SIRI 206
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke 9: Perincian Syirik khafi.
Perincian Syirik khafi 1 : Takabbur
sambungan....
Takabbur Kepada Rasulullah ﷺ:
Jika dia orang Islam, lalu dia sombong kepada Allah dan Rasul-Nya — iaitu memperolok-olok ajaran Rasul ﷺ, mengejek, caci maki Rasulullah ﷺ, kemudian dia tidak Taubat Nasuha dengan segera.... maka tidak syak lagi dia akan jatuh murtad, keluar dari Agama menjadi kafir. Wal Iyazubillah.
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا (57) وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan Melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
[Al-Ahzab (33) : Ayat 57-58]
Jika dia orang Islam, meyakini Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ, mengerjakan Solat, Puasa, Zakat, Haji serta kewajipan lain, tetapi dia menyombongkan diri dengan ajaran Rasulullah ﷺ yang sebenar, menyombongkan diri dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya, lalu dia menyimpang membuat firqah sendiri, maka jatuhlah dia kepada golongan sesat ... meskipun dia bergelar Ulama, meskipun dia Hafiz Qur'an, meskipun dia bangun Tahajjud setiap malam.
Golongan ini yang dimaksudkan oleh Nabi ﷺ dengan 72 golongan yang sesat. Di antaranya yang masih menyebarkan ajaran sesat ini adalah : Golongan Syi'ah (rafidhi) dan Wahhabiyyah (khawarij). Sesungguhnya golongan menyombong ini tertipu dengan tipu daya Syaitan tetapi mereka tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah. Mohon Pertolongan Allah agar terhindar dari golongan sesat ini.
Takabbur kepada Makhluq:
Jika seseorang Islam Takabbur kepada makhluq disertai dengan Penderhakaan kepada Perintah Allah Ta'ala, maka jatuhlah dia kepada kekafiran. Hal ini yang terjadi kepada makhluq Allah yang pertama sekali melakukan Takabbur sehingga diabadikan di dalam Al-Qur'an sebagai pengajaran yang paling besar kepada Ummat Islam yang beriman sepanjang umur dunia. Iblis yang namanya Azazil adalah bangsa Jinn yang beribadat bersama para Malaikat dan menjadi Guru kepada Malaikat selama ribuan tahun, jatuh tersungkur menjadi kafir disebabkan keengganan kepada Perintah Allah supaya sujud (hormat) kepada Nabi Adam Alaihis Salam.
Firman Allah :
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لاًّدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَـفِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan Takabbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.
[Al-Baqarah (2) : Ayat 34]
Seseorang Islam yang takabbur kepada makhluq semata-mata (BUKAN TAKABBUR KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA), meninggikan diri, menyombongkan diri, memandang diri sendiri dengan kemuliaan serta menghinakan orang lain, adalah dia termasuk orang yang fasiq, berdosa besar dan telah melakukan Syirik (syirik khafi), mempersekutukan Allah di dalam hatinya. Rosak Tauhidnya dan musnah segala amalnya. Wal Iyazubillah.
Takabbur yang ketiga inilah yang fokus perbincangan utama di dalam Risalah ini. Maksudnya kita tidak akan membincangkan hal ehwal Iblis atau hal ehwal Fir'aun yang kafir, tetapi tumpuan kita adalah kepada "Takabbur yang dilakukan oleh orang Islam yang beriman."
Bersambung siri 207 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment