■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 294)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 5: Membanding-bandingkan beberapa dosa
Orang yang berkata : "Saya buat dosa ini bukan besar mana pun. Tidaklah sampai membunuh atau berzina." Orang yang mempunyai anggapan demikian melakukan dosa besar. Ini kerana setiap dosa sama ada besar atau kecil adalah penderhakaan kepada Allah. Jangan sesekali berani berbuat dosa kerana membanding-bandingkannya dengan dosa besar yang lain. Apabila seseorang memandang kecil suatu dosa kerana membandingkannya dengan dosa lebih besar, maka dia telah melakukan dosa besar.
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
"Dosa besar itu tujuh sampai sekitar tujuh ratus, Hanya tidak ada dosa besar disertai dengan istighfar (Taubat Nasuha) dan tidak ada dosa kecil bila dikerjakan dengan terus-menerus."
[Imam At-Thabrani — nukilan Imam Haythami didalam Al-Zawaajir]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
"Di antara sebab-sebab sesebuah dosa kecil menjadi dosa besar adalah memandang enteng sesebuah dosa (meremehkan dosa).
[Ihya Ulumuddin]
Contoh 6: Meremehkan Ilmu Fardhu 'Ain
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, menuntut ilmu fardhu 'Ain adalah wajib.
Pada zaman ini, ramai orang Islam mengamalkan Islam secara ikut-ikutan, bukan memahaminya dengan cara talaqqi menghadap Guru.
Misalnya mereka mengerjakan solat berpandukan "cara solat kanak-kanak" yang mereka pelajari ketika di sekolah rendah atau menengah. Sedangkan cara ini tidak menepati syarat dan rukun solat, ertinya tidak sah solat.
Menurut pengalaman kami membimbing orang-orang Islam di dalam "Kursus Murnikan Cara Solat", kami dapati hampir semua peserta tidak mengetahui dan memahami syarat-syarat dan rukun Solat dengan betul. Bahkan Rukun pertama solat pun sudah tunggang langgang. Inilah buktinya ramai sekali orang Islam mengerjakan solat dengan "cara solat kanak-kanak" yang mereka pelajari dahulu. Mereka tak pernah mentelaah cara solat yang sempurna menurut syarat dan rukun solat dengan jalan menghadap Guru.
Demikian lagi mereka tidak mengetahui rukun Iman dengan tepat menurut Ahlus Sunnah, khususnya bab Taqdir Qadha dan Qadar, sedangkan kenyataannya ramai sekali orang alim pun jatuh kepada Golongan sesat — Syi'ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah dan lain-lain berjumlah 72 Golongan akibat dari tidak memahami Bab Taqdir — Qadha dan Qadar.
Semua ini berpunca dari tidak menuntut Ilmu fardhu 'Ain dan tidak mengambilnya dari Guru yang benar-benar Arif, Guru Pewaris Nabi yang siddiq, yang benar-benar menepati Syaratnya.
Orang yang meremehkan Ilmu Fardhu Ain jatuh kepada beberapa bahaya dosa besar :
Bahaya pertama: Ibadahnya tidak sah
Bahaya kedua: Jatuh kepada kelompok sesat tanpa disedarinya.
Bahaya ketiga: Meremehkan ilmu fardhu Ain itu sendiri merupakan dosa besar.
Semua ini bermaksud orang yang meremehkan ilmu Fardhu Ain melakukan dosa besar berterusan sepanjang hidupnya.
Bersambung siri 295 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment