SIRI 359
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 14: Kasyaf dan Khitob
Mursyid adalah hamba-hamba Pilihan Allah yang telah diangkat ke Hadratul Quddus, menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci, Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai’un. Mereka sentiasa menerima seruan-seruan suci berupa Ilham, Firasat, Kasyaf_ (Kasyaf Hakiki atau Kasyaf Nur) dan Khitob dari Allah Ta’ala serta di dalam pimpinan ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.
Sesungguhnya Kasyaf Hakiki ini hanya Di-Kurniakan oleh Allah Ta’ala kepada hamba-hamba Pilihan-Nya yang telah sampai ke Maqam Hadratul Quddus, atau disebut sebagai Maqam Mukasyafah Zat, terbuka kepada melihat Wajah Allah Yang Laisa Kamithlihi Syai’un.
Maqam Tauhid tertinggi ini tidak diberikan kepada orang alim fiqh atau orang bergelar “Ulama” pada adat duniawi, meskipun mereka memiliki berbagai Ijazah Universiti seperti Profesor, PhD, Drs, Masters atau lain-lainnya.
Maksud Kasyaf yang kami sebutkan adalah Kasyaf Hakiki, iaitu terbuka hati dan ruh dan sirr (rahsia yang sangat mendalam) kepada Allah Ta’ala. Melalui Kasyaf Hakiki ini seorang Mursyid akan membimbing Ummat manusia kepada Allah dengan selamat.
Mursyid mengetahui penyakit-penyakit hati, kekejian dan syirik (Syirik Khafi) yang sedang mencengkam hati murid, sehingga binasa segala amalnya dan rosak Imannya. Kebanyakan manusia tidak mengetahui penyakit-penyakit hati, nafsu-nafsu kejahatan dan bisikan-bisikan syaitan yang sedang berusaha menariknya kepada kesesatan. Di sinilah peranan Mursyid merawat dan membaiki kerosakan-kerosakan hati murid yang membawa kepada kerosakan Iman dan binasa segala amalnya. Dan seterusnya menjadi benteng dan perisai bagi murid agar dia selamat daripada segala gangguan yang membinasakan.
Maka fahami sungguh-sungguh tujuan Allah Ta’ala Kurniakan Kasyaf kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq BUKAN untuk melihat keaiban manusia atau untuk membaca hati manusia atau untuk melihat kejadian-kejadian ghaib. Sebaliknya Kurnia Allah tersebut kepada Mursyid adalah bertujuan mendidik dan membersihkan jiwa manusia daripada kesyirikan (Syirik Khafi), mazmumah dan dosa-dosa hati yang lain dan melepaskan mereka daripada anasir-anasir nafsu kejahatan dan bisikan-bisikan syaitan yang membelenggu mereka.
Adapun Kasyaf Hissi atau disebut Kasyaf Suri kepada hamba Allah yang mencapai Maqam Mukasyafah yang tahqiq adalah sebagai tambahan Ni’mat kepada mereka demi memelihara Agama daripada ancaman manusia fasiq, kafir dan jinn syaitan. Ia bukan matlamat Mursyid dan tidak termasuk Syarat Mursyid.
Ungkapan lain bagi Kasyaf Hakiki ini adalah “Maqam Mukasyafah” atau disebut “Maqam Ihsan” sebagaimana Isyarat Hadith Junjungan Rasulullah ﷺ.
Rasulullah ﷺ bersabda:
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
"Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau."
[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]
Inilah pengertian sebenar Kasyaf. In Shaa Allah akan datang penjelasan lanjut berkenaan Pengertian Kasyaf menurut Ahlus Sunnah yang benar.
Bersambung siri 360 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment