Monday, November 07, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 65)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.10  Dosa Besar ke-9:  Kufur Ni'mat Allah

sambungan....


Cara Merawat:


Berikut adalah cara merawat hati yang terkena penyakit ini bagi orang Islam awam dan Salikin yang masih di peringkat permulaan perjalanan.


Pertama :

Sentiasa mengulang-ulang dalam ingatan dan hati, bahawa diri sendiri dan segala keperluan kehidupan yang Allah Kurniakan merupakan Ni'mat Allah Ta'ala yang wajib disyukuri.  Ambil sedikit masa, duduk di suatu sudut rumah atau Masjid... merenung sebentar sekalian Ni'mat tersebut. 


Kedua :

Ambil sedikit masa menahan nafas beberapa ketika sehingga timbul keinsafan bagi menghargai Ni'mat nafas yang Allah Ta'ala Kurniakan.  Renungi betapa Allah Ta'ala jadikan udara sebagai penyambung nafas.  Dengan hanya satu "butang", apabila nafas ini ditutup, maka segala yang dikecapi akan berakhir.  


Ketiga: 

Sesekali melatih diri uzlah jauh dari rumah di mana susah mendapat air. Ketika itu akan timbul kesedaran betapa besarnya nilai air yang Allah Kurniakan.


Keempat :

Dalam sebulan, peruntukkan beberapa hari (misalnya 3 hari) makan nasi dan sayur rebus sahaja sepanjang tiga hari itu.  Jauhkan makan banyak lauk.  Paksa diri memakan makanan orang faqir miskin sehingga timbul keinsafan betapa diri telah sia-siakan makanan yang Allah Ta'ala Kurniakan.


Kelima :

Bergaul dengan faqir miskin dan orang2 yang dipandang hina oleh masyarakat sehingga timbul keinsafan akan Kurnia Allah memberikan kelapangan hidup untuk kita.


Keenam:

Ziarahi orang sakit seminggu sekali agar datang keinsafan betapa kesihatan yang Allah Ta'ala Kurniakan telah disia-siakan.  Barangkali orang sakit akan menceritakan begini, "Dahulu saya sihat tapi saya lalai dan abaikan perintah Allah. Saya habiskan masa dengan sia2. Sekarang saya insaf tapi tak mampu nak bergerak. Saya menyesal." Atau seseorang yang lumpuh mungkin berkata begini, "Saya dah buat dosa besar, saya zalim pada manusia. Saya gunakan kuasa untuk menzalimi manusia.  Sekarang Allah Ta'ala balas kejahatan2 saya."


Ketujuh:

Banyakkan Zikrullah,  Solawat atas Nabi  ﷺ, dan Taubat dengan penuh keinsafan.


Kelapan: 

Berserta di dalam Majlis Zikir dan Solawat.


Kesembilan : 

Syukurlah kepada sekalian hamba Allah yang menjadi asbab pertolongan Allah sampai kepada kita. Orang yang bersyukur kepada manusia yang menjadi asbab pertolongan Allah sampai kepadanya bererti dia telah syukur kepada Allah. Sebaliknya orang tidak bersyukur adalah sama seperti kufur Ni'mat Allah.


Sabda Rasulullah ﷺ:*


Yang paling bijak (baik dan banyak) bersyukur kepada Allah adalah orang yang paling bijak (baik dan banyak ) bersyukur kepada manusia.” 

[Iman Ath-Thabrani]


 Sabda Rasulullah ﷺ: 

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi siapa yang tidak bersyukur (berterima kasih)  pada manusia.” 

[Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi]


Kesepuluh:

Selalu ingat mati, yang menjadi pemutus segala Ni'mat Allah bahkan seluruh kehidupan.


Sabda Rasulullah ﷺ: 

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ

"Perbanyaklah mengingat penghancur kelazatan (iaitu kematian)”

[Imam At-Tirmizi]



Bersambung siri  66  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

__________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

       

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...