Friday, November 11, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 73)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.12  Dosa Besar ke -11:  Jahat sangka kepada orang lain

sambungan....


Lintasan hati yang dihukumkan sebagai Jahat Sangka


Persoalan :

Adakah setiap lintasan dalam fikiran atau lintasan dalam hati itu dihukumkan sebagai "jahat sangka" yang mengakibatkan dosa?

Apa hubungan "jahat sangka" dengan Khatir?


Jawapannya:

Jahat sangka adalah suatu andaian yang menetap dalam hati (menguasai hati atau mencengkam hati) menjadi pegangan.    Khatir pula adalah lntasan hati yang tidak sampai kepada peringkat "Jahat sangka".  Dengan demikian setiap khatir yang terhenti pada sifatnya yang asal dan tidak melarat kepada " jahat sangka ", maka khatir ini dimaafkan.


Khatir adalah lintasan yang datang sendiri tanpa diusahakan, dinamakan Idhtirari (   اِضْطِراَرِ  )  —  hal keadaan yang dipaksa atau diluar kemampuan kemanusiaan, bukan diikhtiarkan.  


Su-uzzon atau jahat sangka masuk kepada daerah Ikhtiari ( اِخْتِياَر ) — hal keadaan yang dalam kemampuan memilih, mempunyai ikhtiar untuk memilih.  Dengan demikian jatuh hukum padanya.


Untuk melihat dengan lebih jelas perhatikan contoh ini:


Orang bernama Kasturi melihat kawannya Lekir melakukan sesuatu, lalu datang lintasan hati dalam dirinya menyalahkan Lekir.


1. Jika lintasan tersebut datang dan pergi begitu sahaja bagaikan angin lalu, dan dia tidak layani lintasan tersebut.  Ini masuk daerah Idhtirari (اِضْطِراَرِ), luar kemampuan menahannya,  tiada kemampuan menahannya kerana ia datang sendiri tanpa sebarang ikhtiarnya.  Ini dimaafkan.


2. Jika lintasan buruk tadi menetap sebentar dalam hatinya dan berbolak-balik hatinya disebabkan hasutan nafsu dan syaitan, namun dia tidak menyalahkan Lekir, cuma hatinya berbolak balik akibat hasutan, hal ini juga daerah  Idhtirari (  اِضْطِراَرِ  ), Dimaafkan.


3. Lintasan buruk tadi mengerasi pada hatinya lalu dia cenderung membenarkan lintasan awal tadi, namun dia belum membenarkan lintasan buruk tersebut.   Hal ini masih pada peringkat Idhtirari  (اِضْطِراَرِ  ), maka dimaafkan.  Walau bagaimanapun dia dalam keadaan terancam masuk kepada daerah Ikhtiari ( اِخْتِياَر ) yang membawa dosa.


4. Lintasan buruk dalam diri Kasturi menjadi keyakinan dan pegangan. Hal ini sudah masuk ke daerah  Ikhtiari ( اِخْتِياَر ) yang dilakukan dengan pilihannya.  Di sinilah jatuh hukum jahat sangka yang mengakibatkan dosa besar.


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:


"Semua gurisan hati / lintasan hati yang tidak disertai oleh 'azam mengerjakannya, adalah  hadithun-nfasi atau kata hati (dan ini dimaafkan).  Adapun yang ketiga iaitu : tekad dan keputusan hati, bahawa dia cenderung mengerjakannya adalah taraddud, di antara terpaksa (  اِضْطِراَرِ  ) atau dengan pilihan (اِخْتِياَر ) mengerjakannya.  Yang  ikhtiari dikenakan tuntutan. Dan yang idhtirari, tidak dikenakan tuntutan. Adapun yang keempat : Iaitu cita2 teguh untuk mengerjakannya, maka ianya dikenakan tuntutan, kecuali yang tidak dikerjakannya, maka diperhatikan. Jika dia meninggalkannya kerana takut kepada Allah dan menyesal atas cita2nya, nescaya dituliskan satu kebaikan. Jika dia tercegah dari perbuatan itu disebabkan suatu pencegah atau ditinggalkannya disebabkan suatu halangan, bukan kerana takut kepada Allah Ta'ala, maka dituliskan kekejian baginya".

[Ihya Ulumuddin — Bab Bisikan Hati]


Perbuatan "Jahat sangka"  masuk kepada kategori keempat iaitu melakukan kejahatan di dalam hati dengan ikhtiarnya sendiri, oleh yang demikian dia menerima hukum dosa besar. Ini sama halnya seperti penyakit2 hati yang lain seperti 'ujub, riya', sum'ah, takabbur dan lain2 kekejian bersifat hati, yang berlaku dalam hatinya dengan ikhtiarnya sendiri, maka dihukumkan mungkar dan dosa besar.


Bersambung siri  74  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI


No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...