SIRI 267
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-10: Rawatan dan Penjagaan
(5) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Tawakkal kepada makhluq:
Pendekatan Khusus:
Penawar untuk penyembuhan yang sebenar bagi penyakit hati ini sama seperti yang telah kami huraikan berulangkali sebelum ini, iaitu dengan cara menyucikan hati sebersih-bersihnya dengan amalkan Toriqat (berserta Syari'at — ertinya jangan sesekali meninggalkan Syari'at) yang diwarisi oleh Mursyid yang Siddiq dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.
Sesungguhnya punca terjadinya seseorang Tawakkal kepada makhluq dan lupakan Allah Ta'ala adalah kerana hatinya yang lalai dari Zikrullah.
Punca manusia menggantungkan nasibnya kepada makhluq dan lupakan pergantungan kepada Allah adalah kerana hatinya diselaputi berbagai "hijab (tutupan)" yang menyebabkan terhalang dari menyaksikan Rahmat Allah Ta'ala.
Punca manusia menyandarkan segala kebaikan, keberhasilan dan keberuntungan kepada usaha ikhtiar dirinya adalah kerana hatinya telah dicemari oleh penyakit-penyakit hati yang tumbuh bercabang-cabang di dalamnya.
Dengan demikian tiada cara lain untuk keluar dari semua kerosakan dan kebinasaannya melainkan mengambil Penawarnya daripada Mursyid yang Siddiq. Pesakit akan diberikan berbagai ramuan serta menempuh berbagai mujahadah sehingga hatinya benar-benar bersih.
Apabila hatinya benar-benar bersih, dia tidak lagi bergantung hati kepada makhluq, dia tidak lagi menyandarkan apa jua kejayaan kepada usaha ikhtiarnya kepada makhluq, dia tidak lagi memandang makhluq berkuasa tetapi hanya Allah Ta'ala yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.
Ketika itu dia akan melihat hanya Allah Ta'ala yang berikan kesembuhan, hanya Dia Yang berikan keselamatan, hanya Dia yang Kurniakan Kejayaan, hanya Dia yang Kurniakan sekalian Ni'mat dan Rahmat.
Ketika itu akan berkumandanglah hatinya dengan Kalimat Tauhid....
La Hawla Wala Quwwata Illa Billah
(Tiada daya tiada upaya hanya Allah)
berulang-ulang tanpa henti, sedang hatinya terus-menerus zikir Allah Allah.
Sesungguhnya hal ini bukan dibuat-buat, bukan digagahi, dan bukan memaksa diri, tetapi Kalimat suci itu akan zahir dengan sendirinya tanpa paksaan apa pun. Semua ini berlaku dalam kedamaian dan ketenangan hati yang tiada terungkap...!
Bersambung siri 268 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment