SIRI 260
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke 10: Rawatan dan Penjagaan
(1) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Takabbur:
sambungan...
(1) Menanamkan di dalam jiwa bahawa tidak ada suatu pun yang dimilikinya termasuk dirinya sendiri, tetapi ianya hanya pinjaman dari Allah untuk mengujinya sejauh mana dia menggunakan Ni’mat Allah tersebut untuk mensyukurinya serta mematuhi hukum-hukum-Nya. Sama ada dia orang berilmu atau hartawan, atau jutawan atau rupawan, atau bangsawan atau apa saja kelebihan semuanya milik Allah. Sekalian kejayaan yang kamu capai pada hakikatnya itu adalah Ni'mat dan Kurnia Allah Ta'ala. Kamu BUKAN mencapainya kerana suatu kepandaian kamu. (Hal ini amat mudah ditulis tetapi amat berat dihayati, lebih-lebih lagi mereka yang sememangnya mempunyai kedudukan di mata masyarakat)
(2) Lazimkan bergaul dengan orang miskin dan orang-orang yang dipandang hina oleh orang lain.
(3) Lazimkan terlebih dahulu memberi salam kepada orang lain walaupun terhadap orang yang lebih muda atau kurang ilmunya dari kamu.
(4) Lazimkan merasai kehinaan diri apabila bersama manusia lain atau di belakang mereka. Pandang orang lain dengan pandangan kemuliaan dan pandang diri kekurangan dan dosa yang banyak.
(5) Lazimkan diri makan bersama orang miskin-miskin atau ajak mereka ke rumah dan makan bersama-sama mereka. Adalah diriwayatkan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu makan bersama orang miskin dan faqir pada setiap hari di rumah beliau. Sudah tentu ini adalah contoh akhlaq Nabi ﷺ yang muliakan orang miskin dan faqir.
(6) Jika kamu tinggal di istana atau "rumah kayangan", lazimkan turun dari rumah kamu dan berjalan di muka bumi perhatikan kesusahan orang lain.
(7) Jangan malu hulur tangan terlebih dahulu kepada orang lain untuk bersalaman meskipun dia orang lebih muda dari kamu atau kurang ilmunya atau kurang darjatnya.
(8) Sesekali pakai pakaian lusuh atau pakaian lama.
(9) Taubat berterusan khusus untuk persoalan penyakit hati ini. Ini wajib dilakukan disebabkan Takabbur dan penyakit lain terus-menerus mendatang dan menguasai hati.
(10) Banyakkan zikir La-Ilaha Illa-Allah siang malam, pagi petang... moga Allah Ta'ala Mengampunkan hati yang dikotori oleh segala penyakit Takabbur.
Amat sukar sekali untuk merawat dan membuang sifat Takabbur (serta penyakit hati yang lain) dengan cara awam ini, kerana ia adalah umpama menebas "lalang" di permukaan tanah sedangkan akarnya masih kukuh di bawah tanah. Sekali tebas "kelihatan hilang" tetapi akarnya tetap subur. Tidak lama selepas ditebas, "lalang" akan tumbuh menguasai semula ladangnya. Walaupun berusaha membuangnya berkali-kali, namum ia tetap datang menguasai semula hati.
Namun langkah ini yang terlebih baik bagi mereka yang belum menemui Mursyid yang Siddiq sebagai pendidik, pengasuh dan pembimbingnya kepada Allah Taala.
Bersambung siri 261 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment