SIRI 213
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke 9: Perincian Syirik khafi.
Perincian Syirik khafi Pertama: Takabbur
sambungan....
Tanda-tanda wujud Takabbur:
sambungan.....
Larangan Menuduh orang lain Takabbur
Hendaklah difahami sungguh-sungguh, tujuan dibentangkan ilmu berkenaan Takabbur (dan juga sekalian sifat-sifat kecelaan hati yang menjerumuskan seseorang kepada dosa besar, seperti akan datang huraiannya) adalah untuk MUHASABAH DIRI, melihat ke dalam diri sendiri, cermin diri dan kemudian berusaha sungguh-sungguh menyucikan HATI dari sifat-sifat tersebut dengan mengikut panduan Ulama Mu'tabar. Ia bukan bertujuan menyelidiki hal ehwal orang lain, bukan menilai orang lain dan bukan menjatuhkan hukum atas orang lain berdasarkan pandangan mata kasar atau perlakuan fizikal seseorang.
Meskipun tidak dinafikan, pada suatu sisi pandangan yang kritis, perlunya seseorang atau sekumpulan orang beriman bertanggungjawab menegur mereka yang terang-terang bersifat Takabbur agar disempurnakan tanggungjawab Amr bil ma'ruf Nahyi Anil Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), namun ianya BUKAN boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh semua orang. Ini kerana wujud kesamaran dan kepayahan di dalam menentukan sama ada seseorang itu benar-benar bersifat Takabbur atau perlakuannya (perkataan atau tingkah laku) hanya sifat semulajadi yang wujud pada dirinya, bukan sebab Takabbur.
Sebagaimana telah termaklum sifat Takabbur tumbuh dan menetap di dalam hati pada permulaan, kemudian terkeluar ke dalam perkataan, sikap dan tingkah laku. Memang benar sebahagian dari sifat Takabbur akan terlihat pada zahir perkataan, sikap dan perbuatannya, namun untuk menuduh seseorang itu bersifat Takabbur memerlukan penelitian yang amat halus. Jika tersalah langkah tuduhan itu akan kembali kepada orang yang menuduhnya. Ertinya seseorang yang menuduh orang lain sebagai Takabbur tanpa haq (menuduh sewenang-wenangnya tanpa hujjah yang nyata), maka ditakuti orang yang menuduh itu sebenarnya Takabbur.
Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ
.
"Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu."
[Imam Bukhari]
Contoh-contoh bukan takabbur:
Contoh 1 : Seseorang lelaki berjalan dengan membusung dadanya, kelihatan seolah-olah berjalan dengan sombong... TIDAK semestinya dia sombong, kerana kemungkinan itu sifat kejadiannya yang asli.
Contoh 2 : Seseorang lelaki yang memakai jubah meleret, TIDAK semestinya melakukan Takabbur. Kemungkinan dia tiada jubah lain atau kemungkinan dia gemar memakai jubah meleret sedangkan dia tiada sifat kesombongan di dalam hatinya.
Contoh 3 : Seseorang yang sentiasa memakai pakaian mewah dan mahal tidak semestinya Takabbur. Boleh jadi dia memakai pakaian mewah lalu mensyukurinya.
Contoh 4 : Seseorang yang memakai kenderaan yang teguh dan kuat untuk menyebarkan Agama, maka tidaklah dia dikatakan sombong.
Contoh 5 : Seseorang yang memiliki rumah besar dan lapang yang dia gunakan untuk manusia berkumpul mengadakan Musyawarah atau Majlis Zikir atau Majlis Pengajian Agama atau lain-lain seumpamanya.
Bersambung siri 214 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment