■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 470)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 57:
Lalai dari Zikrullah
(Lupa kepada Allah)
..... sambungan.....
Punca Kelalaian
Punca lupa kepada Allah
==================
Punca utama hati manusia menjadi lalai dan lupa kepada Allah amat banyak, namun apabila diusul kepada asal kejadian insan (ruh insan) serta perubahan yang terjadi setelah ruh insan itu diturunkan ke muka bumi dan dimasukkan ke dalam jasad, maka asbabnya adalah hijab (tutupan) yang menutup mata hati.
Penjelasan 1 : Asal insan adalah suci bersih, kemudian dikotori
Ketika di Alam Nur, ruh manusia suci bersih tanpa sebarang noda. Ia sentiasa menyaksikan Wajah Allah. Ertinya di Alam Nur, sekalian ruh manusia sudah kenal Allah dan menjadi saksi bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan) mereka.
Ketika Allah Ta'ala menjadikan sekalian Ruh manusia dan dihimpunkan di Alam Nur (alam Tinggi Ketuhanan), lalu Dia (Allah) bertanya kepada sekalian Ruh-Ruh : "Bukankah Aku Tuhan kamu", maka sekalian Ruh-Ruh itu menjawab serentak : " Bahkan, kami menjadi saksi atas demikian itu"
Firman Allah :
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ قَالُواْ بَلَىٰ شَهِدۡنَآ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
[Al-A'raf (7) : Ayat 172]
(1) Di dalam ayat ini terkandung Pengisytiharan bahawa sekalian Ruh manusia telah bersyahadat akan Keesaan Allah, telah Ma'rifat kepada Allah, telah kenal Allah dengan sebenar kenal.
(2) Ruh-Ruh di alam Nur melihat Zat Allah tanpa sebarang hijab (pendinding / tirai / halangan ) apa pun.
(3) Ruh-Ruh manusia sama ada Islam atau kafir semuanya di dalam keadaan suci bersih di alam Nur.
(4) Ruh manusia terhijab (terdinding) dari melihat Wajah Allah apabila ianya masuk ke dalam rahim ibunya ( alam dunia) disebabkan darah daging yang membalutinya dan ditambah lapisan-lapisan hijab kemudiannya akibat dari dosa-dosa syirik , mazmumah dan dosa-dosa yang lain.
(5) Sebaik sahaja ruh ditiup ke dalam janinnya di dalam rahim ibu, maka terhijablah (terdinding) ruh itu dari melihat Allah. Dia terdinding dengan lapisan hijab (dinding) yang pertama iaitu darah, daging, tulang, urat yang membalutinya. Setelah lahir ke dunia, meningkat menjadi kanak-kanak, meningkat dewasa, bermacam-macam hijab (tutupan hati) lain timbul akibat dari pandangan, pergaulan, makanan, serta dosa-dosa.
(6) Jika seseorang biarkan hatinya ternoda dan terhijab, dan tidak berusaha menyucikannya, maka hatinya terus menjadi lalai dan lupa kepada Allah.
Bersambung siri 471 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment