SIRI 37
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 5: Dalil Toriqat (Tasawwuf)
sambungan...
Dalil 8: Firman Allah:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى
ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩)
"Pada hari itu tiada berguna harta benda dan anak-pinak
( tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun) kecuali orang-orang yang datang mengadap
Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafiq).”
[Asy-Syu'ara (26) : Ayat 88-89]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"Pada hari Akhirat, harta yang banyak dan anak-anak
yang ramai tidak dapat menolong seseorang kecuali orang yang hatinya suci dari
dosa-dosa dan cinta dunia."
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani
Radhiallahu anhu:
"Dan hari apakah itu, pada hari tidak lagi berguna di
dalamnya harta untuk ditebus pemiliknya dan menyelamatkannya dari siksa atau
diringankan siksa kerana tebusan harta dan tidak pula anak-anak menolong orang
tua mereka dan menyelamatkan mereka dari siksa Allah? Itulah hari di mana tidak ada satu pun orang
derhaka dan berdosa selamat dari siksa Allah kecuali orang yang menghadap Allah
Yang Maha Melihat Rahsia jiwa dan hati para hamba-Nya, dengan hati yang bersih,
yang tidak condong kepada hawa nafsu dan perhiasan dunia yang jauh dari sifat
bangga diri dan riya, yang tulus di dalam menyembah Allah, tanpa menuntut
pahala dan balasan-Nya, tetapi hanya mencari Redha-Nya dan menuruti Perintah
dan larangan-Nya serta rela dalam semua keadaan terhadap jalannya Taqdir yang
terjadi ke atas dirinya."
[Tafsir Jilani]
Penjelasan:
Sekali pandang ayat ini sangat mudah difahami oleh semua
orang Islam. Sedangkan ayat ini cukup
berkesan bagi orang-orang yang memiliki mata-hati...!
Tidak kurang juga yang terkeliru pada istilah
"syirik" dan "munafiq" sedangkan huraian yang halus
berkenaan dua sifat ini amat luas sehingga siapa-siapa yang TIDAK memahami
maksud sebenar "syirik" dan "munafiq" akan terjatuh ke
dalamnya tanpa disedari.
Penjelasan 1:
Berdasarkan Tafsir Ibn Abbas Radhiallahu anhu dan Al-Imam
Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, serta sekalian ahli
Ma'rifat lain, Firman Allah di atas
adalah berkaitan dengan hati, iaitu dosa-dosa hati, bukan dosa jasad.
Penjelasan 2:
Dosa berkaitan hati amat banyak, dihimpunkan menjadi 4
bahagian:
1. Syirik khafi (syirik tersembunyi — 'Ujub, riya', sum'ah,
tawakkal selain Allah, Takabbur)
2. Mazmumah (sifat keji — seperti mengumpat, dendam, hasad,
adu domba, jahat sangka sehingga melebihi 70 dosa hati yang besar-besar)
3. Ghaflah (lalai dari mengingati Allah)
4. Aghyar (segala suatu selain Allah)
Penjelasan 3:
Kebanyakan orang Islam awam menyangka dosa hati boleh
diabaikan sedangkan yang benar adalah : Dosa-dosa hati jauh lebih banyak dan
lebih besar bahayanya tetapi kebanyakan orang awam tidak menyedarinya. Mereka lalai dari mengenal dosa-dosa hati.
Mereka tertipu dengan sangkaan sendiri.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang
melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia
bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak
bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya
menjadi hitam”
[Imam Ibn Majah]
Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:
"Dosa besar yang bersifat batin (hati) lebih berbahaya
dan dosa kemaksiatannya lebih hina dan sangat rendah. Juga kerana sebahagian besar dosa itu mudah
terjadi dan cepat merebak. Terutama
apabila seseorang berasa bebas dari sebahagian dosa-dosa tersebut kerana
meremehkan kehadirannya"
[Al-Zawaajir]
Bersambung siri 38 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment