SIRI 286
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-6: Khusyu’ di dalam Solat
Di antara tanda-tanda lain seseorang yang diangkat ke Maqam_Tauhid yang benar adalah: Khusyu’ di dalam solat. Pada saat seseorang Salikin sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih, dia akan memperoleh Khusyu’ yang sebenar di dalam solatnya iaitu Khusyu’ dengan penghayatan hati dan ruh, menepati tuntutan Allah.
Firman Allah:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya".
[Al-Mu'minun (23) : Ayat 1-2]
Khusyu’ — tanda Mu'min ini sudah pasti khusyu' di dalam pengertian sebenar, iaitu "Hadir hati berserta Allah" tanpa paksaan, tanpa digagahi. Bukan buat-buat khusyu' sedangkan hati masih lalai dari mengingat Allah.
Khusyu’ ini hadir sendiri sebaik sahaja Salikin ini mengangkat Takbiratul Ihram. Bahkan sebelum angkat Takbir pun dia sudah merasai dirinya menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang dapat huraikan bagaimana caranya. Ianya semata-mata sebuah "perasaan" dan "pandangan mata hati" yang terbuka kepada Ketuhanan. Inilah Rahmat dan Kurniaan Allah kepada Salikin yang telah mujahadah menyucikan hatinya sehingga memperoleh Cahaya Ilahiyyah.
Inilah Khusyu' sebenar sebagaimana tuntutan Allah ke atas orang beriman. Sebelum Salikin memperoleh Khusyu' yang sebenar ini, iaitu ketika dia masih di peringkat awam, dia pun cuba juga untuk khusyu' dengan berbagai cara, iaitu memaksa diri atau menggagahi untuk berbuat khusyu' mengingat-ingat Allah, namun tak berjaya. Terkadang dia rasa mula khusyu' namun selang beberapa saat fikirannya sudah pun melayang jauh kepada pekerjaan dunia seperti ke pejabat, kedai kopi, taman permainan, tepi pantai, kenduri kahwin dan lain-lain.
Mengapakah orang awam tersangat susah untuk khusyu' ?
Mengapakah dia sering terhalang dari berbuat khusyu' ?
Apakah anasir yang menyebabkan halangan tersebut?
Penjelasan bagi persoalan ini amat panjang kerana sebab-sebab yang menghalang seseorang dari khusyu' juga amat banyak. Namun punca dan sebab-sebabnya dapat dihimpunkan jadi satu, iaitu hatinya terhijab.
Maksud hati yang terhijab adalah:
Hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan. Hatinya masih diselaputi berbagai lapisan-lapisan syirik khafi, mazmumah, dosa-dosa zahir dan dosa-dosa batin, maka terhalanglah dia dari menyaksikan Ketuhanan. Apabila hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan, maka terhalanglah dari khusyu', kerana terbitnya khusyu' itu dari hati, bukan aqal fikiran.
Maksud khusyu' adalah Hadir Hati berserta Allah, Merasai Keagungan-Nya, Merasai Kehebatan-Nya sehingga terasa diri tersangat hina, lemah, faqir, takut dan mengharap Keampunan dan Rahmat-Nya.
Inilah sebabnya Salikin dididik, diasuh, dilatih membersihkan hatinya dengan zikrullah, mujahadah melawan nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan serta latihan-latihan khusus yang lain sehingga hatinya benar-benar suci bersih. Ketika hatinya suci bersih dari sekalian aghyar, maka cermin hatinya memancarkan Cahaya Ketuhanan yang melimpah ke atasnya.
Ketika cermin hatinya memancarkan Cahaya Ilahiyyah yang terlimpah ke atasnya, maka melihatlah dia kepada Ketuhanan sehingga hatinya menjadi Khusyu'. Sekalian anggota zahir dan batinnya tunduk Mengagungkan-Nya. Ketika dia angkat Takbiratul Ihram, hati dan ruhnya sudah pun menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Agung.
Bersambung siri 287 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment