Friday, November 04, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 58)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.9  Dosa Besar ke-8:  Rasa Aman Dari Kemurkaan Allah


Rasa aman dari Kemurkaan Allah bermaksud tidak takut kepada Allah. Tidak takut kepada Azab Allah.  Tidak takut kepada balasan siksaan Allah. Berani melakukan kemungkaran terang2an tanpa rasa takut.  Terus-menerus melakukan kejahatan dan ma'siat tanpa takut pada Kemurkaan Allah.  Menyombong diri dengan ma'siat disebabkan ni'mat duniawi yang dia peroleh. Ada kalanya sebab tubuh badan yang sihat. Ada kalanya sebab wang ringgit dan harta kekayaan melimpah ruah. Ada kalanya kerana kedudukan dan pangkat.  Jika ada orang cuba menasihatinya, dia akan di tolak mentah2 disebabkan berbagai kelebihan berupa kekayaan, pangkat, kedudukan dll.


Sebahagian dari manusia memperoleh limpahan rezeki yang banyak, kehidupannya mewah dan kaya- raya atau memiliki tubuh badan sihat dan kuat, atau memiliki kekuasaan dan kedudukan istimewa pada pandangan manusia .... sedangkan mereka di dalam ma'siat dan kekufuran, seringkali mendabik dada  mengatakan begini :


" Jika aku bersalah, tentu Tuhan akan azabku. Tetapi ternyata Tuhan kasih padaku sebab itulah Tuhan berikan aku berbagai nikmat dan kekayaan."


"Aku buat maksiat aku tanggung.  Tuhan Maha Pengampun."


"Korang ingat korang baik sangat ke nak tegur aku.  Kalau korang baik tentulah korang hidup senang. Cuba tengok,  walaupun aku buat macam2 dosa, Tuhan tetap sayang aku."  


" Orang rajin solat pun tak kaya macam aku.  Aku kesianlah tengok korang tonggak tongek, tapi miskin papa kedana juga. " 


Demikian beberapa contoh ucapan mereka yang menyangka diri mereka baik walaupun mereka di dalam kekufuran. Jika ada yang cuba menasihati mereka, segera mereka menempelak balik dengan kata2 sombong takabbur.  Mereka begitu yakin Allah Ta'ala kasih pada mereka.   Bahkan berani lagi menengking orang yang cuba menasihati mereka.


Apakah puncanya mereka begitu berani?


Apakah yang menyebabkan mereka begitu yakin mereka benar, walaupun mereka terus-menerus melakukan keengkaran dan kekufuran?


Apakah yang menyebabkan golongan seperti ini susah menerima nasihat?


Puncanya adalah :  

Mereka mendapat kenikmatan dan kelazatan dunia. Mereka hidup mewah dan kaya-raya. Mereka berpangkat tinggi dengan berbagai gelaran duniawi yang menjadi sanjungan manusia. Mereka mempunyai kedudukan istimewa di kalangan masyarakat. Semua ini menjadikan mereka lupa diri.  Mereka menyangka mereka manusia terpilih.  


Sedangkan yang benar adalah : Mereka tertipu dengan makar Allah, iaitu balasan Allah yang datang dalam bentuk "Ni'mat " pada zahirnya namun pada hakikatnya adalah suatu bentuk "kehinaan",  "hukuman", "azab" dan "Siksaan" tersembunyi.   Allah Ta'ala membalas tipu daya dengan tipu daya sebagaimana Kalam-Nya Yang Maha Agung:


Firman Allah :

أَفَأَمِنُواْ مَكْرَ اللّهِ فَلاَ يَأْمَنُ مَكْرَ اللّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

“Maka apakah mereka merasa aman dari  azab Allah ? Tiada yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.” 

[Al-A’raf    (7) : Ayat  99]


Kata Ibn Abbas:

"Maksud  " مَكْرَ "  (Makar — tipu daya) adalah bermaksud Azab, iaitu Azab Allah,  yang datangnya  tanpa disangka2. Perkataan " خَاسِرُونَ " (Khasirun - rugi) adalah bermaksud kafir kepada Allah."

[Tafsir Ibn Abbas]


Kata Imam Qurtubi:

"Ungkapan  " مَكْرَ "  (Makar) adalah tipu daya, namun pada ayat ini bermakna Azab dari Allah. Atau boleh juga bermaksud "balasan dari tipu daya mereka".   Ada yang lain berpendapat makna dari kata  " مَكْرَ "  di sini bermaksud memberi ni'mat dan kesihatan agar mereka terlena (di dalam kekufuran)."

[Tafsir Al-Qurtubi]


Penjelasan ringkas dari Kalam Allah ini:

Firman Allah di atas menggunakan istilah "makar" iaitu tipu daya.  Maksudnya.. Allah Ta'ala membalas tipu daya mereka dengan tipu daya-Nya, adalah :     Allah Ta'ala membiarkan mereka di dalam kefasikan dan kekufuran dengan memberikan mereka ni'mat harta kekayaan yang bertambah2.


Tujuan Pemberian Allah itu BUKAN kerana kasih Allah sebaliknya kerana Kemurkaan Allah atas kekufuran mereka.   Maka manusia2 melampau ini hidup dalam sangkaan mereka baik di sisi Allah, mereka sangka mereka diKasihi Allah.   Sedangkan mereka tertipu.   Mereka musnah dalam sangkaan sendiri.  Mereka tertipu dengan tipu daya nafsu dan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.


Di akhir ayat disebut "Al-Khosirun"  (  الْخَاسِرُونَ ).  "Al-Khosirun"  membawa berbagai maksud, rugi, fasiq, kafir dll.   Tetapi pada ayat ini Ulama Ahlus Sunnah menegaskan ia bermaksud " kafir".    Wal Iyazubillah.   Ertinya orang  yang terus-menerus melakukan kemaksiatan tanpa takut, bahkan lebih lagi bersikap takabbur, sombong besar diri, maka ditakuti masuk kepada golongan kafir.   Wal Iyazubillah.


Bersambung siri  59  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________ 

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     


No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...