SIRI 271
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan:
Sambungan...
(11) Pengenalan Umum Iman Salikin — Lima Tingkatan Ma'rifat:
Setelah kami jelaskan Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Jalan Ma’rifat), yang mereka warisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ, maka di sini kami jelaskan pula berkenaan Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Sistem Pendidikan tersebut.
Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq terdiri dari 5 Tingkatan Tauhid:
Tingkatan 1: Maqam Tauhid Af'al
Tingkatan 2: Maqam Tauhid Asma'
Tingkatan 3: Maqam Tauhid Sifat
Tingkatan 4: Maqam Tauhid Zat
Tingkatan 5: Maqam Kesempurnaan Tauhid Zat (Tajalli Zat)
Setiap Tingkatan Tauhid ini terdiri dari beberapa darjat yang lain yang bercabang-cabang, masing-masing dengan Amanah tersendiri. Sesungguhnya setiap Maqam ini adalah semata-mata Anugerah Allah Ta'ala kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”.
[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]
Sebagaimana kita bicarakan hal ini di dalam beberapa siri yang telah lalu, sesungguhnya Pencapaian Tauhid inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah yang menutup pandangan mata hati. Inilah Ma'rifat dan Ubudiyyah yang dituntut oleh Allah Ta'ala sebagaimana Isyarat-Nya:
Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku”.
[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:
"Pengertian "يَعْبُدُونِ" (Ya'budun) pada ayat ini adalah "يعرفون" (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya, (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".
[Tafsir Ibnu Abbas]
Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar. Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati".
[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]
Setiap Salikin yang mujahadah sungguh-sungguh, menempuh perjalanan yang panjang dengan penuh keikhlasan serta kesabaran, dan mematuhi sekalian adab-adabnya, maka akan terbuka baginya pintu-pintu Tauhid yang hakiki ini. Maka jadilah dia hamba Allah yang Kenal Allah dengan sebenarnya dan Ubudiyyah setulus hati.
Mengenal Allah dan Ubudiyyah ini BUKAN fikir aqal, BUKAN berhujjah-hujjah, BUKAN berdebat-debat berkenaan Ketuhanan, sebaliknya ia adalah pancaran Cahaya Rabbaniyyah kepada Salikin yang melaluinya dia melihat kepada Ketuhanan dari dalam hati dan ruhnya. Inilah Tauhid yang hakiki yang di-Kehendaki oleh Allah.
Firman Allah:
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦۚ
“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”.
[Az Zumar (39) : Ayat 22]
Bersambung siri 272 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment