Saturday, April 18, 2026

SIRI 230


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi

Bentuk-Bentuk Riya'

sambungan....


Keempat:  Riya' di dalam Berpakaian:

sambungan....



(2) Riya' ketika berpakaian lusuh, buruk, murah, menunjuk-nunjuk kemiskinan


Jika seseorang sengaja berpakaian lusuh dan buruk dengan tujuan menunjukkan kewarakannya atau supaya dipuji orang sebagai Zuhud, maka ini juga termasuk Riya'.  


Ini bermakna BUKAN sahaja berpakaian mewah dan menunjuk-nunjuk kemewahan itu menjadi Riya' tetapi mereka yang berlagak seperti miskin dan sengaja berpakaian buruk dengan tujuan mendapat pujian manusia sebagai ahli Zuhud, maka ini Riya'. 


Sebahagian dari _salikin_ gemar berpakaian lusuh dan buruk untuk melatih diri meninggalkan gemar akan dunia, iaitu jauhkan dari kecintaan kepada dunia, maka ini perlakuan harus dan terpuji dengan syarat; dia tiada tujuan lain melainkan kerana Allah.  Sebaliknya jika mempunyai niat-niat lain yang menyimpang dari keikhlasan, maka merugilah dia.


Perhatikanlah:

Bukanlah jenis pakaian yang kamu pakai itu menjadi ukuran dan pertimbangan kebaikan atau keburukan, tetapi ukuran sebenarnya adalah hal "hati" yang menjadi penilaian Allah Ta'ala.  Namun pada keseluruhannya sebagaimana kami telah jelaskan hal ini berulangkali....  setiap perbuatan, perkataan dan perlakuan WAJIB menepati dua hal untuk menjadi ibadah dan mencapai keredhaan Allah Ta'ala:


Pertama:  Perbuatan dan Perkataan Wajib Mematuhi Hukum 

Kedua:     Hati Wajib Ikhlas


Jika seseorang melakukan suatu hal yang menepati Syari'at tetapi TIDAK Ikhlas, maka BATAL amalnya, bahkan menjadi syirik (syirik khafi).  Sebaliknya jika seseorang mendakwa dia ikhlas melakukan suatu hal tetapi perbuatan tersebut TIDAK menepati Syari'at, maka ini adalah haram — besar atau kecilnya dosa bergantung kepada ketentuan Syara'.


(3) Riya' ketika memakai pakaian kemuliaan 


Memakai Jubah dan serban adalah kegemaran Rasulullah ﷺ ketika mendirikan Solat atau ketika keluar rumah untuk suatu urusan.  Para Salaf Soleh, Ulama Mu'tabar — Ulama bertaraf Auliya Allah juga mencontohi pakaian Rasulullah ﷺ ini.  Maka mencontohi Rasulullah ﷺ memakai jubah dan serban adalah sunnah yang besar.  


Walau bagaimanapun perlulah seseorang memelihara hatinya daripada Riya'.  Jangan sesekali dia memakainya dengan tujuan mendapat pujian manusia atau dia ingin menunjuk-nunjuk bahawa dia orang mulia.  Ini kesalahan besar yang merosak Iman.


Jika pada awalnya dia memakainya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah tetapi kemudian datang perasaan Riya', maka WAJIB bagi dia segera memotong perasaan tersebut, istighfar segera mohon ampun kepada Allah Ta'ala serta ikhlaskan semula hati semata-mata _itba'_ (mengikut) Rasulullah ﷺ mencari Keredhaan Allah Ta'ala. 


Bersambung siri  231 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 246 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...