SIRI 283
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-5: Memperoleh Ikhlas yang sebenar
Di antara tanda-tanda hamba Allah telah mencapai Maqam Tauhid yang hakiki adalah, memperoleh Ikhlas yang sebenar-benar suci murni.
Maksud Ikhlas yang suci murni adalah:
(1) Setiap ibadah yang dikerjakannya hanya semata-mata kerana Allah, mencari Keredhaan dan Kasih-Nya BUKAN kerana mencari pahala-pahala, BUKAN kerana ganjaran-ganjaran, BUKAN juga kerana inginkan mahligai indah, bidadari atau kebendaan lain yang disukai nafsu di Syurga. Sebaliknya matlamat dan harapannya hanya Allah, berserta Allah, daripada Allah, kembali kepada Allah.
(2) Setiap amal kebajikan yang diperbuatnya atau sedekah atau kerja-kerja kebaikan untuk Ummat, jihad fi Sabilillah, semua itu hanya kerana Allah. BUKAN kerana pujian, BUKAN kerana habuan dunia, BUKAN kerana nama, pangkat, kedudukan. BUKAN kerana merebut-rebut kerusi politik dunia (seperti yang banyak berlaku pada zaman ini).
(3) Niat sekalian suatu "kerana Allah" adalah: Melihat dari dalam hati bahawa setiap Ibadah, ketaatan dan kebajikan yang dilakukannya adalah dari Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya, BUKAN kerana usaha ikhtiar atau kemampuannya atau kekuatannya.
Ketika berdiri untuk solat, dia melihat Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya untuk melakukannya. Ketika takbiratul ihram, ketika ruku', ketika sujud semuanya dipandang Kurnia Allah kepadanya BUKAN keupayaan dirinya atau kekuatannya.
Ketika dia mengerjakan puasa, haji, da'wah, jihad, sedekah dan ibadah yang lain-lain tidak dipandang akan kekuatannya atau kemampuannya, melainkan hanya dipandangnya Kurnia Allah dan Kemurahan Allah kepadanya.
Jika pada suatu saat dia berjaya melakukan suatu perkara misalnya kejayaan di dalam pelajaran, cemerlang di dalam perniagaan atau mencapai kemajuan di dalam pentadbiran atau lain-lain sepertinya, semua kejayaan, kecemerlangan, kehebatan tersebut dilihatnya Rahmat dan Kurnia Allah kepadanya, BUKAN kerana keupayaannya.
(4) Tidak sama sekali mempersekutukan Allah di dalam ibadahnya dengan kebanggaan, kemegahan, takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain. Sekalian keakuan diri sudah musnah apabila Cahaya Af'al Allah menyinari hatinya.
(5) Tidak sama sekali merasakan dirinya sudah "ikhlas" sebaliknya dia hanya melihat dirinya berserta Allah di dalam setiap Ibadah dan ketaatannya. Ini kerana merasa sudah ikhlas belum ikhlas lagi. (Akan datang keterangan)
(6) Segala daya upayanya hilang di dalam _Qudrat_ Allah dan Limpahan Kurniaan dan Kemurahan-Nya, lalu dia berkata: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّه
(Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah).
Bersambung siri 284 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment