Thursday, November 17, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 87)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.14  Dosa Besar ke-13:   Kazib — dusta, bohong, menipu

sambungan....


Berdusta atas Nama Allah dan Rasul-Nya:


Sesungguhnya berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya adalah perbuatan orang kafir dan bukan orang beriman.  Tidak mungkin seseorang yang beriman (meskipun tersangat lemah Imannya) berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya, Tidak mungkin!  Namun hal ini dibincangkan juga di dalam bab "pendustaan" kerana ada orang Islam tertipu dengan bisikan syaitan sehingga dia melakukan pendustaan atas nama Allah dan Rasul-Nya  tanpa disedarinya dan akhirnya menjadi sesat.  Wal Iyazubillah.    


Bahkan di sana wujud satu golongan Muslim yang sengaja mengadakan pendustaan atas nama Allah dan Rasul-Nya kerana kepentingan nafsu dan kerana memperoleh keuntungan dunia yang hina. Atau mereka telah disesatkan oleh Iblis kerana mereka tidak mempunyai seorang Mursyid sebagai pemimpin kepada Allah.  


Berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya mempunyai 3 wajah :


Pertama : Mencipta ayat Qur'an palsu atau Hadith Palsu.  

Termasuk di dalam bahagian ini adalah mereka yang mengubah atau menokok tambah ayat Allah atau Hadith Rasulullah ﷺ

Ini adalah perbuatan "Ulama" as-su (Ulama jahat), "Ulama"  fasiq yang mengaku Ahlus Sunnah dan juga  golongan Syi'ah (rafdhi). Hal ini sama seperti pendeta2 Yahudi dan Nasrani yang memahami Kitab Samawi terdahulu, tetapi mereka menyelewengkan kandungannya agar sesuai dengan nafsu selera mereka. 


Kedua :  Engkar kepada mana2 ayat Qur'an atau Hadith Rasulullah ﷺ, (meskipun hadith dha'if sekalipun kerana Hadith dha'if tetap termasuk dalam Hadith, cuma tidak digunakan oleh Ulama untuk berhujjah menetapkan hukum.) 

Ini adalah perbuatan golongan sekular / liberal / fasiq / zindiq.


Ketiga : Mentafsir sendiri Ayat Qur'an atau Hadith dengan aqal fikiran sendiri.  (perbuatan ini juga terhitung ke dalam pendustaan terhadap Allah dan Rasul-Nya)

Mereka adalah golongan "muda" yang menyangka sudah mencapai taraf Mujtahid.  Mereka sewenang2 mentafsirkan Ayat Qur'an dan Hadith dengan sangkaan mereka sudah mahir kerana mereka memiliki segulung ijazah Universiti atau kerana sudah bergelar Hafiz Qur'an atau kerana  sudah hafal beberapa Hadith Nabi.   Ini adalah perangai golongan Wahhabiyyah (khawarij).   Pada hari ini golongan muda ini bersepah sana sini, membuat video, bahas hukum-hakam dan sewenang keluarkan "fatwa" mengikut nafsu dan bisikan Iblis. Wal Iyazubillah.


Fahamilah hakikat ini ....!

Menurut pendirian Ahlus Sunnah.... Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ adalah dua gedung Ilmu yang amat besar, lautan yang tidak bertepi, khazanah keilmuan yang tidak akan kering ilmunya sampai Qiamat. Setiap ayat Qur'an dan Hadith mempunyai makna2 yang zahir dan juga yang tersembunyi.  Tafsiran bagi setiap ayat Qur'an atau Hadith  hanya difahami oleh Ulama Mujtahid.  Dengan demikian orang yang belum sampai kepada taraf Mujtahid, diharamkan mentafsir Al-Qur'an atau Hadith Nabi.


Mereka yang dikatakan Ulama Mujtahid adalah Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar yang sudah sampai keilmuan yang amat tinggi sehingga layak mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith Nabi.  Mereka mahir di dalam setiap ilmu Syari'at — hafal Qur'an, hafal 300,000 Hadith, mahir di dalam ilmu tafsir, mahir di dalam mustolah Hadith, mahir di dalam ilmu nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi', sirah dll. Mereka juga sudah mencapai keilmuan tinggi pada sisi Ma'rifat — mengenal Allah dengan sesungguhnya serta di dalam pimpinan ruhaniyah Rasulullah ﷺ.  Mereka hanya mentafsir Al-Qur'an dan Hadith menurut Kehendak Allah, BUKAN menurut kehendak peribadi, BUKAN kerana turutkan nafsu, BUKAN bisikan Iblis, BUKAN menurut kemahuan pemerintah atau lainnya.


Berbeza dengan "ulama" jahat / "ulama" fasiq dari kalangan yang mengaku Ahlus Sunnah,  atau "ulama" sesat dari kalangan Wahhabiyyah (khawarij), mujassimah, mu'tazilah, jabariyyah dll....

Kesemua mereka ini mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith menurut  pemikiran aqal sempit mereka atau kerana bisikan nafsu dan Syaitan. Betapa tidak, mereka tidak mengenal Allah dan tidak mampu bezakan antara seruan Haq Allah Ta'ala dengan bisikan Syaitan, maka sentiasalah mereka disesatkan oleh Syaitan. Wal Iyazubillah.  


Meskipun mereka juga merujuk dalil2 dan hujjah2 Al-Qur'an dan Hadith namun mereka TIDAK mengenal Allah dan tidak mengetahui Kehendak Allah pada satu2 tafsiran ayat Qur'an dan Hadith.  Ilmu zahir syari'at sahaja TIDAK memadai bagi mentafsirkan Kalam Allah Yang Maha Tinggi. Ilmu zahir syari'at saja tanpa mengenal Allah dari dalam hati akan menyebabkan tafsiran menyeleweng dari hakikat Kehendak Allah. Akibatnya mereka mentafsirkan menurut pemikiran / nafsu / bisikan Syaitan.  Maka inilah sebab dan bukti kukuh  mengapa "Ulama" bagi 72 golongan sesat menjadi sesat dan menyesatkan.  


Fahamilah sungguh2 apa yang kami katakan ini.


Bersambung siri  88 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________  

JAMAAH TAZKIRAH JILANI     

       

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 392) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...