Saturday, November 12, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 78)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.13  Dosa Besar ke -12:  Tajassus — Intai kesalahan atau 'aib orang:

sambungan ....


Punca manusia gemar Tajassus


Punca UTAMA seseorang melakukan perbuatan ini sudah tentu bemula dari hati yang kotor, nafsu2 kejahatan dan dikuasai oleh Syaitan sebagaimana penyakit2 hati yang lain.  Sebab2 yang mengikuti punca utama ini adalah :


(1) Keinginan mengetahui rahsia Muslim lain dan dia merasa puas apabila dapat menyelidik dan mengetahuinya bahawa orang itu sememangnya keji.  Hal ini biasa terjadi apabila berlaku perselisihan antara mereka. 


(2) Keinginan untuk memalukannya dan menjatuhkan nama baiknya di khalayak ramai, kerana wujud dendam peribadi atau dendam berkait dengan keluarga. 


(3) Perebutan dan Persaingan di dalam pelajaran, perniagaan, kuasa politik dsb.  Masing2 berlumba2 ingin menunjukkan dirinya "baik" dan lawannya "jahat" dan "keji"  dengan cara membuka 'aibnya.


Akibat dari Tajassus:


(1) Orang yang gemar mencari2 'aib orang lain terkena penyakit hati yang amat serius.  Penyakit ini makin bertambah dari hari ke hari.  Kegemarannya mencari2 'aib orang akan menjadi tabi'at yang tak dapat dibuang.  Maka sentiasalah dia bergelumang di dalam dosa2 besar.   


(2) Orang yang suka mengintip 'aib atau keburukan orang lain takkan tenang hidupnya.  


(3) Orang yang memperoleh berbagai maklumat hasil intipannya akan mendedahkannya kepada orang lain. Lazimnya dia akan mendedahkannya menerusi media elektronik sebagaimana sudah banyak terjadi zaman ini.  Misalnya menyebarkan gambar2 atau klip2 video yang mendedahkan 'aib seseorang sudah menjadi lumrah di kalangan orang Islam zaman ini.  Mereka mendedahkan dan menyebarkannya tanpa sedikit pun rasa malu atau takut kepada Allah.  


Dengan ini dia sudah terjebak kepada dosa besar lain, iaitu "membuka 'aib manusia".  Meskipun perkara yang didedahkan itu benar sekalipun, namun ianya merupakan hal yang telah ditutupi oleh Allah Ta'ala.  Maka membocorkan rahsia seseorang atau 'aib (kekurangan atau kecelaan dirinya) yang ditutupi oleh Allah adalah merupakan suatu pengkhianatan.   Orang2 seperti ini mendapat amaran Rasulullah ﷺ. 


Rasulullah ﷺ bersabda :

‏ مَنْ سَتَرَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ سَتَرَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ كَشَفَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَشَفَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ حَتَّى يَفْضَحَهُ بِهَا فِي بَيْتِهِ ‏"‏ ‏.‏

"Barangsiapa menutupi 'aib saudara Muslimnya, Allah akan menutupi 'aibnya pada Hari Pembalasan. Dan barangsiapa membuka 'aib saudara Muslimnya, maka Allah Ta'ala akan membuka 'aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya."

[Imam Ibn Majah]


Bersambung siri  79  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

     

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...