■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 722)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-25:
Dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min"
Menurut pegangan Ahlus Sunnah, seseorang dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min". Tetapi gunakanlah perkataan "In shaa Allah".
Misalnya katakanlah:
"Aku ini orang Mu'min In shaa Allah."
"In shaa Allah aku termasuk orang beriman"
Seseorang dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min." kerana dia telah menentukan secara pasti akan Keimanannya, seolah-olah dia berkuasa menentukan nasib dia sendiri, sedangkan tidak ada siapa pun tahu akan nasibnya.
Sebagaimana bicara telah lalu, Allah Ta'ala Maha Penentu Taqdir makhluq. Dia Kurniakan Iman kepada sesiapa Dia Kehendaki dan menahannya daripada sesiapa Dia Kehendaki. Apa yang patut dilakukan adalah hidup antara _khauf_ (takut) dan _roja_ (harap). Sentiasa takut kepada Allah dan pada masa yang sama harap Keampunan dan Rahmat Allah. Inilah keselamatan bagi orang beriman. Maka disebabkan inilah dilarang berkata : "Aku pasti Mukmin."
Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً
"Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
[At-Talaq (65) : Ayat 3]
Hadith Rasulullah ﷺ:
Sayyidina Umar Radhiallahu anhu bertanya Nabi ﷺ:
"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh Baginda: "Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: "Jika demikian, adakah kita harus menyerah sahaja?" Baginda Bersabda: "Beramallah wahai Ibnu al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan. Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (Syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli Syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli Siksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke Neraka."
[Imam Ahmad]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Seorang beriman tidak boleh mengatakan, "Aku pasti mukmin." Sepatutnya dia berkata, "Aku ini orang Mu'min In Shaa Allah." Golongan Mu'tazilah berlawanan dengan pendirian ini. Mereka membolehkan berkata "Aku pasti Mu'min." Pendapat kami berdasarkan kata Sayyidina Umar Radhiallahu anhu: "Barangsiapa mengaku dia pasti mukmin, bererti dia kafir." Seseorang tidak akan mencapai posisi Keimanan kecuali dia telah memenuhi semua ketentuan Iman dan mati di dalam keadaan _husnul khatimah_ (mati di dalam kesudahan baik) sedangkan tiada siapa pun tahu bagaimana kehidupannya berakhir. Oleh kerana itu dia mesti sentiasa takut, harap dan berusaha keras membaiki diri, serta hati-hati dan tidak mati kecuali di dalam berbuat kebaikan (amal soleh yang di-Redhai Allah). Sesungguhnya manusia mati sebagaimana keadaan dia hidup dan akan dikumpulkan dengan keadaan pada saat dia meninggal. Sebagaimana Sabda Rasulullah ﷺ:
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” [Imam Muslim]
Bersambung siri 723 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment