■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 630)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Dalil Al-Qur'an 1
Firman Allah Ta'ala :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]
Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu:
"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali yang telah diketahui olehnya. Dan orang yang meninggalkan fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan, kecuali Zikrullah. Zikir kepada Allah tidak memiliki batas dan tidak ada alasan bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal. Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."
[Tafsir Ibnu Abbas}
Kata Imam Ibnu Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:
"Maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang beriman, sebutlah Allah dengan hati, lidah, dan tubuh kalian dengan sebutan yang banyak. Janganlah tubuh kalian berhenti dari berzikir kepada-Nya menurut kesanggupan kalian."
[Tafsir Tabari]
Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq. Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."
[Tafsir Qurtubi]
Kata _Al-Qutb Tajul Arifin_ Shaikh Yahya Radhiallahu anhu:
"Ya anakku, adapun hukum Zikir Allah itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."
[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]
Penjelasan:
(1) Perintah Allah di atas menyuruh orang-orang beriman Zikir Allah dengah Zikir yang banyak. Zikir yang banyak bermaksud tiada had atau batas dan diperintah terus-menerus di dalam semua keadaan.
(2) Ayat ini perintahkan Zikrullah, ertinya Zikir ingat Allah, sama ada dengan lisan (berserta ingatan di dalam hati akan Allah) atau semata-mata Ingat Allah di dalam hati.
(3) Perintah Allah ini menyebut Zikir kepada Allah dengan zikir yang banyak, ertinya apa saja lafaz Zikir yang membawa ingat kepada Allah. Sama ada kamu zikir dengan Ismuz-Zat, iaitu "zikir Allah" atau "La-ilaha-Illallah" atau kamu berzikir dengan ismus-Sifat, iaitu Sifat Allah dengan menyebut Asma Allah yang Maha Sempurna, seperti : Ya Latiff, Ya Qahhar, Ya hayyu Ya Qayyum dan lain-lain. Semuanya menuju kepada hakikat Zikrullah, iaitu Ingat Allah terus-menerus.
(4) Daripada Tafsiran Ibnu Abbas yang tersebut tadi, kita memahami adalah wajib atas setiap orang beriman melakukan Zikrullah dengan sebanyak-banyaknya dan di dalam semua keadaan. Bagaimanakah cara menyempurnakan kewajipan ini?
Pertama : Diperintah berzikir sebanyak-banyaknya
Kedua : Diperintah Zikir di dalam semua keadaan. (ertinya ketika berjalan, duduk, berbaring, ketika makan minum, ketika bekerja cari rezeki... bahkan semua keadaan)
Apakah mungkin seseorang mampu berzikir dengan zikir yang banyak dan pada masa yang sama dilakukan di dalam semua keadaan?
Kedua-dua ini tak mungkin dilakukan oleh seseorang melainkan dengan Zikir khafi, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati atau maksudnya : Ingat "Allah" terus-menerus di dalam hati."
Ini bermakna Zikrullah yang diwajibkan atas setiap orang beriman adalah Zikir Allah Allah di dalam hati.
(5) Menurut keterangan Ulama di atas juga, kita dapat faham ayat Allah ini berikan isyarat bahawa di antara tanda-tanda orang beriman dengan keimanan yang benar adalah dia melakukan Zikrullah dengan zikir yang banyak sementara orang berzikir sedikit atau malas berzikir adalah tergolong ke dalam orang yang mempunyai sifat munafiq.
Catitan:
Untuk membaca jawapan lengkap sila rujuk Risalah kami bertajuk:
"Zikir Allah Allah"
Bersambung siri 631 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳