SIRI 351
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 2: Mursyid Menduduki Maqam Nubuwwah (Kenabian)
Mursyid yang Siddiq Di-Anugerahi oleh Allah akan Maqam Risalah dan Maqam Nubuwwah (Maqam Kenabian). Mereka BUKAN Nabi atau Rasul yang membawa Syari’at baharu, tetapi mereka menduduki Maqam Kenabian dan menanggung Amanah Rasulullah ﷺ.
Berkata Imam Besar Ahlus Sunnah, Sultan Auliya, Imam Jilani رضي الله عه:
"Wali-wali yang menjadi Guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi ﷺ dengan Tuhannya. Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa Di-Anugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian”.
[Sirrul Asrar]
Berkata Imam Ibn Hajar Asqalani Radiallahu Anhu:
"Wafatnya Nabi ﷺ memberi isyarat terhentinya "wahyu" kepada Rasul yang membawa Syari'at baharu. Tetapi bukan "wahyu" tanpa Syari'at yang akan berterusan sehingga Hari Qiamat".
[Fathul Bari]
Berkata Imam Asy-Sya'rani Radiallahu Anhu:
"Wahyu" berserta Risalah Kenabian yang membawa Syari'at terhenti dengan kewafatan Rasulullah ﷺ, "Risalah tanpa Syari'at baharu", akan tetap ada sehingga ke Hari Qiamat".
[Al-Yawaqeet Wal Jawahir]
Berkata Imam Ibn Arabi i Radiallahu Anhu, Pemimpin Ulama Ahlus Sunnah dan Auliya Allah yang masyhur:
"Wafatnya Rasulullah ﷺ menunjukkan tamatnya Nubuwaah yang membawa Syari'at baharu. Namun Maqam-maqam Kenabian akan berterusan sehingga ke hari Qiamat”.
[Futuhatul-Al-Makkiya]
“Wahyu tanpa Syari’at baharu“ yang disebut oleh Imam Ahlus Sunnah adalah bermaksud: Limpahan Ilmu Allah Ta’ala berupa khitob, iaitu seruan Sirr (seruan rahsia) Allah Ta’ala ke dalam hati mereka. Mereka sentiasa di dalam Limpahan Petunjuk Allah dan pimpinan Ruhaniyah Rasulullah ﷺ. Dengan demikian mereka dipelihara oleh Allah daripada kesesatan (Mahfuz).
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radiallahu Anhu:
"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran. Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Sedangkan para Wali Allah tidaklah Ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna".
[Sirrul-Asrar]
Bersambung siri 352 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment