Monday, August 19, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 455)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-56:

Tidak berpegang kepada

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

....... sambungan.....


8.  Mutakasiliyyah – Mengamalkan prinsip bermalas-malas dan mencari nafkah dengan meminta sedekah dari rumah ke rumah.  Mereka beranggapan mereka telah meninggalkan segala hal ehwal dunia.  Maka musnahlah mereka di dalam perbuatan mereka.


9.  Mutajahiliyyah – Berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman, 


وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ 

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah.  Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” 

[Hud (11) : Ayat 113]


Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda;

“Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka mereka dikira sebagai ahli kaum itu”. 


10.  Wafiqiyyah – Mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah.  Jadi, mereka membuang jalan kebenaran.  Dengan ini mereka enggan berusaha mencari hakikat kebenaran.  Kerana kebodohan mereka membawa menuju kerosakan dan kesesatan. 


Penjelasan :

Imam Jilani bermaksud, golongan Wafiqiyyah beri’tiqad bahawa segala peraturan dan adab-adab yang diijtihadkan oleh Ulama sebagai panduan pada Jalan menuju Allah adalah sia-sia kerana mereka berpegang bahawa itu semua urusan makhluk.  Mereka menafikan terus usaha ikhtiar yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada manusia mencari kebenaran dan berusaha sungguh-sungguh atasnya.


Sebahagian dari mereka menggelarkan diri mereka sebagai “majzub” dan mengaku sudah mencapai maqam yang tinggi tanpa menuntut Ilmu dan tidak mahu berusaha ikhtiar melakukan ibadah dengan bimbingan Mursyid.  Menurut I’tiqad mereka, Allah yang kenalkan diri-Nya tanpa asbab apa pun dari hamba.  Maka mereka membuang usaha ikhtiar mencari Jalan menuju Allah.  Inilah pegangan batil  yang sesat dan menyesatkan. 


11.  Ilhamiyyah – Golongan yang mementingkan ilham (semata-mata) tidak mahu menuntut ilmu.  Mereka melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka.  Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti kepada Qur’an.  Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi.  Maka jadilah mereka sesat! Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari Guru Sufi Palsu (Guru menyamar sebagai Mursyid atau Ahli  Sufi).


Penjelasan :

Golongan Ilhamiyyah ini gemar berangan-angan mereka sudah mendapat Ilham-ilham dari Allah Ta’ala.  Kadangkala mereka mengaku mendapat ilmu Ladunni, mengaku belajar terus dari Allah Ta’ala.  Sedangkan pada hakikatnya ia cuma khayalan dan  angan-angan yang datang dari  bisikan iblis.  Iblis menipu daya mereka dengan kepalsuan dan kebatilan. 

[Tamat nukilan Kitab Sirrul Asrar Fi Ma Yahtahju Ilayhil Abrar]


Bersambung siri 456 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 514) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...