■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 153)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Punca bakhil
Berikut adalah perkara2 yang mendorong seseorang kepada bersifat dengan sifat bakhil.
(1) Takabbur dengan harta kekayaannya
Lazimnya orang yang memiliki harta kekayaan yang banyak menjadi sombong dengan kekayaannya. Orang ini menghimpun kekayaan demi kekayaan bagi menunjukkan lagi kemegahannya kepada manusia bahawa dia sememangnya kaya-raya dan memiliki kekuasaan.
(2) Merasakan harta kekayaannya dari usaha sendiri
Mengaku dia mendapat segala kekayaan dengan usaha sendiri yang keras. Dia lupa bahawa semua kekayaan miliknya adalah Pemberian Allah Ta'ala dan bukan kerana usahanya. Sifat keakuan ini menimbulkan kecenderungan hati bagi menahan hartanya untuk diri sendiri. Pegangan ini bukan saja menjadikan dia bakhil bahkan lebih berat lagi menjerumuskan dia kepada syirik khafi (syirik tersembunyi) tanpa disedarinya.
(3) Panjang angan2
Sifat bakhil timbul dari panjang angan2 untuk mencapai suatu "impian keduniaan" yang besar. Setiap hari dia menghitung hartanya dan menunggu2 saatnya mencapai impian tersebut. Dia enggan bersedekah kerana takut impian keduniaannya tidak tercapai. Baginya mencapai "impian keduniaan" itu menjadi matlamat hidup. Agama menjadi perkara sampingan. Wal Iyazubillah.
(4) Cinta dunia
Orang yang meletakkan kecintaan kepada dunia, harta kekayaan dan wang ringgit, amat susah bersedekah. Apabila kecintaan kepada dunia menguasai hatinya, dia sentiasa inginkan lebih lagi dan lebih lagi dari harta keduniaan, dan tidak bersedia kehilangannya walaupun sedikit.
(5) Lupa mati
Orang2 yang menghimpun2 kekayaan dan enggan bersedekah (dengan kadar selayaknya dia bersedekah) lupa bahawa dia akan mati meninggalkan segala kekayaannya. Dia tidak sedar bahawa dia tidak akan bawa satu sen pun daripada kekayaan yang telah dihimpun selama puluhan tahun. Dia juga lupa bahawa segala harta kekayaan yang banyak akan menjadi bahan rebutan dan pergaduhan di kalangan anak2nya setelah kematiannya, sebagaimana kita saksikan di hadapan kita pada zaman ini.
(6) Lupa harta kekayaan menjadi bebanan berat
Orang yang cuma tahu menghimpunkan kekayaan dan enggan bersedekah, lupa bahawa makin banyak hartanya yang disimpan untuk dirinya (tanpa keperluan yang diizinkan oleh Syara'), maka makin beratlah hisab di Padang Mahsyar. Setiap harta akan dihisab satu persatu, bagaimana dia mencarinya, bagaimana disimpannya dan ke mana dia belanjakan harta tersebut. Berbanding dengan seseorang hartawan yang banyak bersedekah Fi sabilillah, atau membantu faqir miskin, maka kurang hisabnya kerana kebanyakan harta telah dibelanjakan pada Jalan Allah.
(7) Lupa ingat Allah / Lupa pertemuan dengan Allah
Punca utama seseorang menjadi bakhil adalah kerana hatinya kosong dari Zikrullah. Dia lupa kepada Allah. Dia lupa akan segala Nikmat Kurnia Allah. Dia lupa bahawa dia akan menghadap Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah yang telah Mengurniakannya berbagai Ni'mat ketika hayatnya di dunia.
Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, di dalam berbagai risalah, berdasarkan Al-Qur'an, Hadith dan Fatwa Ulama Mu'tabar.... kelalaian hati daripada Zikrullah adalah punca utama kerosakan manusia Muslim, punca musnahnya Iman dan amal ibadah. Wal Iyazubillah. Yang kami maksudkan dengan Zikrullah adalah : ingat Allah, Allah, Allah terus-menerus di dalam hati tanpa putus, sebagaimana diamalkan oleh sekalian Imam2 besar Ahlus Sunnah — sekalian Auiya Allah, yang mereka mewarisi turun-temurun daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.
Bersambung siri 154 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment