hitam, merayap di atas batu hitam di malam yang kelam.


Rasulullah ﷺ bersabda:

" Syirik yang dilakukan ummatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar.”

[Imam Al-Hakim]

 

Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah Syirik kecil (syirik khafi), riya'.  Pada hari Qiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman; "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia.  Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" 

[Imam Ahmad] 


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya yang paling aku takuti dari apa yang aku takuti atas ummatku ialah : riya’ dan nafsu syahwat tersembunyi, di mana ia lebih tersembunyi dari merangkaknya semut hitam di atas batu besar yang hitam pekat di malam yang kelam (sangat gelap).”

[Imam Ibnu Majah]


Baginda gambarkan dosa Syirik khafi terlebih sembunyi dari merangkaknya semut hitam di atas batu besar yang hitam pekat di malam yang kelam (sangat gelap) — menunjukkan dosa besar yang sangat tersembunyi sehingga sebahagian besar orang Islam tidak menyedari mereka jatuh ke dalamnya.  Wal 'Iyazubillah.


Bagaimanakah dikatakan mereka yang berlumba-lumba mencari keduniaan dan bermegah-megah dengannya boleh terjatuh ke dalam Syirik Khafi?.  

Jawapan:

Mereka yang berlumba-lumba mencari keduniaan dan bermegah-megah dengannya menjadi orang yang sangat sombong, takabbur, besar kepala, 'ujub, riya', sum'ah, rasa diri lebih hebat dari orang lain serta hinakan orang yang kurang berada dan miskin. 


Semua perlakuan ini adalah Syirik khafi — Syirik yang batalkan amal dan rosakkan Iman.  Penjelasan lengkap darihal Syirik khafi (syirik tersembunyi) ini, bagaimana ia muncul dalam hati seseorang secara sangat halus, tanda-tanda mengenalnya dan cara-cara hapuskannya sehingga dia selamat dari Kemurkaan dan Azab Allah... telah pun kami huraikan pada awal kitab ini. Sila rujuk. 


(2) Menjadi orang bakhil dan tamak

Orang yang bercita-cita menghimpun kekayaan dan bermegah-megah dengannya lazimnya akan menjadi bakhil dan berserta dengannya sifat tamak, rakus dengan dunia. 


Firman Allah:


وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا  يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ  وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون


"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik.  Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa.  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

[Al-Baqarah (2) : Ayat 96]


(3) Menjadi zalim, jahat, fasiq

Hartawan, jutawan, Raja, Sultan, Pemerintah-Pemerintah yang bermegah dengan dunia dan Kuasa yang dimiliki ... menjadi orang yang zalim — menindas, menyakiti, bahkan sampai ke peringkat membunuh sewenang-wenangnya.  Mereka ini dikuasai nafsu buas dan Syaitan.


Bersambung siri 548 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Tuesday, October 22, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 546)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Punca 5: Lupa bahawa Harta yang banyak jadi bebanan di Akhirat

Orang yang berlumba-lumba mengumpul kekayaan lupa bahawa harta yang banyak menjadi bebanan pada Hari Perhitungan, ketika setiap hartanya dihitung satu persatu.  Makin banyak hartanya, makin lama masa hitungannya. Ertinya orang ini lupa bahawa harta yang banyak akan menjadi bebanan berat. 


Firman Allah:


أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ  حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ  كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ  ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ


"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal ibadah dan kebajikan) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan kedudukan), sehingga kamu masuk kubur.  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat buruk yang akan menimpamu sewaktu kematian kamu).  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Qiamat)!"

[At-Takathur (102) : Ayat 1,2,3,4]


Rasulullah ﷺ  bersabda:


لَا تَزُوْلُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلَاهُ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيْمَا عَلِمَ.


“Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam di hari Qiamat dari sisi Tuhan-Nya, hingga dia ditanya tentang lima perkara, iaitu,  tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan ke mana dia belanjakannya dan tentang Ilmunya, bagaimana dia amalkan.” 

[Imam At-Tirmizi, Imam Ath-Thabrani]



Punca 6: Lupa kematian itu bila-bila masa

Hal ini juga merupakan punca yang sangat lazim bagi kebanyakan manusia.  Mereka lupa bahawa mereka akan mati pada bila-bila masa.  Mereka lupa bahawa ketika mati mereka tidak akan membawa sebarang harta kekayaan bertimbun yang mereka telah himpunkan melainkan harta paling murah — hanya helaian kain putih yang membalut tubuhnya. 


Firman Allah:


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ 


Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

[Al-A'raf (7) : Ayat 34]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

Seseorang bertanya kepada Rasulullah ﷺ, "Ya Rasulullah, mukmin manakah yang paling utama?" Baginda menjawab, "Yang paling baik akhlaqnya di antara mereka." "Mukmin manakah yang paling bijak?", tanya lelaki itu.  Baginda menjawab, "Orang yang paling banyak mengingat mati dan paling baik persiapannya untuk kehidupan setelah mati. Mereka itulah orang-orang yang bijak."

[Imam Ibnu Majah, Imam At-Thabrani]


Bersambung siri 547 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 545)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Punca bermegah-megah,

berlumba-lumba himpun

kekayaan dunia

=======================


Punca manusia gemar bermegah-megah dengan dunia dan berlumba-lumba mencari dunia amat banyak, tetapi dihimpunkan menjadi beberapa sebab berikut:


Punca 1:Tak ingat Allah — hati lalai dari Zikrullah

Orang Islam yang lalai dari ingat Allah atau di dalam kata lain lalai dari Zikrullah, maka dia akan terdorong perbuatan yang bertentangan dengan Kehendak Allah. Di antara perbuatan yang bertentangan dengan Kehendak Allah adalah berlumba-lumba mencari kekayaan dunia dan lupakan Akhirat.  Mereka akan menjadikan dunia sebagai matlamat hidup.


Apabila hati seseorang lalai dari Zikrullah, empat macam _Afaat_ akan menguasai hatinya — nafsu, syaitan, dunia dan makhluq.  Orang awam tak mampu melepaskan diri dari cengkaman kejahatan ini.  Inilah di antara sebab diperintah amalkan Toriqat (Tasawwuf) melatih hati dengan Zikrullah supaya hati kekal Zikrullah pagi, petang, siang dan malam.



Punca 2: Nafsu yang tak pernah puas

Orang yang lemah Imannya akan sentiasa tewas kepada dorongan nafsu tak pernah puas dengan Pemberian Allah. Mereka akan sentiasa berkejaran mencari dunia dan mengumpulkannya.  Hanya kematian mampu hentikannya.


Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Andai anak Adam diberi emas satu lembah, ia ingin mendapat dua lembah.  Tidak ada yang dapat membungkam mulutnya selain tanah, dan Allah mengabulkan taubat hamba-Nya yang bertaubat”. 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



Punca 3: Ingin hidup selamanya

Keinginan untuk hidup lama menjadikan seseorang berlumba-lumba mencari kekayaan dan menghimpunnya, seolah-olah dia takkan mati.


Firman Allah:


وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا  يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ  وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون


"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik.  Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa.  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 96]



Punca 4: Lupa kisah Ummat terdahulu yang binasa

Mereka lupa akan kesudahan Ummat terdahulu yang binasa — mati di dalam kekafiran akibat berlumba-lumba mencari kekayaan dan kemegahan.


Rasulullah ﷺ  bersabda:

 " Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian.  Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlumba sebagaimana mereka berlumba, dan akhirnya kalian binasa sebagaimana mereka binasa.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Bersambung siri 546 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 544)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Contoh 3 :Bermewah-mewah dan megah dengan kekayaan tetapi bakhil — enggan belanja harta pada fi sabilillah

Setengah hartawan sanggup bermewah-mewah, rumah bungalow, kenderaan-kederaan mewah, serta habiskan duit ratusan ribu untuk hiburan dan bermegah-megah dengannya, namun sangat bakhil untuk membelanjakan sebahagiannya kepada fi sabilillah dan faqir miskin. 


Firman Allah:


وَلاَ يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآءَاتَاهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُمْ بَلْ هُوَ شَرُّ لَّهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَللهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضَ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ


“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.  Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka.  Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak pada hari Qiamat.  Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi.  Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

[Ali Imran (3) : Ayat 180]



Contoh 4: Berlumba-lumba membina bangunan tinggi-tinggi

Pada hari ini berbagai negara Islam berlumba-lumba mendirikan bangunan paling tinggi di dunia.  Pada pendapat mereka ia merupakan kebanggaan dan kemegahan Islam sedangkan ia adalah tanda-tanda kebinasaan.


Kisah kaum 'Aad


Ini adalah kisah kaum 'Aad yang leka, lalai, tenggelam di dalam kemewahan dan kekayaan dunia serta lupa kepada Allah, bermegah-megah dengan pembangunan negara yang serba maju, megah dengan kekuatan dan kekuasaan....  akhirnya menerima kebinasaan akibat kekafiran mereka.  Wal Iyazubillah.


Kaum 'Aad adalah generasi keempat keturunan Nabi Nuh Alaihis Salam.  Mereka tinggal di Jazirah 'Arab di bahagian utara Hadramaut, Yemen.   Allah Ta'ala Mengurniakan kekayaan dan kemewahan melimpah ruah kepada kaum 'Aad.  Mereka hidup senang-lenang dan makin lupa kepada Allah Ta'ala.  Segala Ni'mat dunia berupa bangunan mewah, makanan yang mewah, kebun-kebun subur yang terbentang luas menjadikan mereka kufur.  Akibatnya Allah Ta'ala menurunkan 'Azab yang berat dengan angin kencang yang amat sejuk melanda kaum 'Aad sehingga mereka mati bagaikan kayu yang reput.


Firman Allah:


وَأَمَّا عَادٌ۬ فَأُهۡلِڪُواْ بِرِيحٍ۬ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٍ۬ (٦) سَخَّرَهَا عَلَيۡہِمۡ سَبۡعَ لَيَالٍ۬ وَثَمَـٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومً۬ا فَتَرَى ٱلۡقَوۡمَ فِيہَا صَرۡعَىٰ كَأَنَّہُمۡ أَعۡجَازُ نَخۡلٍ خَاوِيَةٍ۬ (٧) فَهَلۡ تَرَىٰ لَهُم مِّنۢ بَاقِيَةٍ۬


"Adapun 'Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.  Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompong.  Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?”

[Al-Haqqah (69) : Ayat 6-8 ]


Rasulullah ﷺ  bersabda:


وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ یَتَطَاوَلُوْنَ فِي الْبُنْیَانِ،


"Dan jika kamu melihat orang yang sebelumnya tidak beralas kaki dan tidak berpakaian, miskin dan penggembala domba, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunan.”

[Imam Muslim]



Contoh 5: Ahli politik  berlumba-lumba mencari kuasa, pangkat dan kedudukan

Ahli politik dan orang-orang yang  berkecimpung di dalam pemerintahan negara menjadi "gila kuasa".  Jika mereka belum berkuasa, mereka akan menagih kuasa.  Jika sudah ada kuasa, mereka ingin menambah kuasa lagi, kemudian bermati-matian untuk menambah lagi dan menambah lagi sampailah saling berbunuhan untuk memperolehnya.


Bersambung siri 545 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 543)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Contoh-contoh:

============


Contoh 1:  Berlumba-lumba cari dunia dan kemegahan sehingga abaikan kewajipan solat

Barangkali inilah yang paling banyak terjadi di kalangan ummat Islam ; sama ada mereka orang Islam awam atau orang Islam berpangkat, pegawai-pegawai tinggi dan penguasa-penguasa negara.  Pada pegangan mereka solat boleh dilambat-lambatkan atau diabaikan terus, yang penting bagi mereka adalah wang ringgit dan harta kekayaan.  Wal Iyazubillah.  Sedangkan Rasulullah ﷺ telah berikan amaran!


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Batas pemisah di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim]

 


Contoh 2:  Berlumba-lumba himpunkan kekayaan, tetapi enggan bayar zakat

Hal ini terjadi kepada orang-orang yang Allah Ta'ala Kurniakan keluasan harta atau lebih dari itu sehingga menjadi kaya-raya, jutawan dan  hartawan.  Mereka kumpulkan kekayaan sebanyak-banyaknya dan mendakwa semua harta kekayaan mereka adalah milik mereka sendiri. 


Perbuatan ini sama seperti Qarun yang telah berlalu kisahnya.  Meskipun dia menimbunkan harta kekayaannya, sombong dengan kekayaannya, mengaku harta kekayaannya sebagai miliknya sendiri, namun semua kekayaannya yang bergedung-gedung tak mampu selamatkannya dari 'Azab Allah ; menerima azab di dunia dan azab di Akhirat.  Wal Iyazubillah.


Orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat menyangka perbuatan mereka sebagai suatu keuntungan kerana mereka tak perlu keluarkan harta mereka.  Sedangkan mereka tidak menyedari mereka sedang memakan harta yang haram —  haq faqir miskin dan api neraka.  Wal Iyazubillah.


Firman Allah:


يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّ كَثِيراً مِّنَ ٱلأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلاَ 

يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ يوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَـٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ 


"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam).  Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahanam (enggan bayar zakat), lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu."

[At-Taubah (9) : Ayat 34-35]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Sesiapa yang di-Kurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Qiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya.  Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”

[Imam Bukhari ]


Bersambung siri 544 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Sunday, October 20, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 542)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Dalil 3: Firman Allah:

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ ٢٠


"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.  Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan Ampunan dari Allah serta Keridhaan-Nya.  Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu..” 

[Al-Hadid (57) : Ayat 20 ]


Dalil 4: Firman Allah:


وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا  يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ  وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون


"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik.  Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa.  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 96]


Dalil 5: Sabda Rasulullah ﷺ:

"Sungguh orang-orang yang banyak harta akan menjadi sedikit pada hari Qiamat, kecuali yang diberikan kebaikan oleh Allah padanya dengan harta tersebut lalu dia memberikannya serta membuat kebajikan dengan harta tersebut ke kirinya, kanannya, hadapannya serta belakangnya dengan baik.”

[Imam Bukhari]


Dalil 6: Sabda Rasulullah ﷺ:

“Hamba Allah selalu mengatakan, ‘Hartaku, hartaku’, padahal hanya dalam tiga soal saja yang menjadi miliknya iaitu apa yang dimakan sampai habis, apa yang dipakai hingga rosak, dan apa yang diberikan kepada orang sebagai kebajikan.  Selain itu harus dianggap kekayaan yang hilang yang ditinggalkan untuk kepentingan orang lain.” 

[Imam Muslim]


Dalil 7: Sabda Rasulullah ﷺ

لَوْ كَانَ لاِبْنِ اَدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى اِلَيْهِ ثَانِيًا وَلَوْ كَانَ وَادِيَانِ لاَبْتَغَى لَهُمَاثَالِثًا وَلاَيَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ اَدَمَ اِلاَّالتُّرَابُ وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. رواه الشيخان واحمد والترمذى عن انس


“Andaikata seorang anak Adam telah memiliki harta benda sebanyak satu lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki dua lembah.  Dan andaikata dia memiliki dua lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki tiga lembah.  Memang tidak ada sesuatu yang dapat memenuhi keinginan anak Adam melainkan tanah (mati), dan Allah akan menerima taubat bagi mereka yang bertaubat.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Tirmizi]


Bersambung siri 543 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 541)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Penjelasan Tambahan bagi dua Dalil Al-Qur'an:

Dua dalil Al-Qur'an di atas ;  Surah At-Takathur: ayat 1-8 dan Surah Al-Qasas: ayat 76 sudah lebih dari cukup untuk menerangkan Tajuk yang dibicarakan di sini.  Kedua-dua ayat ini memiliki kekuatan luar biasa bagi menjelaskan pengertian Tauhid sejati dan bahaya terjerumus ke dalam kesyirikan dan kekufuran.  Mari kita lihat beberapa hujjah yang berupa amaran dan peringatan penting daripada Firman Allah ini.


(1) Terjemurus ke dalam kesyirikan - Syirik Khafi, syirik tersembunyi dalam hati, sekutukan Allah dalam hati.


Kaum Nabi Musa yang benar-benar beriman kepada Allah berkata: 

"Janganlah engkau bermegah-megah dengan harta kau, jangan kau sombong takabbur dengan harta yang engkau miliki.  Jangan engkau persekutukan Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang banggakan diri dan sombong dengan hartanya."


Apa yang mereka maksudkan dengan ungkapan:  "jangan kamu sekutukan Allah (syirik)?"  

Adakah maksud orang-orang Soleh itu syirik jali ? (Syirik sembah berhala) ?  

Adakah mereka menegur Qarun sebagai syirik kerana Qarun sembah berhala?


Tidak!

Mereka bukan maksud demikian kepada Qarun sebagai sembah berhala.  Ini kerana Qarun pada waktu itu beriman kepada Allah dan Nabi Musa Alaihis-Salam.  Tak mungkin orang beriman kepada Allah dan Rasul meletakkan "berhala fizikal" di hadapan mereka ketika mereka beribadah kepada Allah...!  Jika demikan apakah maksud mereka menegur Qarun supaya janganlah kamu sekutukan Allah?"


Kebanyakan orang awam yang membaca ayat-ayat Allah berkenaan "Syirik yang dilakukan oleh orang Islam" sebagai "Syirik Jali" (syirik sembah berhala) sedangkan maksud sebenar adalah "Syirik khafi" — Syirik dalam hati — sekutukan Allah dalam hati.  Akibat dari pemahaman yang salah ini, mereka seringkali memandang enteng sahaja pada perkataan "Syirik" kerana mereka menyangka ia bermaksud kepada orang kafir musyrik.  Mereka menyangka Amaran Allah itu tiada kena mengena dengan mereka.  Kebanyakan orang Islam awam tertipu dengan sangkaan ini. 


Sesungguhnya yang Allah maksudkan dengan ungkapan "jangan syirik" atau "jangan sekutukan Allah dalam Ibadat" adalah bermaksud "Syirik dalam hati" (syirik khafi), bukan Syirik Jali.  Ertinya orang-orang Islam yang awam yang melakukan Ibadah tertipu dengan sangkaan ibadah mereka banyak sedangkan ibadah mereka dipenuhi dengan "Syirik khafi"  (Syirik dalam hati), iaitu 'ujub, sum'ah, riya', takabbur dan tawakkal kepada makhluq.  Mereka lupa atau sememangnya tak tahu yang Syirik khafi membatalkan amal ibadah dan merosakkan Iman.  Ini yang diisyaratkan oleh Baginda Rasul ﷺ.


Sabda Rasulullah ﷺ:

 “Aku sangat takut syirik pada Ummatku.  Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu.  Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat riya' yang merupakan syirik khafi) dengan amal mereka.”

[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]


(2) Orang yang bermegah-megah dan berlumba-lumba mencari kekayaan duniawi tenggelam di dalam kemewahan dan lupa untuk Syukur kepada Allah, sebaliknya terus-menerus kufur sampai mati.


(3) Mereka mengaku segala harta benda yang ada pada mereka sebagai milik diri sendiri.  Mereka mengaku mereka yang susah payah mencarinya.  Mereka lupa kepada Allah Yang Maha Pemurah yang Kurniakan mereka harta duniawi yang melimpah-ruah. 


(4) Mereka menghina orang miskin, lemah, kurang harta benda duniawi.


(5) Mereka menindas manusia dengan berbagai cara seperti merampas harta benda dan membunuh.


Bersambung siri 542 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Saturday, October 19, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 540)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

 Qarun diberikan kekayaan yang berlimpah dan dia terpedaya olehnya, bahkan kekayaan tersebut tidak  mampu menjaganya dari azab Allah Ta'ala sama seperti Fir'aun.  Apalagi kalian wahai  orang musyrik, harta kalian tidak sebanyak harta Qarun dan Fir'aun, Fir'aun dan bala tenteranya tidak dapat memberikan manfaat begitu juga dengan harta Qarun.


Maksud Qarun menjadi zalim adalah kerana kekafirannya kepada Allah.  Ini menurut Adh-Dahahhaq.  Ada yang mengatakan, maksud zalim adalah dia menyombong diri disebabkan banyaknya harta dan anak yang dimilikinya.  Ini pendapat Qatadah.  Ibnu Bahr mengatakan, Qarun melampaui batas kerana menganggap apa yang di-Kurniakan Allah kepadanya sebagai miliknya, seperti harta dan perhiasan.


Tatkala Allah Ta'ala Perintah untuk merejam orang yang berzina, maka Qarun menyuruh seorang perempuan untuk mengaku dia telah berzina dengan Musa, dia pun berikan harta kepada perempuan tersebut sebagai imbalannya.


Tatkala perempuan tersebut hamil, dia mengaku bahawa dia telah berzina dengan Musa. Musa menyangkal dan bersumpah atas Nama Allah Ta'ala yang Membelah lautan untuk Bani Israil serta menurunkan kitab Taurat, bahawa dia tidak melakukan hal tersebut, maka perempuan itu mengaku Qarun yang menyuruhnya (melakukan fitnah terhadap Nabi Musa Alaihis salam) dan Qarun berikan dia imbalan.  Maka Allah serahkan urusan Qarun kepada Nabi Musa Alaihis-Salam. 


Nabi Musa Alaihis-Salam mohon agar Qarun dan harta kekayaan ditelan bumi, Allah Perintahkan bumi menelannya, maka bumi pun menelannya sedikit demi sedikit.  Qarun berteriak minta tolong kepada Nabi Musa Alaihis-Salam, (Nabi Musa tidak pedulikan teriakan Qarun, bumi terus menelannya), akhirnya seluruh tubuh Qarun ditelan bumi, namun Nabi Musa Alaihis-salam tidak pedulikannya.  (Bumi bukan sahaja menelan Qarun, tetapi berserta dengannya adalah sekalian harta kekayaannya).


Diriwayatkan juga bahawa Allah Ta'ala  me-Wahyukan  kepada Nabi Musa Alaihis-Salam : "Hambaku (Qarun) telah minta tolong kepadamu, namun kamu tidak menolongnya, dan seandainya dia minta tolong kepada-Ku nescaya dia akan mendapati Aku dekat dan penolongnya.  (sebahagian riwayat mengatakan walaupun dia minta tolong kepada-Ku sekali saja, nescaya Aku Ampuninya),  "


Bersambung siri 541 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 539)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Dalil 2: Firman Allah:


إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِٱلْعُصْبَةِ أُوْلِي ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لاَ تَفْرَحْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ 


Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

[Al-Qasas (28) : Ayat 76]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Qarun merupakan sepupu Nabi Musa Alaihis-salam. Qarun menolak Kenabian Nabi Musa Alaihis salam dan bersikap sombong takabbur terhadap Nabi Musa Alaihis Salam dan Nabi Harun Alaihis-salam.   Allah Kurniakan kesenangan dan perbendaharaan harta yang amat banyak sehingga kunci perbendaharaannya tak mampu dipikul oleh 40 orang lelaki yang perkasa. (Namun Qarun tidak bersyukur) sebaliknya melakukan berbagai kezaliman terhadap kaum Nabi Musa Alaihis-Salam.  Sehingga kaum Nabi Musa berkata: Janganlah engkau bermegah-megah dengan harta kau, jangan kau sombong takabbur dengan harta yang engkau miliki.  Jangan engkau persekutukan Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang banggakan diri dan sombong dengan hartanya."

[Tafsir Ibnu Abbas]



Berkata Sulton Auliya, Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Allah berfirman untuk mengingatkan dan berikan pelajaran kepada orang Mukmin mengenai orang yang sombong terhadap Allah dan Utusan-Nya, serta keluar dari keimanan dan ketulusan hati, disebabkan oleh tenggelam di dalam dunia kebendaan yang diberikan sebagai fitnah dan cobaan oleh Allah kepada mereka.  Sesungguhnya Qarun adalah orang yang sombong kepada Allah dan Utusan-Nya dengan bangga dengan harta benda dan kedudukannya, adalah dia termasuk kaum Musa Alaihis-Salam, awalnya dia termasuk orang yang mempercayai Nabi Musa Alaihis-Salam.  Sebuah pendapat mengatakan dia adalah putra pakcik Nabi Musa dan pendapat lain mengatakan dia adalah putra makciknya.


Sebelumnya Qarun adalah orang kepercayaan Fir'aun. Namun setelah datang Nabi Musa dan Nabi Harun Alaihis-salam, dia beriman kepada keduanya, hingga menguasai Taurat dengan baik, bahkan hafal di luar kepala.  Kemudian ketika Nabi Musa dan Nabi Harun berkuasa dan kekuasaan Fir'aun hancur, Qarun ingkari keduanya, dengan berbangga bermegah dengan limpahan harta bendanya (ertinya lupakan Allah dan segala Nikmat Kurniaan-Nya).


Suatu hari Qarun berkata kepada Nabi Musa Alaihis-Salam, "Kamu memiliki Kerasulan dan saudaramu Harun memilik kesenangan sedangkan aku tak memiliki apa pun.  Sampai bila aku mampu sabar?  Maka dia berlaku zalim terhadap mereka.  Dan semua itu tidak lain kerana Kami Anugerahkan kepadanya berbagai-bagai bentuk kesenangan yang merupakan tipu daya dan fitnah — perbendaharaan harta berupa emas, perak dan lainnya, yang kunci-kunci peti hartanya sungguh berat dipikul oleh penjaganya, padahal mereka memiliki kekuatan untuk memikul beban berat.  Qarun bermegah dengan semua hartanya. 


Kaumnya, kerabat-kerabatnya dan kawan-kawannya berkata kepadanya, "Jangan kamu bermegah dan sombong dengan harta yang kamu miliki, sesungguhnya semua itu akan hilang.  Jangan sampai hati kamu bergantung pada semua itu.  Sesungguhnya Allah Ta'ala, Zat yang memperbaiki keadaan hamba-hamba-Nya, tidak menyukai orang yang berbangga-bangga, apa lagi bermegah dengan harta benda yang membuatnya lalai dari kenikmatan ruhani.

[Tafsir Al-Jailani]


Bersambung siri 540 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 538)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Firman Allah ini...  ( حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ ) sampai kamu masuk kubur sebagai amaran, iaitu bermegah-megah (dengan dunia, harta benda, ramainya anak pinak)  jadikan kamu lalai hingga kamu masuk kubur, maka kamu dapat melihat apa yang Allah turunkan kepada kamu dari Azab-Nya. 

    

Para Ulama kita mengatakan, di antara cara melembutkan hati orang yang sangat keras hatinya adalah dengan ziarahi kubur dan ziarahi orang yang sedang berada di sakratul-maut, di ambang kematian.  Maka di sana dia dapat mengambil i'tibar, pengajaran, peringatan yang sangat manfaat, sehingga dia mahu tunduk dan bertaubat.


Di dalam hal menyaksikan orang yang sedang hadapi kematian dan ziarahi kubur orang Islam merupakan penglihatan secara langsung dan penyaksian dengan mata kepala sendiri.  

Rasulullah ﷺ bersabda: 

"Suatu khabar tidaklah sama dengan melihatnya secara langsung"   [Imam Ath-Tabrani]


Kalimat .... (كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ) —  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Qiamat)!  


Kalimat ( كَلَّا  ) = janganlah begitu", iaitu Al-Farra' berkata , tidaklah perkara ini dari apa yang kamu bangga-banggakan, bermegah-megah (jangan sesekali perbuat demikian), kelak kamu akan mengetahui akibat perbuatan kamu.  Kemudian Allah ulangi ( كَلَّا  ) = janganlah begitu", iaitu ancaman demi ancaman menunjukkan penguat dan kukuhnya (amaran Allah). 


Ibnu Abbas berkata:

Firman Allah  (كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ) 

apa yang menimpa kalian dari azab kubur dan di Akhirat azab menimpa kamu Ertinya kalimat  ( كَلَّا  ) yang pertama bererti azab di kubur, Kalimat  ( كَلَّا  ) yang kedua azab di Akhirat, maka pengulangan tersebut untuk menjelaskan dua keadaan."

[-Tamat nukilan Tafsir Qurtubi-]


Bersambung siri 539 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 537)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

(sambungan tafsir surah At-Takathur)


"Bermegah-megah, yakni kebanggaan dalam memperbanyak dan menghitung-hitung harta telah menyibukkan kamu dari ta'at kepada Allah, sampai kamu mati.  Ada yang berkata alhaakum adalah ansaakum (melupakan), at-takathur (bermegah-megah), iaitu dalam soal banyak harta dan anak-anak, seperti yang dikatakan oleh Ibnu Abbas dan Al-Hasan.


Qatadah berpendapat, berbangga diri dengan qabilah-qabilah dan kaum kerabat (seperti asbabun-nuzul ayat) .

Adh-dhahhaq berpendapat, dilalaikan oleh kesibukan (berlumba-lumba) mencari rezeki dan perniagaan. 


Muqatil, Qatadah dan lainnya berkata bahawa ayat ini turun kepada orang Yahudi ketika mereka masing-masing mendakwa "kami lebih banyak daripada keturunan si fulan" sehingga hal tersebut menyibukkan mereka hingga mereka mati di dalam keadaan sesat.


Ibnu Abbas, Muqatil dan Al-Kalbi berkata bahawa ayat ini turun berkenaan Huyain dari kaum Quraisy Bani Abdu Manaf dan Bani Sahm, mereka saling menghitung dan bersaing dalam soal banyaknya pemimpin dan orang mulia dalam Islam, maka berkatalah setiap yang hidup dari mereka bahawa kamilah yang paling banyak pemimpinnya, lebih mulia, lebih banyak orangnya dan lebih banyak pelindungnya, dengan itu Bani Abdu Manaf lah yang lebih banyak dari Bani Sahm, kemudian mereka bersaing dalam banyaknya yang mati (di Jalan Allah), dalam hal itu Bani Sahm yang lebih banyak sehingga turun Firman Allah ini.


Said meriwayatkan dari Qatadah, ia berkata, "Dahulu mereka berkata kami yang lebih banyak dari keturunan si fulan dan kami lebih banyak jasa dari keturunan si fulan, setiap hari mereka saling menjatuhkan satu sama lain hingga akhir hayat mereka.  Demi Allah mereka sentiasa di dalam keadaan demikian sehingga mereka masuk qubur (mati).”


Di dalam Sahih Muslim dari Mutharrif dari ayahnya, ia berkata, "aku menemui Rasulullah ﷺ ketika Baginda sedang membaca surah At-Takathur, lalu Baginda bersabda: 

"Anak Adam mengatakan, hartaku, hartaku! Dan apakah engkau wahai anak Adam dengan hartamu itu melainkan apa yang engkau makan dan ia pun habis, pakaian yang kamu pakai, itu pun akan menjadi usang atau pun apa yang kamu sedekahkan akan berlalu, harta selain itu akan lenyap dan diperkenankan untuk orang lain (yang tinggal)"


Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Shihab, Anas bin Malik khabarkan kepadaku bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

"Jika anak Adam memiliki lembah dari emas, maka ia menginginkan agar ia memiliki dua lembah dari emas, dan sekali-kali mulutnya tidak akan puas kecuali setelah diisi tanah (mati) dan Allah Ta'ala menerima taubat orang yang taubat kepada-Nya"


Thabit berkata dari Anas dari Ubay, "kami beranggapan hal ini dari Al-Qur'an hingga turun  " أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ ". 

Ibnu Arabi berkata,  "Ini adalah nas yang sahih dan elok.  Nas tersebut tersembunyi dari ahli tafsir sehingga mereka tidak mengetahuinya, segala puji hanya bagi Allah atas pengetahuan yang telah di-Kurniakan-Nya."


Ibnu Abbas berkata, "Rasulullah ﷺ membaca ayat ini ..." أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ " lalu Baginda bersabda: 

"Bermegah-megahan dalam harta  adalah mengumpulkannya dengan cara yang bukan haknya, merintangi haknya dan mengikatnya dalam bejana"


Bersambung siri 538 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 536)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah:


أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ - حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ - كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ - لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ - ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ - ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ


"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal kebaikan) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, kuasa, kedudukan, pangkat), sehingga kamu masuk kubur.  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!  Demi sesungguhnya!  Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yaqin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat).  (Ingatlah) demi sesungguhnya!  Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.  Selepas itu, demi sesungguhnya!  Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yaqin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!  Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! “

[At-Takathur (102) : Ayat 78]



Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Perlumbaan kamu untuk memperoleh harta benda, kemegahan, kedudukan dan ketinggian keturunan menyebabkan kamu menjadi lalai (dari ingat Allah dan membuat persiapan menghadap Allah). Sehingga kamu masuk kubur (mati), Ini kerana Banu Sahm dan Banu 'Abdu Manaf masing-masing besar diri, bangga diri, megah dengan kelompok masing-masing mengenai kelompok siapa yang lebih besar dari segi bilangan ahlinya.  Terbukti selepas itu Banu Abdu Manaf yang terlebih besar. Banu Sahm membantah; telah berlaku tidak adil kepada kami, pergilah kira mereka yan telah mati dan kiralah yang masih hidup di kalangan kami, dan kiralah berapa ramai di kalangan kamu yang sudah mati dan yang masih hidup. Setelah itu didapati Banu Sahm lebih ramai.  Maka ayat di atas diturunkan berkenaan mereka, yang bertelagah disebabkan status mereka dan kedudukan keturunan mereka sehingga mereka sanggup turun ziarahi kubur dan sanggup mengira mereka yang sudah mati.  Juga dikatakan ayat ini bermaksud: Membanyakkan harta kekayaan dan anak pinak telah melalaikan kamu sehingga kamu mati."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Awliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Bermegah-megah telah melalaikan kamu" adalah bermaksud:  Membuat kamu sibuk berbangga-bangga dengan banyakkan harta dan anak-pinak, wahai orang yang tenggelam di dalam lautan kelalaian dan kesesatan yang menjauhkanmu dari Tauhid dan ketaatan kepada Tuhanmu.  Sampai kamu mati menjadi penghuni kubur, demikian pula apa yang kamu lakukan dan apa yang kamu dapatkan semasa hidupmu.  Kemudian Allah berfirman untuk mencegah dan menakuti perbuatannya berbangga-bangga dan bermegah-megah, jangan kamu lakukannya.  Allah mengulangi amaran-Nya "jangan kamu begitu" dengan ketegasan yang bersifat hiperbolik serta ancaman keras untuk memberikan ancaman yang dahsyat terhadap janji-Nya. Kemudian Allah merakam kebodohan dan kesesatan mereka "jangan begitu" maksudnya: Jangan kamu bermegah-megah dan bangga-bangga dengan perhiasan fana' ini wahai orang yang bodoh dan sombong.  Kelak kamu akan melihat dengan pandangan yang nyata (ainul yaqin) dan pengihatan sebenar-benarnya (haqqul yaqin) akan akibat perbuatan kamu lalai dari Perintah Allah dan sibuk bermegah-megah dengan dunia dan kesenangan sementara yang pasti binasa.”

[Tafsir Al-Jailani]


Bersambung siri 537 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

Thursday, October 17, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 535)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

===================



Definisi Dunia:

============


Dari segi bahasa: 

.................................

Ad-dunya (dunia)  “الدنيا” berasal dari 

kata ( دَنَا- يَدْنُو- دُنُوًّا ) membawa erti : dekat, kurang, rendah, hina. 


Pengertian lain:

1. Al-daniyah (الدانية): 

nikmat, keseronokan, keindahan, kelazatan, kesukaan nafsu


2. Ad-dina’ah (الدناءة): 

najis, kotor, kekejian


3. Ad-danu (دنو): 

sangat dekat, hampir


4. Dunia adalah : makhluq, setiap suatu selain Allah, Alam,  ciptaan Allah



Dari segi istilah:

..............................


Dikehendaki dengan ad-dunya ( الدنيا ) adalah:

setiap suatu yang tiada memberi manfaat pada Akhirat.


Al-Qur'an menggambarkan dunia sebagai:

1. Berlumba-lumba banyakkan harta dan anak-pinak

2. Tempat bermegah-megah 

3. Kesenangan menipu daya

4. Bermain-main, senda gurau, kelalaian

5. Permainan mempesonakan

6. Kebahagiaan sementara



Penjelasan:

=========


(1) Secara Umum "dunia" tidak tercela.  Demikian juga mencari "dunia" tidak dilarang secara mutlaq, tetapi setiap suatu yang disebut sebagai "dunia" dinilai menurut cara menanganinya — cara mencarinya, cara menyimpannya dan cara dibelanjakan. 


(2) Setiap hal berupa "dunia" dan yang berkaitan dengan dunia akan menjadi manfaat (di-Redhai Allah) atau mudarat (di-Murkai Allah) bergantung kepada cara menanganinya — cara menghasilkannya dan cara penggunaannya.


(3) Orang yang mencari dunia, menghasilkan hal-hal berkaitan dengan dunia menurut Kehendak Allah yang di-Redhai-Nya, maka jadilah ia sebagai ibadah dan amal terpuji.  Sebaliknya setiap hal berkaitan dunia yang dicari dengan jalan yang salah dan dibelanjakan pada jalan yang salah, yang bertentangan dengan Kehendak Allah, maka jadilah ia maksiat dan kekufuran.


(4) Dosa besar "Bermegah-megah dengan dunia" dan "Berlumba-lumba mencari dunia" sehingga lalai dari Ingat Allah (lalai dari berzikir Allah Allah dalam hati terus-menerus) merupakan dosa besar.


(5) Bermegah-megah dan berlumba-lumba mencari dan mengumpulkan dunia sehingga lalai dari ingat Allah serta lalai dari mempersiapkan diri untuk menghadap Allah, menuju kepada banyak dosa-dosa besar yang lain:


1. Membawa kepada dosa ujub, riya', takabbur

2. Membawa kepada sifat bakhil

3. Membawa kepada kufur Ni'mat Allah

4. Menyebabkan menjadi zalim, aniaya manusia lain


(6) Tajuk ini mempunyai persamaan dengan tajuk "cinta dunia", tetapi mempunyai sisi kerosakan yang sangat besar, sehingga para Ulama masukkan "dosa bermegah-megah serta berlumba-lumba mengumpul kekayaan dunia" ini ke dalam dosa besar.


Berkata Imam Haythami Radhiallahu anhu:

"Bermegah-megah dengan dunia dan berlumba-lumba mencari dunia (harta, wang ringgit, pangkat, kuasa) termasuk di dalam dosa besar.”

[Az-Zawaajir]


Bersambung siri 536 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Sunday, October 13, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 534)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 64:

Buka 'aib diri sendiri

..... sambungan.........



Contoh-contoh

===========


Contoh 1: Dedahkan dosa di dalam perjumpaan, perkumpulan, pertemuan

Hal ini paling umum berlaku. Zaman  sekarang zaman bebas — bebas berkumpul, bebas buka 'aurat, bebas bergaul lelaki perempuan.  Mereka anjurkan berbagai perjumpaan, perkumpulan seronok-seronok atas nama "reunion", "ramah mesra", "berkenal-kenal" dan lain-lain.  Esoknya mereka menceritakan pengalaman "bebas" mereka di laman sosial. Ramai peminat berita sensasi, masing-masing keluarkan pendapat masing-masing sebagai sokongan.


■ Ini perbuatan buka 'aib sendiri.

■ Ini contoh buka 'aib sendiri yang paling umum terjadi di kalangan orang Islam, namun memandang ringan akan dosa-dosanya.



Contoh 2: Ceritakan pengalaman maksiat zaman remaja

Orang-orang muda sama ada lelaki atau perempuan yang sudah berumahtangga ceritakan pengalaman mereka bercinta pada zaman muda sebelum berkahwin. Setengah mereka tanpa segan silu dan tiada sedikit pun rasa takut dan menyesal, menceritakan segala perbuatan maksiat mereka sebelum berkahwin.  Wal Iyazubillah.


■ Mereka buka 'aib sendiri. Mereka sangat berani menceritakan semula pada umum dosa-dosa yang telah mereka lakukan secara senyap. 

■ Mereka meremehkan dosa yang dilakukannya, bangga dengan dosa dan sedikit pun tidak rasa bersalah kepada Allah.

■ Mereka Kufur Nikmat kerana membuka 'aib mereka yang Allah telah menutupinya.



Contoh 3: Ibu bapa biarkan anak melakukan maksiat dengan alasan mereka juga pernah melakukannya

Ketika seseorang ibu ditegur : "Mengapakah kamu biarkan anak perempuan kamu tak tutup aurat dan bergaul bebas?  Dia menjawab: "Tak apa biarkan dia, saya dahulu pun macam tu juga."  Wal Iyazubillah


■ Ibu bapa seperti ini jelas membuka 'aib sendiri. 

■ Ibu bapa seperti ini belum taubat, tidak ada penyesalan sebaliknya sangat berani menceritakan semula pada umum dosa-dosa yang telah diperbuatnya seolah-olah dosa itu hanya mainan.  Wal Iyazubillah



Punca gemar buka 'aib sendiri

======================


Akibat buka 'aib sendiri

=================


Rawatan dan Penjagaan

=================


Huraian dan penjelasan ketiga-tiga tajuk di atas hampir sama dengan tajuk "Dosa Dedah 'Aib Orang Lain."  Maka tidak diulangi lagi di sini.


Moga mereka yang telah terlibat dengan dosa-dosa tersebut, akibat kejahilan atau kerana terhasut dengan nafsu kejahatan dan bisikan Syaitan, moga segera Taubat.


Bersambung siri 535 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 533)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 64:

Buka 'aib diri sendiri

..... sambungan.........



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Rasulullah ﷺ bersabda:


كُلُّ أُمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ


"Setiap Ummatku di-Kurniakan Keampunan melainkan golongan  “ الْمُجَاهِرِينَ "   _al-mujahirin_  (zahirkan dosa yang tertutup). Sesungguhnya di antara perbuatan _mujaharah_,  terang-terang melakukan kekejian dan dosa adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam.  Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini." Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



Dalil 2: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang, ia akan membinasakannya.”

[Imam Ahmad]



Dalil 3: Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.  Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam. ”

[Imam Ibn Majah]



Dalil 4: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu anhuma bahawa Rasulullah ﷺ ditanya tentang dosa besar.  Lalu Baginda bersabda :  “Menyekutukan Allah, putus asa dari Rahmat Allah, dan merasa aman dari Makar (muslihat dan hukuman) Allah.” 

[Imam Ath-Thabrani]



Dalil 5: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Wahai Aisyah, takutlah engkau terhadap dosa-dosa kecil, kerana ia akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah.”

[Imam Ad-Darimi]


Bersambung siri 534 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 532)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-64:

Buka 'aib diri sendiri

===============


Definisi

=======


Dari segi bahasa:

Definisi 'aib telah jelaskan pada siri yang lalu.


Dari segi istilah:

Buka 'aib sendiri adalah menceritakan kepada orang lain akan kekejian yang telah kamu lakukan secara tersembunyi, sedang Allah Ta'ala telah menutupi kekejian tersebut dengan Kemurahan-Nya.



Penjelasan

========


(1) Setiap manusia mempunyai 'aib diri — kekurangan, kecelaan, kekejian.  Sebahagian besar daripadanya tidak diketahui oleh manusia lain kerana Allah Ta'ala dengan Kemurahan-Nya telah menutupinya.


(2) Mereka yang telah melakukan kekejian yang membawa kepada 'aib dirinya, wajib bertaubat segera dan jangan sesekali mendedahkannya kepada manusia lain. 


(3) Seseorang yang berani menceritakan, mendedahkan, membuka rahsia 'aib dirinya kepada orang menunjukkan dia belum bertaubat, dan sekaligus menunjukkan dia sangat berani dengan Allah Ta'ala, tidak bersyukur dan khianat kepada Allah yang telah menutupi kesalahan dan 'aib dirinya dari pengetahuan manusia lain.


(4) Pada hari ini orang-orang Islam yang lemah Iman mereka, dengan mudah sahaja menceritakan 'aib mereka di khalayak ramai tanpa sedikit pun rasa malu dan takut kepada Allah.  Bahkan setengah daripada mereka megah dengan perlakuan keji mereka!  Wal 'Iyazubillah. 


(5) Menurut usul, setengah dari sebab-sebab dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar adalah apabila seseorang melakukannya secara terang-terangan.  Maka perbuatan "menceritakan dosa atau kekejian yang telah dia lakukan secara tersembunyi" meskipun asalnya kecil akan berubah menjadi besar apabila dia dedahkannya kepada umum. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:


Enam sebab dosa kecil boleh berubah menjadi dosa besar:


(1) Seseorang melakukan dosa kecil terus-menerus (tanpa taubat)

(2) Meremehkan dosa yang dilakukannya. 

(3) Merasa gembira dan bangga melakukan dosa.

(4) Tidak menghargai dosanya yang ditutup oleh Allah.

(5) Berbuat dosa terang-terangan di hadapan  orang lain.

(6) Dosa diperbuat oleh Ulama atau pemimpin yang dijadikan tauladan.

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri 533 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...