■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 623)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Contoh bid'ah wajib
=================
Bid'ah wajib bermakna perkara baru yang wajib diadakan demi memelihara Agama dan demi kebaikan orang-orang Islam memahaminya dengan benar menurut Kehendak Allah dan Rasul-Nya.
(1) Membukukan Al-Qur'an
Menurut Ulama Ahlus Sunnah, mengumpulkan ayat-ayat Qur'an menjadi kitab yang tersusun adalah WAJIB. Ertinya menulis Al-Qur'an pada lembaran kertas dan menjilidkannya menjadi satu jilid kitab yang tersusun adalah WAJIB. Semasa hayat Rasulullah ﷺ, Al-Qur'an terdiri dari lembaran daun, kulit unta dan batu-batuan. Sahabat membaca Al-Qur'an dari kulit kayu dan kulit unta. Rasulullah ﷺ sendiri tidak pernah menyuruh menjilidkan Al-Qur'an (dan juga tidak melarangnya). Tetapi Ulama Ahlus Sunnah melakukan ijtihad menyatakan wajib bukukan Al-Qur'an untuk memelihara kesuciannya dan keselamatannya. Selain itu memudahkan orang awam membacanya dengan tepat dan baik.
(2) Memberikan titik dan baris kepada ayat Qur'an
Ayat Qur'an yang Nabi dan Sahabat baca tidak mempunyai baris dan titik. Ulama pada zaman Tabiin melakukan ijtihad meletakkan titik dan baris untuk memudahkan Ummat Islam awam membacanya. Perbuatan ini adalah bid'ah wajib menurut Ahlus Sunnah kerana tanpa titik dan baris tak mungkin bagi orang 'ajam (selain Arab) membacanya.
(3) Ijtihad menerbitkan Ilmu Syari'at — Fiqh
Menyusun hukum, syarat, rukun di dalam solat (dan juga puasa, zakat, Haji, jual beli, jenayat, munakahat dan lain-lain) menjadi satu disiplin ilmu tersendiri dinamakan Ilmu Fiqh adalah bid'ah wajib.
Pada zaman Rasulullah ﷺ dan sahabat segala macam ilmu wujud dalam bentuk yang satu - belum ada pembahagian ilmu.
Ulama Ahlus Sunnah mengatakan Wajib mengadakan Ilmu Fiqh bagi memudahkan orang awam memahami syarat, rukun dan peraturan lain. Tanpa ilmu fiqh, kebanyakan orang Islam (orang awam) tidak mengetahui cara-cara melakukan ibadah.
Dengan sebab itu, mengadakan Ilmu Fiqh dalam bentuk tersusun sebagai sebuah ilmu tersendiri adalah wajib.
(4) Ijtihad Ilmu Usuluddin
Menerbitkan Ilmu Usuluddin bagi memahami Dasar-dasar I'tiqad dan Keimanan. Iaitu cara-cara memahami pengertian Rukun Iman dan kaedah-kaedah khusus i'tiqad berkenaan beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul-Rasul, Hari Qiamat dan Qadha Qadar.
Nabi tak pernah suruh mencipta Ilmu Usuluddin. Tetapi para Ulama Ahlus Sunnah melakukan ijtihad menghimpun hal-hal keyakinan, keimanan menjadi satu disiplin ilmu tersendiri kerana tanpa mempelajarinya tak mungkin seseorang Islam menjadi orang beriman. Bahkan mereka akan jatuh kepada kekufuran. Dengan demikian ijtihad menghimpunkan Ilmu Usuluddin adalah termasuk bid'ah wajib.
(5) Ijtihad Ilmu Tasawwuf
Menyusun hukum-hakam berkaitan dengan hati, penyakit hati, bahaya-bahaya penyakit hati kepada amal ibadah dan Iman seseorang menjadi satu disiplin ilmu tersendiri adalah wajib - dinamakan Ilmu Tasawwuf.
Ulama Ahlus Sunnah yang 'arif mengenal Allah mengatakan Wajib menuntut Ilmu Tasawwuf (dan amalkan menurut disiplin Toriqat) serta menghayatinya kerana tanpa Ilmu Tasawwuf dan Toriqat, semua manusia akan berdosa besar bahkan akan menjadi syirik tanpa disedari (termasuk orang-orang bergelar alim, Profesor, Kiyai, ustaz sekalipun)
Bersambung siri 624 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment