Tuesday, June 11, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 360)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Contoh 3: Mengejek bilangan pengikutnya yang sedikit 

Di antara hal-hal yang membawa kepada dosa besar adalah mengejek-ejek dan memandang rendah pengikut Ulama (Ahli Sufi, Mursyid Pewaris Nabi) yang sedikit, serta mempersoalkan kemampuan mereka.  Bahkan hal tersebut merupakan tanda-tanda golongan munafiq.  Orang yang benar-benar beriman tidak akan berkelakuan demikian.


Sepanjang sejarah manusia, pengikut ikhlas yang benar-benar mendokong perjuangan Rasul dan Nabi-Nabi hanyalah sedikit berbanding dengan golongan kafir yang berkali-kali ganda banyaknya.  Orang-orang kafir dan munafiq seringkali mengejek dan merendahkan kemampuan Rasul berserta pengikut-pengikut setia Baginda di dalam perang Sabil disebabkan bilangan mereka yang sedikit berbanding golongan kafir yang berlipat kali ganda. 


Satu contoh yang sangat berkesan dikisahkan di dalam ayat Qur'an berikut  [At-Tawbah (9): ayat 65], iaitu keadaan dan perangai orang-orang Islam yang mengejek Nabi dan orang-orang beriman disebabkan bilangan mereka yang sedikit.  Melalui ayat ini Allah Ta'ala menjelaskan bahawa mereka termasuk golongan munafiq. Meskipun mereka lafazkan Kalimah Syahadah serta mengaku pengikut Rasulullah ﷺ namun ia adalah pembohongan.  Ini kerana hanya golongan munafiq sahaja yang akan mengejek dan mengolok-olok Allah, Rasul dan orang-orang beriman. 


Firman Allah:


وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ


Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu bermain-main dan berolok-olok?" 

[At-Tawbah (9) : ayat 65]


Asbab-an-Nuzul (sebab turun ayat)

Nukilan dari Tafsir Qurtubi : Ayat ini turun berkenaan kisah yang terjadi di dalam perjalanan menuju Perang Tabuk.  Ketika Rasulullah ﷺ dan para sahabat sedang menyusuri jalan menuju Tabuk, di antara mereka ada satu golongan kaum munafiq yang terpaksa ikut bersama mereka agar tetap dianggap sebagai muslim, maka dalam perjalanan itu mereka berbisik satu sama lain dengan nada mengejek untuk menggagalkan rencana Rasulullah ﷺ.  Mereka berkata "Pasukan sekecil inikah yang akan menduduki istana-istana di negeri Syam dan mengalahkan pasukan mereka yang agung hingga dapat menguasai bani Al-Asfar?"   


Allah Ta'ala Mengilhamkan kepada Rasulullah ﷺ tentang perkataan mereka (orang yang pura-pura Islam) dengan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka.   Rasulullah ﷺ kemudian berkata kepada pasukan Baginda, "Berhentilah sejenak !" Baginda lalu menghampiri kelompok tersebut dan berkata,"Mengapakah kalian mengatakan demikian dan demikian?" Orang-orang munafiq itu tidak mengakuinya.  Setelah dijelaskan oleh Baginda bahawa Allah Memberitahu Baginda secara langsung, maka mereka berkata "Kalau yang itu kami hanya bermain-main dan senda gurau." Maka turun ayat ini (sebagai amaran bahawa mereka akan menerima balasan buruk yang amat dahsyat atas kemunafikan mereka). 

[Tafsir Qurtubi]


Al-Qadhi Abu Bakar bin Al-Arabi Radhiallahu anhu berkata:

 "Apa pun maksud perkataan orang munafiq itu, baik hanya bergurau dan bermain-main atau pun serius mereka tetap dianggap kafir, kerana "bergurau dengan kekafiran (perkara-perkara kafir)" sama sahaja kafir.  Hal ini berdasarkan kesepakatan seluruh Ummat."

[Tafsir Qurtubi]


Pengajaran Terpenting dari Firman Allah ini:

Kelakuan memperkecilkan, menyindir, mengolok-olok dan mengejek kemampuan Rasul dan Ulama Pewaris-Baginda disebabkan bilangan mereka yang sedikit, adalah perbuatan fasiq, bahkan menunjukkan wujud tanda-tanda munafiq.


Bersambung siri 361 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...