Saturday, April 18, 2026

SIRI 227


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi

Bentuk-Bentuk Riya'

sambungan....


Ketiga:  Riya' di dalam Ucapan, Berkata-kata, Pidato:

=======================================


Riya' amat mudah terjadi ketika seseorang berkata-kata, berucap atau bersyarah; sama ada berkata-kata khusus berkenaan Agama seperti berda'wah mengajak manusia kepada Allah atau berkata-kata berkenaan dunia yang berkaitan dengan Agama — seperti urusan muamalah jual beli, pernikahan, pemerintahan dll. 


Hal ini lebih mudah terjadi kepada mereka yang mempunyai ilmu Syari'at yang banyak — fiqh, usul fiqh, nahwu, sarf, mantiq, bayan dll atau memiliki kepakaran di dalam Ilmu Kalam/ Usuluddin (perbahasan sifat 20), atau mahir di dalam bahasa Arab atau mempunyai kehebatan di dalam motivasi atau kelebihan di bidang-bidang lain berkaitan dengan syarahan yang amat diminati atau diperlukan oleh manusia.


Bentuk-bentuk Riya' yang boleh terjadi ketika seseorang bercakap/ berceramah/ bersyarah/ motivasi dsb:


(1) Riya' dengan membaguskan ucapan, memperindah syarahan:


Hal ini paling umum terjadi kepada pensyarah/ penceramah/ motivator dsb yang memberikan ceramah/ motivasi di hadapan khalayak yang ramai. 


Contoh 1:

Seseorang pakar motivasi berucap dengan menyusun kata-kata yang indah agar mendapat pujian sebagai motivator terkenal, BUKAN kerana Allah, maka sia-sialah usahanya.  Yang sebenarnya, berikan motivasi/ dorongan/ bangkitkan semangat/ timbulkan kemahuan untuk maju ke hadapan itu sangat baik.


Namun apabila ianya dilakukan BUKAN kerana Allah, sebaliknya mencari kemasyhuran atau kebanggaan, maka jadilah usahanya sia-sia, bahkan menjadi Riya' dan Syirik (Syirik khafi) yang musnahkan segala amalnya.

 

Contoh 2:

Seseorang Penceramah umum atau Guru Agama atau Pensyarah Universiti menyusun kata-kata indah / mengindahkan syarahannya apabila di hadapan ramai pendengar / peserta, sedangkan ketika berhadapan dengan hadirin yang sedikit, ucapannya sekadar melepaskan batuk di tangga.  Tujuan seseorang berceramah, memberi nasihat, syarahkan hukum-hakam Agama dll adalah semata-mata kerana perintah Allah.  Selayaknya dia sampaikan sekalian ilmu dengan baik dan indah tanpa mengira siapa mereka; adakah mereka golongan biasa, rakyat biasa atau golongan ternama.  Tetapi dia memilih-milih tempat atau memilih-milih kelompok-kelompok tertentu atau bilangan perserta untuk menyampaikan Agama dengan baik dan sempurna, maka di sana terjadi Riya' yang tidak disedari.


Contoh 3:

Seorang Qori membaguskan bacaan Al-Qur'annya apabila sekitarnya terdapat pendengar.... seperti:  Apabila dia dikerumuni penonton, dia memperelokkan sebutannya, membaca dengan merdu dsb.  Tetapi apabila tiada yang mendengar bacaannya, dia cuma baca seperti biasa.  Tidaklah dia perbuat demikian melainkan kerana ingin menunjuk-nunjuk manusia kepandaiannya serta harapkan pujian mereka.  Ini jelas Riya' yang hapuskan segala amal bacaannya.  


Contoh 4: 

Seseorang Guru yang mahir di dalam Ilmu Kalam (perbahasan sifat 20), menyusun berbagai cara ucapan dan hujjah yang hebat agar dikenali sebagai Ahli Ilmu — Ilmu Kalam / Ilmu Usuluddin yang hebat.  Sebahagian dari penuntut-penuntut yang mahirkan diri dengan hujjah-hujjah (teori), Ilmu Ketuhanan, juga terjebak kepada hal ini.  Kadangkala sesama mereka juga masing-masing menunjukkan kehandalan pidato berkenaan Ketuhanan.


Contoh 5:

Seorang Imam Solat memperbaguskan bacaannya ketika dihadiri orang-orang kenamaan, figur-figur terkenal atau ahli jemaah yang hadir ramai.  Sebaliknya Imam tersebut membaca hambar ketika jemaah hanya dihadiri oleh orang-orang biasa, atau bilangannya sedikit.  Imam itu menggantungkan keindahan bacaannya kepada hadirin yang hadir untuk solat berjemaah dan BUKAN kerana mencari keredhaan Allah, maka ini jelas Riya'. 


Bersambung siri  228 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________________

  MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 246 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...