SIRI 2
Muqaddimah
.... sambongan....
Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
(Mujaddid Agung sepanjang zaman)
"Dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita. Pertama Ilmu Zahir, disebut Syari'at. Kedua Ilmu Batin, disebut Ma'rifat (yang terhasil dari Toriqat). Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadukan (amalkan sekaligus dan jangan abaikan satu pun daripadanya) dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat. Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : Ayat 19 dan 29". Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah. Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ ). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah: "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ".
[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]
Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata:
(Mujtahid Mutlaq Mazhab Maliki)
“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."
[Nukilan Imam Ghazali di dalam Ihya, Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi di dalam Risalah Ma’rifat, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani di dalam Tabaqat]
Inilah pegangan Ahlus Sunnah yang benar. Mereka berpegang teguh dengan Syari’at dan Toriqat Nabi ﷺ tanpa berpisah-pisah sebagaimana warid (datang) dari Rasulullah ﷺ melalui para Sahabat, Tabiin, Tabiit-Tabiin, Imam-Imam, Masyaikh turun-temurun dari satu generasi kepada generasi berikutnya sampai ke saat ini dan akan berterusan menjadi pegangan Ahlus Sunnah sehingga tiba saatnya.
Persoalannya, mengapakah kebanyakan orang Islam tidak memahami hakikat ini? Mengapakah kebanyakan orang Islam hanya amalkan ilmu Syari’at (fiqh) sahaja sedangkan Toriqat (tasawwuf) diabaikan? Bahkan sebahagian orang Islam menganggap Toriqat sebagai suatu yang asing dan rekaan Ulama. Sebahagian lagi terang-terang menuduhnya sebagai bid’ah sesat. Wal Iyazubillah.
Secara umum, di kalangan orang Islam sendiri, wujud dua Golongan Ghuluww, yang menyalahi ketentuan Ulama Ahlus Sunnah dari hal memahami dan mengamalkan Syari’at dan Toriqat Rasulullah ﷺ.
Pertama:
Golongan ghuluw (melampau ketentuan Agama yang benar) yang terang-terang ingkar, menafikan dan memerangi Ilmu Tasawwuf, Toriqat, Ma'rifat, Ahli Sufi, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, Ahli Sufi dan lain-lain yang berkaitan.
Golongan ghuluww ini menganggap semua ini bid'ah sesat, dan suatu yang asing dalam Agama. Ada juga terlalu melampau sampai menuduhnya sebagai ajaran Hindu, Majusi dan sebagainya. Wal Iyazubillah! Mereka ini adalah Golongan Wahabiyah (Khawarij zaman ini), Golongan Syi'ah (Rafidhi), Golongan sekular, Liberal dan lain-lain dari 72 golongan sesat yang lain yang masih aktif sehingga zaman ini.
Kedua:
Golongan ghuluww (melampau ketentuan Agama yang benar) dari kalangan orang Islam yang mengakui kebenaran Toriqat dan Tasawwuf dan mengetahui cabang ilmu ini secara teori, tetapi mereka menyeleweng dari maksud sebenar Toriqat dan segala suatu yang berkaitan dengannya.
Sebahagian mereka menyalahgunakan ilmu yang mereka pelajari untuk kepentingan dunia seperti untuk mencapai kekuatan di dalam bersilat, menyedut duit (mencuri), ingin menjadi bomoh, dukun, pawang, nujum dan sebagainya.
Sebahagian lain mengingkari Ilmu Syari’at dengan dakwaan batil yang mereka cipta menurut bisikan Syaitan. Pada pendapat golongan ini, Syari’at tak perlu diamalkan kerana menganggap mereka sudah mencapai maqam yang tinggi sehingga tak perlu lagi Syari’at? Ini adalah fahaman orang zindiq. Wal Iyazubillah.
Sebahagian lagi menjadi sesat akibat dari tiada Guru memimpinnya. Mereka membaca sendiri kitab-kitab Tasawwuf dan beramal sendiri sehigga ditarik oleh Syaitan kepada Gerbangnya. Atau mereka meninggalkan Guru Mursyidnya untuk jalan sendiri atas sangkaan sudah mencapai maqam Ketuhanan. Atau mereka terkena istidraj akibat berubah niat, hilang ikhlas, menyalahi adab-adab besar atau tiada Syukur kepada Ni’mat Allah.
No comments:
Post a Comment