Wednesday, December 28, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 159)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )


Contoh2 Tamak


Contoh 1 : Menyimpan makanan melebihi keperluan sehingga rosak

Membeli makanan yang banyak (melebihi keperluan) dan menyimpannya sehingga akhirnya rosak dan dibuang.  Ini adalah contoh ketamakan yang sangat lazim berlaku di dalam kehidupan harian, tetapi kebanyakan kita tidak menyedarinya.  Selayaknya makanan berlebihan (yang disimpan dan tidak digunakan sehingga rosak) adalah hak faqir miskin dan orang2 yang kelaparan. 


Contoh 2: Juadah berbuka puasa melebihi keperluan

Menjelang Ramadhan, ketika membeli kuih-muih di Bazaar Ramadhan, nafsu membuak2 ingin membeli berbagai juadah, tetapi tidak dimakan,  sehingga akhirnya banyak yang terbuang begitu sahaja.  Bukanlah menjadi larangan membeli berbagai juadah untuk berbuka puasa, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, namun apabila berlebihan sehingga terjadi pembaziran, maka ini membawa maksud kepada sifat tamak yang sangat tercela.


Catitan penting :

Jika seseorang telah membeli dengan cara berhemah dan munasabah tetapi tidak habis juga, maka ini adalah persoalan lain dan tidaklah dikatakan tamak. 


Contoh 3 : Pembelian panik (Panic buying)

Ketika tersebar khabar angin berkenaan kekurangan makanan, orang2 berada (orang kaya) membeli barangan makanan dengan amat banyak untuk dijadikan stok, sehingga orang2 lain tak dapat membelinya.  Contoh terbaru yang dapat disaksikan adalah ketika berlaku PKP, orang2 kaya membeli barang makanan yang tersangat banyak sehingga orang lain berputih mata. Selang beberapa hari, berlakulah lambakan makanan yang terbuang begitu saja kerana telah luput tarikh / rosak / busuk. Ini jelas menunjukkan ketamakan, pentingkan diri sendiri dan juga pembaziran. 


Contoh 4: Menambah2 pakaian dan aksesori

Barangkali inilah contoh paling umum di kalangan selebriti, orang kenamaan dan termasuk penda'wah2 dan mereka yang memiliki harta kekayaan.  Mereka sentiasa menambah2 pakaian, sehingga ada di antara mereka memiliki lebih 100 pasang pakaian dari berbagai jenama. Bagi setiap upacara, mereka mempunyai pakaian yang tersendiri. Bukankah ini jelas menunjukkan ketamakan yang akan menerima hisab yang berat?


Contoh 5: Koleksi kenderaan

Pemimpin2, Sultan2, Raja2 habiskan wang yang banyak untuk membeli kereta2 mewah. Masing2 berbangga dengan koleksi kenderaan mewah mereka. Mereka tak pernah merasa puas dengan beberapa buah kereta mewah, sebaliknya mereka akan terus beli dan beli sehingga masuk kubur, sedang tidak ada sebuah pun kereta mewah kamu mengiringi kamu masuk kubur. Hanya tanah yang mampu menutup mulut ketamakan. 


Contoh 6 : Memiliki tanah yang banyak tetapi tidak dimanfaatkan

Orang2 yang kaya membeli beratus2 ekar tanah dan dijadikan simpanan. Mereka tak pernah puas dengan beberapa ratus ekar tanah.... tetapi mereka terus beli dan beli lagi semata2 dijadikan simpanan  — tidak dimanfaatkan untuk masyarakat awam sebaliknya semata2 dijadikan simpanan untuk dibawa mati. 


Contoh 7: Ahli Politik Tamak Kuasa

Orang2 yang berkecimpung di dalam politik pemerintahan negara sentiasa tamakkan kuasa yang lebih.  Mereka sentiasa kelaparan "kuasa" kerana "kuasa" bagi orang politik adalah lubuk mencari kekayaan, kesenangan dunia dan kemegahan. Mereka mengadu domba, menaburkan fitnah dan seribu pendustaan demi mencapai kuasa dan kedudukan yang lebih. Yang paling buruk di antara mereka adalah mereka yang menggunakan istilah2 menarik seperti "Daulah Islamiyyah", "Negara Islam", dll demi ketamakan kepada kuasa. 

Inilah ketamakan paling keji kerana sebaik sahaja mereka mendapat kuasa, hilanglah segala laungan Agama, hilanglah pegangan. Mereka terus dihanyut oleh kerusi kayangan...!


Bersambung siri  160 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 392) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...