Thursday, April 23, 2026

SIRI 297


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama:  Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al

Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al

sambungan....



Tanda ke-11:  Menyeru kebaikan Mencegah Kemungkaran


Tanda seterusnya yang wajib wujud dan pasti terlihat pada orang yang benar-benar sampai kepada Maqam Keimanan sejati adalah Amr-bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran, kefasikan dan kekufuran tanpa mengira darjat, pangkat atau kedudukan mereka, meskipun dia Raja atau Pemerintah tertinggi sekalipun.


Hamba-hamba Allah yang suci hatinya bukanlah orang yang pentingkan diri sendiri, hanya beramal untuk dirinya sendiri sebaliknya dia akan mengajak manusia lain berbuat kebaikan dan amal soleh sebagaimana Allah Ta'ala Kurniakan Hidayah dan Taufiq kepadanya untuk menjadi hamba Allah.  Demikian lagi dia juga tidak akan berdiam diri terhadap apa jua kemungkaran yang berlaku di hadapannya.  Dia akan sedaya upaya mencegahnya menurut kemampuannya kerana telah terdahulu amanat Rasulullah ﷺ, bahawa menolak kemungkaran itu sebahagian dari tanda-tanda benarnya Iman seseorang.


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

[Imam Muslim]


Kemungkaran dan kekufuran adalah penentangan terhadap Allah, serta mencabar Kekuasaan-Nya, maka tak mungkin seseorang yang benar-benar beriman berdiam diri menyaksikannya, apa lagi bersubahat kepadanya, tidak mungkin!  Sekiranya hamba Allah yang mencapai Keimanan sejati ini seorang pemimpin yang berkuasa, dia akan gunakan segala kuasanya untuk mencegah sebarang kemungkaran.  


Jika dia cuma seorang alim yang hanya mampu berbicara, maka dia akan berikan nasihat-nasihat yang berguna dengan kelembutan dan jika tidak dipedulikan nasihat-nasihat yang lemah lembut, maka dia akan berikan peringatan keras dan amaran-amaran sesuai dengan Perintah Allah dan Rasul-Nya.  Inilah sebenar-benar orang alim yang benar-benar beriman, iaitu orang alim yang sampai kepada Maqam Tauhid yang hakiki.


Bersambung siri 298 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

 _________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 302 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...