Saturday, April 25, 2026

SIRI 332


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 5:  Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah


Penjagaan Ahli Ma'rifat

sambungan.....


Peringatan 3:  Dipimpin oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq


Guru yang memimpinnya kepada Allah adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Iaitu Gurunya yang membawanya mengenal Allah dengan sebenarnya, sudah sampai kepada Maqam Tauhid Zat (dan juga Maqam-maqam  Tauhid sebelumnya) adalah Pewaris Nabi yang mempunyai Silsilah keruhanian sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ serta menepati Syarat-syarat lain sebagai seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  (10 syarat semuanya).  


Jika seseorang mengaku telah sampai  Maqam Tauhid Zat (atau Maqam-maqam Tauhid sebelumnya), sedangkan Gurunya bukan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, maka pengakuannya adalah dusta.  Syarat pertama dan utama yang wajib ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq adalah "Silsilahnya yang sahih sampai kepada Rasulullah ﷺ".  


Jika seseorang Guru yang memimpin manusia pada Jalan Ma'rifat tidak dapat buktikan Silsilah keruhaniannya sampai kepada Rasulullah ﷺ, maka dia adalah pembohong yang memimpin kepada kebodohan dan kesesatan. Wal Iyazubillah.


Berkata Al-Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan.  Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat.  Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.  Dia juga mestilah sangat 'Alim dalam halal dan haram.  Dia memimpin si Salik pada jalan Ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya (Silsilah Keruhanian Nabi ﷺ), sempurna di dalam kemurahan hatinya".

[Qala'id Al-Jawahir]


Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu Anhu:

"Orang yang Silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi ﷺ, itu terputus  dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah ﷺ, serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah".

[Khazinah Al-Asrar]


Berkata Shaikh Ahmad Al-Kamashkhanawi  Radhiallahu Anhu:

"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang Silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah ﷺ dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid (dia bukan Pewaris Nabi yang Siddiq), tidak boleh  membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah".

[Jami' Usul Fil Aulia]


Pada zaman ini wujud beberapa orang mengaku Mursyid, Pewaris Nabi, tetapi tak dapat buktikan Silsilahnya sampai kepada Nabi ﷺ.  Mereka membuat dakwaan-dakwaan begini:


(1)  Guru itu bertapa di Gunung Ledang dan berjumpa dengan Wali Songo yang melantiknya menjadi Mursyid.

(2)  Guru itu enggan tunjuk Silsilah Nabi ﷺ dengan alasan ianya rahsia. 

(3)  Guru itu mimpi Nabi Khidir yang melantiknya menjadi Mursyid Pewaris Nabi. 

(4)  Guru itu mimpi Tuhan yang melantiknya menjadi Mursyid.


Semua dakwaan ini adalah pendustaan yang jelas berlawanan dengan Fatwa Sekalian Ulama Mu'tabar.  Guru begini tidak mampu memimpin kepada Allah, kerana dia sendiri tidak mengenal Allah tidak memiliki Keruhanian yang menyambung kepada Ruhaniyah Rasulullah ﷺ, maka apa yang akan berlaku adalah penyelewengan dan kesesatan.  

Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 333 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 338 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...