SIRI 19
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 1: Definisi Syari'at
Ta'rif atau definisi teramat penting bagi menentukan ruang
batas, sifat, matlamat sesebuah ilmu.
Bahkan secara umumnya ta'rif, tafsir, huraian dan syarahan bagi semua
istilah-istilah di dalam Agama amat penting bagi memastikan kebenaran suatu
ilmu.
Ta'rif ini wajib sesuai dengan jiwa Agama, iaitu sebagaimana
Ta'rif yang diberikan oleh Ulama Mujtahid yang benar (bertaraf Auliya
Allah). Hanya dengan berpegang kepada
ta'rif, huraian, tafsir, syarahan yang diberikan oleh Ulama bertaraf Auliya
Allah, barulah Ummat ini akan
selamat. Sebaliknya merujuk kepada
ta'rif, tafsiran, syarahan selain dari mereka (orang yang cetek ilmu dan tidak
menepati syarat sebagai Mujtahid) akan membawa kepada kesesatan dan
kecelakaan. Wal Iyazubillah.
Dari segi bahasa:
Asy-Syariah berasal dari kata (شَرَعَ - يَشْرعُ - شَرِيْعَة)
yang membawa makna: memulai, mengawali, memasuki, memahami, sumber.
Dari segi istilah:
Syari'at adalah undang-undang, peraturan, hukum-hakam
Agama., piagam yang Allah turunkan kepada Ummat manusia melalui seorang Nabi
untuk didirikan dan diamalkan, berupa perintah dan larangan.
Penjelasan:
(1) Secara Umum, pengertian Syari'at mencakupi seluruh
kehidupan manusia, mulai dia lahir sampai dia hembuskan nafas terakhir. Ertinya setiap hukum Syari'at membawa beban
syara' ke atas mukallaf (akil baligh) dan takluk kepada balasan.
(2) Apabila diperhalusi pada penilaian zahir (perbuatan
anggota zahir) dan penilaian batin (hati), Syari'at terbahagi dua:
Pertama : Syari'at zahir — biasa disebut syari'at sahaja
Kedua : Syari'at batin — biasa disebut Toriqat, Tasawwuf
(3) Kedua-dua bentuk Syari'at; syari'at zahir dan syari'at
batin tertakluk kepada hukuman dan balasan.
Sebahagian hukuman ke atas dosa-dosa zahir (syari'at) akan dirasai oleh
pelakunya ketika di dunia lagi. Namun
sebahagian besar hukuman ke atas perbuatan batin (hati) akan diadili oleh Allah
Ta'ala sendiri di Hari Perhitungan. Ini
kerana perlakuan hati manusia tersembunyi, tidak diketahui oleh orang lain
melainkan Allah dan dirinya sendiri.
(4) Ummat Islam wajib dirikan Hukum-hakam Syari'at di atas
muka bumi. Ia tertanggung atas bahu
setiap Pemimpin. Jika mereka memilih undang-undang lain selain Agama Allah,
mereka akan menerima hukuman berat.
Kenyataan yang berlaku pada zaman ini adalah hampir semua pemimpin Islam
memilih undang-undang kafir. Wal
Iyazubillah.
(5) Setiap muslim wajib mempelajari hukum-hakam Agama yang
bersifat zahir (Syari'at — fiqh) dan amalkannya dan menjunjung tinggi menurut
kemampuannya. Demikian lagi wajib
mempelajari Syari'at batin (Toriqat — Tasawwuf) dan amalkannya. Kenyataan yang berlaku pada zaman ini dan
zaman sebelum ini, kebanyakan Ummat Islam hanya amalkan Syari'at (syari'at
zahir) sedangan Toriqat (Syari'at batin) diabaikan.
Bersambung siri 20 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment