Wednesday, April 22, 2026

SIRI 268


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan


(5) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Tawakkal kepada makhluq

sambungan.....



Kaedah orang awam:

Orang-orang awam yang belum mendapat pimpinan Mursyid yang Siddiq perlu mengikuti langkah-langkah berikut untuk mengurangkan kesan-kesan penyakit ini ke dalam hatinya. 


(1) Sentiasa sedar dan insaf, bahawa hanya Allah Ta'ala Berkuasa di atas segala sesuatu termasuk sekalian perbuatan kamu.   


(2) Sebelum melakukan suatu pekerjaan hendaklah mohon pertolongan Allah Ta'ala, sekurang-kurangnya bacalah ayat Tawakkal iaitu:  ( بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ) meskipun pekerjaan tersebut sudah lazim dilakukan.  Misalnya pergi ke tempat kerja, balik dari tempat kerja, ziarahi seseorang, pergi ke bank, pasar, kedai dll.  Hal ini akan menghindarkan diri dari pergantungan hati kepada makhluq.


(3) Sebelum memulakan sesuatu tugasan khusus seperti pembentangan kertas kerja atau membina sesuatu projek pembangunan, atau menerbitkan sesuatu yang baharu, maka lazimkan istikharah dan mohon Pertolongan Allah Ta'ala.  Akuilah diri kamu hamba yang lemah yang tiada memiliki apa-apa.  JANGAN sesekali memulakan apa juga tugasan, projek pembinaan, penerbitan dll dengan keegoan sendiri.  JANGAN sesekali rasa hebat dengan kemahiran, kecekapan, kepintaran kamu meskipun kamu sememangnya terkenal sebagai pakar.  Sebaliknya rasai kehebatan, Keagungan dan Kurnia Allah Ta'ala pada setiap pekerjaan yang kamu lakukan.


(4) Jika kamu mencapai suatu kejayaan, hendaklah cepat-cepat bersyukur kepada Allah dengan syukur yang sebanyak-banyaknya kerana "kejayaan" yang kamu capai BUKAN disebabkan keupayaan kamu, BUKAN disebabkan kecekapan kamu, BUKAN disebabkan kepakaran kamu, BUKAN disebabkan segala gelaran-gelaran dunia kamu seperti Master, PhD, Drs, Profesor, tetapi ingatlah semua kejayaan tersebut adalah Ni'mat Kurnia Allah Ta'ala.


(5) Jika kamu gagal dalam sesuatu pekerjaan, urusan, tugasan, maka akuilah kegagalan tersebut adalah kelemahan dan kekurangan diri kamu, kemudian berusahalah lagi dengan mohon Pertolongan Allah Ta'ala.  Kitaran seterusnya sama seperti di atas.


(6) Sepanjang melakukan apa jua pekerjaan cuba kekalkan ingatan pada Allah.  Dengan cara ini hati akan tetap bergantung kepada Allah serta terhindar dari tawakkal kepada makhluq, jauh dari keakuan diri yang membawa kepada Syirik dalam hati....  walaupun hal ini amat sukar sekali bagi orang awam.  


(7) Sekiranya datang lintasan dalam hati akan keakuan diri, hendaklah segera kembalikan hati kepada Allah Ta'ala dengan Istighfar, Taubat serta zikirkan Kalimah Tayyibah banyak-banyak.  Taubat dan Zikir Kalimah Tayyibah ini WAJIB di lakukan segera ketika itu juga.  Jika TIDAK bertindak segera, maka ketika itulah Syirik telah bertapak di dalam hati.  Sepanjang masa seseorang berada di dalam keadaan tersebut adalah termasuk dosa yang tidak disedari.  Ertinya bermula dari terdetiknya Syirik dalam hati sehinggalah dia bertaubat adalah dihitung dosa yang berat.  Dosa hati yang berat ini akan memakan sekalian amal bagaikan api membakar kayu api.  Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 269 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 276 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...