SIRI 272
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Ma'rifat — Tauhid Hakiki, Iman Sejati
Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah, iaitu Jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Fakta 1: Tauhid yang benar dari Penghayatan hati dan ruh
Sesungguhnya pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin adalah sebenar-benar Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih daripada kesyirikan atau kekejian. Inilah sebenar Tauhid yang tiada waham, syak atau zonn di dalamnya. Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah "Tauhid yang suci murni" menghayatinya dari dalam hati dan ruhnya, bukan sekadar mengulang-ulangi teori aqal tentang Ketuhanan, dan bukan sekadar orang yang petah berhujjah sedangkan batinnya kosong.
Fakta 2: Mujahadah pada Jalan Ma'rifat
Tauhid yang suci murni ini hanya terhasil setelah seseorang Islam mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan mematuhi sekalian syarat dan adab-adabnya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Belajar menyucikan hati dan menundukkan nafsu-nafsu kerendahan, berusaha merawat penyakit batinnya yang amat berat — ego takabbur, 'ujub, riya', sum'ah dan lain-lain.
Fakta 3: Pemimpinnya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Sesungguhnya Pemimpin yang menunjukki Jalan memperoleh Tauhid yang hakiki ini adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Merekalah, dan hanya mereka yang mewarisi Ilmu Rasulullah ﷺ zahir dan batin. Allah Ta'ala Kurniakan mereka Rahsia-Rahsia Ketuhanan dan rahsia-rahsia kehambaan yang dengannya mereka memimpin manusia mencapai Keimanan sejati (Ma'rifat suci murni).
Fakta 4: Mengenal Allah melalui pancaran Cahaya Ilahiyyah
Ketika hati Salik telah suci bersih dari segala penyakit-penyakit hati dan mula bersinar dengan cahaya Zikrullah yang meliputi seluruh tubuhnya, maka ketika itu Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah Melimpahkan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) ke dalam hatinya. Maka melihatlah Salikin kepada Ketuhanan melalui pancaran Cahaya Ilahi ini tanpa sebarang kaifiyyat atau cara.
Fakta 5: Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin
Salikin yang telah mencapai Tauhid yang hakiki atau Iman sejati ini tidak lagi bergantung kepada dalil-dalil untuk beriman kepada Allah sebagaimana orang awam. Orang Islam awam memerlukan dalil dan hujjah-hujjah aqal untuk percaya Wujud Allah dan Sifat-Sifat-Nya, Asma'-Nya dan Af'al-Nya. Sedangkan Salikin "melihat Wujud Allah dari dalam hati". Mereka dibukakan oleh Allah "mata hati” menyaksikan sekalian Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah dengan penuh keyakinan. Inilah Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin sehingga Tajallul Yakin.
Bersambung siri 273 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment