SIRI 209
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang
Fakta ke-9: Perincian Syirik khafi.
Perincian Syirik khafi Pertama: Takabbur
sambungan....
Tanda-tanda wujud Takabbur:
Sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini, Takabbur itu timbul di dalam hati serta menetap di dalam hati. Walau bagaimanapun kebanyakan manusia yang memilki sifat Takabbur tidak dapat menahan diri dari menzahirkan sifat Takabbur itu di dalam perkataan dan tingkah laku. Maka tanda-tanda Takabbur itu terlihat di dalam ucapannya atau tingkah lakunya.
Asas kepada tanda-tanda ini dapat difahami dari Hadith Rasulullah ﷺ, iaitu dua perkara :
Pertama : Meninggikan diri (membesarkan diri) serta menghina orang lain.
Kedua : Menolak kebenaran.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak akan masuk Syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat Takabbur sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu Indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ telah memberikan indikasi tanda Takabbur pada diri seseorang iaitu : "Menolak kebenaran" dan "menghina orang lain". Daripada dua tanda Takabbur ini, bercabang-cabang pula banyak lagi tanda lain menunjukkan kepada wujud sifat Takabbur di dalam diri seseorang, sebagaimana dijelaskan oleh sekalian Ahli Ma'rifat. Semua orang Islam wajib mengetahuinya serta menjauhkannya.
Berikut adalah sebahagian besar dari tanda yang terlihat pada orang yang Takabbur. Kita mulai dengan menyebut secara khusus dua Tanda sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah ﷺ, kemudian diikuti dengan cabang-cabang yang terbit daripada dua tanda tersebut. Perhatikan baik-baik, ambil pengajaran.
Tanda Pertama: Besarkan diri, hina orang lain
Gemar bercakap besar membangga-bangga diri dengan kebolehannya, serta memandang remeh kemampuan orang lain.
Contoh :
■ Dia berkata: "Ini semua hasil kecerdasan dan kepandaianku, kamu semua tak tau apa-apa."
■ Dia berkata: "Aku yang buat semua ini, kalaulah aku tak ada, tak siapa mampu buat."
■ Dia berkata: "Kalau bukan kerana kebijaksanaan aku, sudah lama Negara ini muflis."
■ Dia berkata: "Kalau bukan kerana kecekapan aku, kamu semua sudah lama mati."
■ Dia berkata : "Semua kejayaan ini adalah hasil usahaku yang gigih, tak ada siapa pun mampu buat semacam ini."
Ini adalah penyakit paling besar bagi orang Islam yang suka Takabbur. Mereka akan cuba meyakinkan orang awam bahawa diri mereka yang terbaik, diri mereka paling hebat, diri mereka yang unggul sempurna sedangkan lawannya atau orang lain tak dapat menandingi kehebatannya. Mereka akan cuba menonjolkan diri mereka sebagai yang terbaik sementara orang lain akan dikata sebagai "buruk", "tidak cekap", "lemah", "pemalas" dan sebagainya agar orang lain kelihatan hina pada pandangan orang awam.
Bersambung siri 210 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment