■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 728)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-29:
Setiap manusia akan melintasi Titian Sirat
Ahlus Sunnah meyakini wujudnya "Titian Sirat", iaitu jambatan melintasi Neraka ke Syurga. Semua manusia akan melaluinya. Manusia beriman akan selamat menyeberangi Titian Sirat sedangkan orang kafir dan munafiq tak dapat menyeberanginya. Kaki mereka tergelincir lalu jatuh ke dalam Jurang Neraka. Wal Iyazubillah. Cepat atau lambat perjalanan di atas titian bergantung kepada kekuatan Keimanan - dengan istilah tepat adalah Cahaya Iman di dalam hatinya.
Firman Allah:
يَوْمَ تَرَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَىٰ نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِم بُشْرَاكُمُ ٱلْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari Qiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (Iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.
[Al-Hadiid (57) : Ayat 12]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
Pada Hari Pengadilan, cahaya orang beriman bersinar di hadapan mereka dan di kanan mereka ketika di titian Sirat. Malaikat yang berdiri di Sirat itu akan berkata: Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, kamu beroleh Syurga, di bawah pepohonan dan tempat kediamannya mengalir sungai-sungai di bawahnya, sungai arak, air madu dan air susu, mereka kekal di dalam Syurga, tidak akan mati. (Itulah Kemenangan yang Agung) mereka memperoleh Syurga dan apa yang ada di dalamnya dan diselamatkan dari Neraka dan apa yang ada di dalamnya.
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Kalimat ( يَسعىٰ نورُهُم ), menurut Imam Hasan Radhiallahu anhu adalah Cahaya yang terlihat pada saat mereka berjalan melalui Siratal-Mustaqim. Menurut suatu riwayat, Ibn Mas'ud Radhiallahu anh berkata: "Difahami kalimat Nur tersebut sesuai dengan makna sebenarnya, iaitu Cahaya. Cahaya mereka akan bersinar sesuai dengan amal perbuatan mereka, sebahagian dari mereka ada yang diberikan Cahaya seperti sebutir kurma sahaja. Sebahagian lagi diberikan cahaya seperti seorang yang berdiri tegak, dan cahaya paling rendah adalah cahaya diletakkan dibawah kaki di mana cahaya itu terkadang menyala, terkadang malap."
[Tafsir Qurtubi]
Hadith Rasulullah ﷺ:
An-Nadr bin Anas bin Malik meriwayatkan dari ayahnya yang berkata:
"Aku meminta Nabi ﷺ untuk memberi syafaat untukku pada hari Qiamat. Baginda bersabda: "Akulah yang berbuat demikian." Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Lalu di manakah aku akan mencari engkau?" Baginda berkata: "Carilah aku, kali pertama kamu mencariku adalah di Sirat". Aku berkata: "Jika aku tidak menemui engkau di Sirat?" Baginda berkata: "Jika tidak, carilah aku di Mizan." Aku berkata: "Dan jika aku tidak menemui engkau di Mizan?" Baginda berkata: "Maka carilah aku di Hawdh, kerana sesungguhnya aku tidak akan ketinggalan ditemui pada tiga tempat ini.'"
[Imam At-Tirmizi]
Bersambung siri 729 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment