SIRI 261
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-10: Rawatan dan Penjagaan
sambungan...
(2) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Riya':
Riya' adalah penyakit hati yang amat berat — di bawah sedikit dari sifat Takabbur. Penyakit Riya' yang berat ini BUKAN sahaja terkena kepada orang awam yang jahil tetapi juga kepada orang alim Syari'at semata-mata. (Maksudnya adalah orang alim yang menguasai berbagai bidang ilmu fiqh, usuluddin, nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain yang bersifat zahir tetapi jiwanya kosong dari penghayatan Tasawwuf)
Bahkan orang yang alim di dalam Syari'at (semata-mata) lebih terdedah kepada Riya' disebabkan kelebihan ilmu Syari'at yang mereka miliki. Sijil, gelaran, pangkat dan kedudukan di mata masyarakat menjadi dorongan kepada Riya'. Banyak sekali terjadi pada zaman terdahulu, mereka yang bergelar "Ulama" yang hanya menguasai Ilmu Syari'at semata-mata "jatuh" kepada Riya' tanpa mereka sedari. Namun TIDAK semua hanyut di dalamnya, sebahagian Ulama mendapat petunjuk untuk menyedari bahawa mereka sedang berada di jurang kebinasaan.
Sebagaimana yang telah kami sebut berulangkali sebelum ini, contoh paling besar dalam sejarah Ummat berkenaan hal ini adalah kisah Imam Ghazali yang menguasai berbagai bidang ilmu Syari'at zahir namun gagal menewaskan nafsu-nafsu rendah sehingga terperangkap di dalam kemelut hati yang menarik kepada Riya'.
Berikut adalah pengakuan Imam Ghazali Radhiallahu Anhu sendiri:
“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan. Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidikku kutinjau sedalam-dalamnya.... Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat. Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran (Riya'). Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur. Aku akan jatuh ke neraka jika tidak segera merubah sikap".
[Nukilan: Kitab Munqiz Min-Adh-Dholal)
Perhatikanlah:
Walaupun Imam Ghazali telah sudah memiliki ilmu yang banyak di dalam Agama (ilmu Syari'at zahir), sudah pun menjadi Hafiz Al-Qur'an ketika umur beliau 6 tahun, mencapai gelaran Hujjatul Islam, namun beliau masih belum memperoleh "ikhlas" yang sesungguhnya. Pada ketika itu (ketika beliau Alim Fiqh) beliau belum dapat melepaskan diri dari cengkaman dunia dan kemasyhuran. Beliau masih terumbang-ambing antara ikhlas dan Riya'.
Bersambung siri 262 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment