SIRI 337
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 5: Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah
Penjagaan Ahli Ma'rifat
sambungan.....
Peringatan 6: Larangan keras buka Rahsia Ketuhanan
Hal ini telah pun disentuh ketika bicara maqam-maqam Tauhid sebelumnya. Di sini kita ulangi kerana mengingatkan betapa berat dan bahayanya menyebarkan Rahsia Ketuhanan sewenang-wenangnya kepada umum.
Apakah yang dimaksudkan dengan "Rahsia Ketuhanan"?
Apakah akibat buka "Rahsia Ketuhanan"?
Dikehendaki dengan "Rahsia Ketuhanan" adalah rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba-hamba Allah yang sedang mujahadah pada Jalan-Nya, iaitu meliputi:
(1) Rahsia Ketuhanan dan kehambaan
(2) Rahsia Kenabian
(3) Rahsia alam ghaib
Rahsia-rahsia ini akan terbuka beransur-ansur dan berperingkat-peringkat kepada Salikin, menurut peningkatan keruhaniannya dan menurut Kehendak Allah (bukan kemahuan Salik). Sekalian rahsia ini merupakan "Amanah Allah" kepada Salikin yang WAJIB disimpan baik-baik dan dipelihara lebih dari emas dan perak.
Mana-mana Salikin membuka Rahsia-rahsia ini kepada umum atau menjadikannya "bahan bualan kedai kopi", maka dia telah khianat kepada Allah. Pengkhianatan ini amat besar sehingga dia boleh jatuh kepada dua macam bahaya:
Pertama: Allah Ta'ala menahannya daripada peningkatan maqam lebih tinggi.
Kedua: Allah Ta'ala lucutkan maqamnya dan terkena istidraj.
(Allah Ta'ala Murka dan biarkan dia di dalam kesesatan sedangkan dia menyangka dia di dalam kebaikan). Wal Iyazubillah.
Inilah sebabnya sekalian Masyaikh telah berikan amaran berulangkali akan bahaya membuka Rahsia Ketuhanan (yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka) kepada orang lain. Apa jua rahsia yang mereka peroleh sama ada ketika Zikir sendirian atau tawajjuh (zikir berjemaah) atau Suluk semuanya WAJIB disimpan baik-baik dan hanya boleh dilaporkan kepada Guru (Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memimpinnya. Setelah ditafsirkan oleh Gurunya (atau tidak tafsirkan), hendaklah diam dan simpan semua rahsia tersebut. Dilarang keras sebarkannya.
Bersambung siri 338 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment