Wednesday, April 24, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 330)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 46:

Sebarkan berita tanpa usul periksa

sambungan....


Dalil-Dalil

sambungan......



Dalil 2: Firman Allah:


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً


Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.   

[Al-Isra’ : (17)  Ayat 36]



Dalil 3 : Firman Allah:


إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُوا بِٱلإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنْكُمْ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرّاً لَّكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ ٱمْرِىءٍ مِّنْهُمْ مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلإِثْمِ وَٱلَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ


"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu.  Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

[An-Noor (24) ; Ayat 11]


Dalil 4 : Rasulullah  ﷺ  bersabda:

 "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya, akan dilempar ke Neraka sejauh antara timur dan barat."

[Imam Muslim]


Dalil 5 : Rasulullah ﷺ  bersabda:


كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ


"Cukuplah seorang dikira sebagai berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang didengarinya." 

[Imam Muslim] 


Dalil 6: Rasulullah ﷺ  bersabda:


التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ


“Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.”

[Imam Bayhaqi]


Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:

“Seseorang boleh dikatakan pendusta kerana berita yang didengar boleh jadi telah ditokok tambah.  Adapun makna hadith dan athar  pada bab ini mengandungi  peringatan membicarakan setiap apa yang didengar oleh manusia.  Ini kerana yang didengar boleh jadi benar dan boleh jadi dusta. Demikian  kebiasaan yang terjadi di tengah-tengah kita. Jika seseorang menceritakan setiap apa yang dia dengar, maka dia telah berdusta kerana memberitakan sesuatu yang sebenarnya tidak terjadi."

[Syarah Muslim]


Bersambung siri 331 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 329)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 46:

Sebarkan berita tanpa usul periksa

sambungan....




Dalil-Dalil

========


Dalil 1: Firman Allah


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” 

[Al Hujurat (49): Ayat  6]



Ringkasan asbabun-nuzul  (sebab turun ayat)

______________________________________________


Rasulullah ﷺ menghantar Walid ibn 'Uqbah Ibn Ma'ith kepada Qabilah mustaliq untuk memungut zakat. Tetapi Al-Walid balik tangan kosong dan ceritakan pada Rasulullah ﷺ bahawa Bani Mustaliq enggan berikan zakat dan merancang untuk membunuhnya. Sedangkan itu adalah cerita bohong. Maka turun perintah Allah ini memberikan peringatan agar jangan terburu-buru menghukum apabila orang fasiq bawa cerita (Al-Walid dikatakan sebagai fasiq), sebaliknya siasat dahulu kebenarannya.  


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Perintah Allah ini turun berkenaan Al-Walid ibn 'Uqbah Ibn Ma'ith yang di hantar oleh Rasulullah  ﷺ  kepada Bani Mustaliq untuk memungut zakat. Tetapi dia balik dengan mendakwa Bani Mustaliq hendak membunuhnya. Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat ini,  “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq (fasiq di sini merujuk kepada Walid bin 'Uqbah bin Mu'ith) membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” 

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Dalam sebuah riwayat dinyatakan bahwa Nabi ﷺ mengutus Walid ibn 'Uqbah Ibn Mu'ith kepada qabilah Bani Al-Mustaliq setelah mereka masuk Islam. Ketika mendengar hal itu mereka pun menaiki haiwan tunggangan untuk menjemputnya. Ketika Al Walid mendengar mereka mengenderai haiwan tunggangan, dia merasa takut terhadap mereka, sehingga dia pun kembali kepada Rasulullah ﷺ dan memberitahu bahawa mereka berniat membunuhnya dan enggan membayar zakat. Rasulullah  ﷺ pun berniat untuk memerangi mereka. Ketika mereka di dalam keadaan demikian, tiba-tiba datanglah delegasi Bani Mustaliq kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, "Wahai Rasulullah, kami telah mendengar ehwal utusanmu, lalu kami pergi untuk menjemputnya, guna memuliakannya dan memberikan zakat yang telah kami terima, namun utusan itu langsung pergi. Kami dengar dia mengadu pada Rasulullah  ﷺ bahawa kami berangkat untuk memeranginya. Demi Allah, kami tidak berangkat untuk hal itu."  Allah menurunkan ayat ini dan Al-Walid pun dinamai "fasiq".

[Tafsir Qurtubi]  


Firman Allah ini [Al Hujurat (49): ayat  6] merupakan amaran dan peringatan cukup keras kepada sekalian orang beriman agar sentiasa waspada, hati-hati, membuat pertimbangan adil dan menyelidiki suatu berita sebelum menerimanya dan lebih waspada sebelum menyebarkannya kepada umum.  Menerima bulat-bulat apa saja yang didengari lalu sebarkannya kepada umum adalah kebodohan yang membinasakan. 



Bersambung siri 330 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Monday, April 22, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 328)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 46:

Sebarkan berita tanpa usul periksa

sambungan....




Penjelasan (sambungan)


(4) Pada zaman internet yang serba maju, Ummat Islam terdedah kepada jutaan maklumat, khabar, kisah, pengetahuan yang datang dari berbagai penjuru dunia.  Sebahagian daripadanya mengandungi "racun" yang membinasakan keyakinan dan pegangan Ummat Islam. Sebahagian lagi membawa kepada fahaman dan doktrin batil dan sesat. Sebahagian lagi mengandungi unsur-unsur kepalsuan, adu domba, fitnah dan permusuhan.


(5) Orang yang menyebarkan apa saja berita yang dibaca atau didengarinya tanpa usul periksa dan meneliti kebenarannya menurut Pegangan Ahlus Sunnah akan jatuh kepada beberapa dosa besar, di antaranya :


(i)  Dosa sebarkan doktrin batil dan sesat Aqidah seperti fahaman Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), sekular (liberal) dan lain-lain berjumlah 72 Golongan sesat Aqidah. 


(ii) Dosa sebarkan fahaman sesat di dalam keruhanian seperti golongan batiniah, golongan hakikat palsu, golongan wali palsu,  dan lain- lain berjumlah 11 golongan (menurut fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu). 


(iii) Dosa sebarkan maklumat batil dan tuduhan palsu kepada  "Ahli Sufi", "Ulama Billah",  "Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq" sehingga masyarakat memandang serong kepada mereka sedangkan mereka (Ahli Sufi, Mursyid, Ulama Billah, Ahli Ma'rifat adalah Pewaris Nabi yang sebenar yang dipilih oleh Allah bagi memimpin Ummat kepada Allah). 


(iv) Dosa melakukan tuduhan palsu sehingga seseorang atau suatu kelompok terfitnah dan buruk namanya.


(v) Dosa sebarkan permusuhan di kalangan Ummat. 


(vi) Dosa membesar-besarkan politik kepartaian demokrasi yang fasiq sehingga masyarakat berpecah belah. 


(6) Dosa yang terkena akibat perbuatan "sebarkan berita tanpa usul periksa" akan menjadi dosa jariah (dosa berterusan sampai Qiamat selagi terjadi penyebaran kepalsuan berkenaan).  Ertinya meskipun orang berkenaan sudah mati, tetapi maklumat fasiq, batil, sesat yang telah disebarkannya akan terus tersebar sehingga dia mendapat saham dosa penyebaran tersebut.  Wal Iyazubillah


(7) Pada zaman kini maklumat palsu, berita palsu, fahaman batil dan sesat hanya mengambil masa 2 saat untuk berpindah ke seluruh dunia.  Sekali kamu pindahkan berita palsu ke dalam internet, maka ia tersebar ke seluruh dunia secepat kilat dan tak ada peluang kamu menarik baliknya.  Ertinya dosa yang kamu sebarkan melalui internet akan membawa dosa jariah (dosa berterusan sampai Qiamat) dan kamu akan mendapat bahagian dosanya meskipun kamu sudah masuk kubur.


(8) Orang beriman yang sebenar beriman sentiasa waspada, hati-hati, dan sentiasa meneliti setiap apa yang dia sampaikan kepada manusia, terutama berita, khabar, ilmu, maklumat berkenaan Agama, hukum-hakam Agama, halal haram, Perintah dan larangan.  Orang beriman tidak akan bercakap dan menulis melainkan setelah dia yakin dengan ainul yaqin (keyakinan pasti berdasarkan pandangan mata-hati)


(9) Punca seseorang Islam jatuh kepada kepalsuan, kebatilan dan kesesatan adalah kerana tidak mempunyai kefaman yang benar berkenaan Ahlus Sunnah yang benar.


(10) Untuk memperoleh kefahaman yang benar dan keyakinan yang hakiki berkenaan Agama (Ahlus sunnah yang benar),  jalan selamat adalah dengan cara mencari Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq yang yang benar-benar mewarisi Nabi zahir dan batin. 


Bersambung siri 329 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 327)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 46:

Sebarkan berita tanpa usul periksa

=====================


Definisi-definisi

=============


Tajuk perbincangan ini mempunyai hubungan erat dan meliputi banyak dosa lain, maka wujud keperluan menjelaskan semua istilah yang berkaitan.


Definisi an-naba' ( النبأ ) :

An-naba' ( النبأ ) berasal dari kata ( نَبَأَ   ) bererti berita, khabar, makluman, pemberitahuan


Definisi al-fasiqun:

Fasiq berasal dari kata  ( فَسَقَ)  "fasaqa"  bererti keluar dari sesuatu keadaan kepada keadaan lain, menyimpang dari jalan lurus, keluar dari keta'atan, engkar sumpah, melanggar peraturan, ma'siat, 


Dari segi Istilah :

Dirumuskan secara ringkas, menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen), fasiq adalah perbuatan melakukan dosa besar atau mengekalkan perbuatan dosa kecil tanpa Taubat.  


Definisi at-tabayyun:

Tabayyun berasal dari kata ( تَبَيَّنَ - يَتَبَيَّنُ) bermaksud : menjadi jelas, menjadi terang, memeriksa, mencari kejelasan, mencari kepastian,  memastikan kebenaran suatu hal, 


Dari segi istilah :  

kebenaran  suatu berita setelah pemeriksaan rapi dan saksama, mengetahui kebenaran dengan yakin setelah melakukan penyelidikan.


Definisi al-haq:

Perkataan   Haqq, al-haqq,     haqqun  (  حق)  berasal  dari  kata    dasar حق – يحق – حقا bererti benar, kebenaran, tetap, tepat.


Menurut istilah :

Al-Haqq mempunyai berbagai maksud mulai dari merujuk kepada Allah Ta'ala, Al-Qur'an Kalamullah Teragung, Agama Islam, Tauhid hakiki, kebenaran mutlaq dari Allah dan Rasul-Nya, Ahlus Sunnah yang tulen.  Di dalam skop perbincangan ini dijuruskan pengertian kepada makna "pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang tulen"  kerana satu-satunya kelompok dan pegangan yang benar-benar mewarisi Al-Qur'an dan Sunnah adalah Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang tulen sedangkan kelompok-kelompok lain adalah kelompok batil dan sesat.


Definisi al-batil:

Batil atau batal adalah setiap suatu yang bertentangan dengan kebenaran, iaitu bertentangan dengan Kehendak Allah dan Rasul-Nya.  Ditumpukan perhatiannya kepada "pegangan" dan "i'tiqad", maka dikatakan setiap yang  "batil" itu adalah setiap hal yang bertentangan dengan Ahlus Sunnah.


Definisi zalim:

Zalim berasal dari kata Arab   (  ظلم     يظلم    ظلما ) bermaksud :    gelap, tidak adil, bengis, kejam, menindas, menekan, menganiaya orang, tiada peri kemanusiaan, melampaui batas, jauh dari kebenaran, menuruti jalan kebatilan, tidak meletakkan suatu pada tempatnya


Dari segi Istilah:

Zalim adalah kegelapan hati, kebatilan, kesesatan, jauh dari Petunjuk Allah, jauh dari kebenaran, melampaui ketentuan Agama (menentang Allah, Rasul-Nya dan Ulama Pewaris Nabi) dan melampaui tatacara hidup kemanusiaan.

     

Semua macam istilah yang tersebut ini terkait kepada dosa "sebarkan berita tanpa usul periksa" atau "menyebarkan apa sahaja yang didengari".


Penjelasan:

==========


(1) Di dalam bicara kali ini kita akan melihat besarnya dosa yang menimpa seseorang yang memindahkan atau menyebarkan "khabar" atau "maklumat" tanpa usul periksa.


(2) sesungguhnya Allah Ta'ala melarang keras (ertinya dosa besar) perbuatan menyebarkan suatu "khabar" yang didengar atau dibacanya  tanpa menyelidiki kebenarannya terlebih dahulu. 


(3) Rasulullah ﷺ mengancam seseorang memindahkan terus apa sahaja yang didengarnya kepada orang lain (tanpa menyelidiki kebenarannya) sebagai pendusta (sifat munafiq). 


Bersambung siri 328 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...