Tuesday, July 29, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 729)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...




Ringkasan penjelasan Titian Sirat


(1) Definisi

Dari segi bahasa:

Perkataan Sirat  (الصّراَطْ) bermaksud jalan, lorong, alur, laluan.


Dari segi istilah:

Perkataan Sirat  (الصّراَطْ) adalah jambatan yang dibentang merentasi Neraka menuju Syurga.


Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu: 

"Ulama besar menetapkan bahawa Sirat  itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan melaluinya.”

[Syarah Muslim]


(2) Titian Sirat  terbentang di atas Neraka, maka keadaannya amat gelap.


(3) Setiap manusia akan menyeberanginya menuju Syurga.  Orang Mukmin akan dipermudahkan oleh Allah menyeberanginya sehingga mereka selamat sampai ke seberang, sementara orang kafir, fasiq dan munafiq akan sangkut di dalam perjalanannya kerana kaki mereka akan tergelincir dan jatuh ke dalam gaung Neraka di bawahnya.


(4) Junjungan Besar ﷺ adalah Rasul pertama yang menyeberangi titian Sirat  bersama Ummat Baginda yang lulus.


(5) Kelajuan seseorang menyeberangi Titian Sirat adalah bergantung kepada ketinggian Imannya. 

Sekalian Rasul, Nabi dan Auliya Allah melintasi titian sepantas kilat. 

Ada Mukmin yang bergerak melintasi laju bagai angin kencang. 

Ada Mukmin yang bergerak melintasi laju seperti kuda yang pantas.

Ada orang melintasi berlari.

Ada orang melintasi sambil berjalan.

Ada orang melintasi dengan mengesot.

Ada orang melintasi dengan muka mereka.

Ada orang tak dapat bergerak langsung.


(6) Keadaan titian Sirat adalah gelap sehingga orang kafir dan munafiq teraba-raba di dalam perjalanannya. Sebaliknya orang beriman akan dapat melaluinya dengan mudah kerana cahaya yang menyinari jalannya.  Kadar cahaya yang bersinar sepanjang jalan bergantung kepada Imannya.  Orang yang Imannya tinggi akan memperoleh Cahaya Luas dan Terang benderang sepanjang jalannya.  Mereka yang kurang Iman akan mendapati cahayanya kurang sedikit berbanding dengan kelompok Iman yang tinggi.  Mereka yang lemah Imannya akan memperoleh cahaya sebesar ibu jari atau sebesar buah kurma.  Orang tiada Iman tiada cahaya baginya.  Golongan kafir, munafiq dan sesat akan teraba-raba sepanjang jalan di dalam kegelapan.  Wal Iyazubillah


(7) Menurut Ahli Ma'rifat, Cahaya Keimanan yang dikatakan menyinari jalan Mukmin sepanjang Titian adalah datang dari Cahaya Keimanannya sendiri yang sudah diperolehnya ketika di dunia.  Inilah Cahaya Tauhid, Cahaya Ma'rifat yang mereka peroleh hasil mujahadah pada Jalan Ma'rifat yang di-Redhai Allah.  Adapun orang awam yang bergelumang di dalam kesyirikan (syirik khafi), mazmumah (sifat keji) tidak akan mendapat cahaya atau hanya sedikit cahayanya.


Firman Allah:


وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُ ۥ نُورً۬ا فَمَا لَهُ ۥ مِن نُّورٍ


“Barang siapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”

[An Nuur (24) : Ayat 40]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu

"Kita juga wajib beriman adanya Sirat, iaitu jambatan yang menghubungkan dua tepi Jahannam.  Ketika melewati Sirat  itu Allah akan menggelincirkan siapa yang Dia Kehendaki.  Pada saat itu manusia hanya bergantung kepada Iman dan amal perbuatan mereka.  Ada yang menyeberangi Sirat dengan berjalan kaki, berlari kecil, menaiki kenderaan, merangkak dan ada juga merayap.  Rasulullah ﷺ pernah menyebut bahawa bentuk Sirat itu lebih halus dari rambut, lebih panas dari api, lebih tajam dari mata pedang.  Panjangnya 300 tahun dalam hitungan Akhirat.  Sirat itu hanya berjaya dilalui oleh orang yang berbuat baik.  Sedangkan orang yang berbuat jahat akan tergelincir kakinya."

[Al-Ghunyah]


Bersambung siri 730 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

__________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 769) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...