Saturday, April 25, 2026

SIRI 330


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 5:  Huraian Iman 'Arif Billah — Auliya Allah



Penjagaan Ahli Ma'rifat


Berikut kami jelaskan peringatan dan penjagaan berhubung dengan Salikin yang Di-Kurniakan oleh Allah ke Maqam Tauhid yang tinggi, atau Ma’rifat.  

        

Peringatan ini telah berulangkali disebut oleh sekalian Ulama 'Arif Billah terdahulu di dalam kitab-kitab mereka, agar sekalian hamba-hamba Allah sentiasa waspada dan tidak terpedaya dengan penyelewengan halus yang berlaku tanpa disedari. 


Barangkali ada yang musykil:

"Mengapakah perlu waspada sedangkan pencapaian Maqam  Tauhid hakiki itu semuanya dituntut dan Hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam-maqam tersebut mendapat pujian dan Keredhaan Allah?" 


Jawapannya:

Memang benar setiap Muslim wajib berusaha menyucikan batinnya daripada sekalian kesyirikan (Syirik khafi) dan mazmumah (kekejian) dan dosa-dosa hati yang lain, sehingga akhirnya mencapai Maqam-maqam Tauhid yang hakiki atau Keimanan sejati.  Walau bagaimanapun, setiap Salikin  perlu sedar bahawa di sana terdapat Syubhat tersembunyi serta tipu daya syaitan yang tidak diketahui dan disedari oleh Salikin . 

Maksud "penyelewengan halus tanpa disedari" adalah penyelewengan dari jalan kebenaran akibat bisikan nafsu atau syaitan atau kedua-duanya yang datang dalam berbagai bentuk yang pada zahirnya kelihatan seperti kebaikan sedangkan pada hakikatnya kebinasaan.  Iblis mahir di dalam penyelewengan halus ini.


Firman Allah:


قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين


Iblis berkata:  "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, perkara mungkar, kesesatan) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas". 

[Al-'Hijr (15) : Ayat 39-40]


Firman Allah:


قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ


"Iblis berkata:  Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) Jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

[Al-A'raf (7) : Ayat 16-17]


Saksikanlah bahayanya...!!!

Akibat penyamaran dan tipu daya halus iblis ini, ramai Ulama Fiqh dan Ulama Ilmu Kalam pun tertipu dan masuk perangkap halusnya.  Berdasarkan sejarah Ummat, iblis telah memperdaya dan menyesatkan sejumlah orang-orang bergelar "Ulama", di antaranya Ulama politik, Ulama dunia, Ulama Syi'ah (Rafidhi), Ulama Khawarij (Wahhabiyyah sekarang), Ulama Mu'tazilah, Ulama Jabariyyah dan lain-lain.  Wal Iyazubillah.

Demikian lagi sebahagian Salikin  yang menempuh Suluk pun boleh terpedaya dengan muslihat dan tipu daya halus iblis ini, jika mereka tidak berhati-hati dan waspada selalu.  Inilah sebabnya Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu telah meletakkan peraturan, syarat-syarat dan adab-adab tertentu bagi Salikin .  Dan akhir sekali mereka kemaskan dengan berbagai Peringatan dan Amaran, moga mereka selamat sampai kepada Allah dan tetap Istiqamah sesudahnya.


Bersambung siri 331 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 338 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...