SIRI 327
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 5: Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah
Ciri-Ciri Penting Auliya Allah
sambungan....
(10) Memperoleh Kasyaf
Kasyaf atau Mukasyafah adalah sebahagian daripada Karomah, iaitu Kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada hamba-hamba Pilihan-Nya. Maka penjelasan bab ini lebih kurang sama saja dengan penjelasan bab Karomah. Walau bagaimanapun kami bangkitkan tajuk Kasyaf ini secara khusus disebabkan banyaknya terjadi kekeliruan, kepincangan dan penyelewengan di kalangan orang yang gemar kepada ilmu keruhanian.
Setengah daripada kebodohan mereka yang tak tahu apa-apa berkenaan dunia Ma'rifat dan tidak pernah menempuh perjalanannya secara benar dengan pimpinan Pewaris Nabi yang Siddiq, tiba-tiba mengaku sudah Kasyaf. Mereka mengaku Kasyaf kerana kemampuan melihat berbagai cahaya hijau, kuning, ungu ketika berzikir. Atau mereka dapat melihat gambaran dan pemandangan-pemandangan hebat ketika berzikir. Atau mereka melihat manusia berpakaian putih dan berjanggut lalu mereka menyangka mereka sudah Kasyaf. Setengah lagi mengaku sudah Kasyaf semata-mata kerana boleh melihat jinn syaitan. Sesungguhnya semua ini adalah tipu daya nafsu dan syaitan sedang mereka tidak menyedarinya.
Berikut kami sampaikan secara ringkas sahaja berkenaan pengertian dan haqiqat Kasyaf, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.
Poin 1: Definisi Kasyaf:
Dari segi bahasa:
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) dari sudut bahasa adalah:
Menyingkap, terbuka, membongkar, buka tutupan, selak tabir.
Dari segi istilah:
Kasyaf( اَلْكَشْفُ ) pada sisi Ilmu Tasawwuf atau Ma'rifat adalah:
Terbuka mata hati kepada menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah serta perkara-perkara ghaib menurut Kehendak Allah Ta'ala.
(Perhatikan kunci di sini: Kasyaf yang haq berlaku menurut Kehendak Allah Ta'ala, bukan kehendak manusia, bukan dibuat-buat oleh manusia atau jinn syaitan).
Poin 2: Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) secara umum terbahagi dua:
(1) Kasyaf Haqq — Ini Kurnia Allah kepada hamba-hamba Pilihan-Nya yang benar ikhlas mujahadah pada jalan-Nya.
(2) Kasyaf Batil — Ini adalah ilusi dan mainan iblis yang dipamerkan oleh iblis kepada manusia bagi memperdayakan mereka dengan khayalan dan kepalsuan.
Poin 3: Kasyaf Kurnia Allah terbahagi dua:
(1) Kasyaf Hakiki (Kasyaf Ma'nawiyyah)
(2) Kasyaf Suri (Kasyaf Hissiyyah)
Kedua-dua bentuk Kasyaf ini adalah daripada Allah Ta'ala, Di-Kurniakan kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan penuh keikhlasan.
Poin 4: Kasyaf Hakiki (Ma'nawiyyah)
Kasyaf Hakiki (Ma'nawiyyah) adalah terbuka hati menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah-Nya yang Maha Agung sebagaimana yang telah dijelaskan pada bicara Tingkatan Maqam-maqam Tauhid sebelum ini. Inilah sebenar Kasyaf yang dikehendaki pada Sisi Agama iaitu terbuka hati Salikin kepada pintu-pintu Tauhid atau Iman atau Ma'rifat.
Bersambung siri 328 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment