Friday, July 04, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 676)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-5:

Wajib Mengenal Allah


Setiap Muslim wajib berusaha mengenal Allah sebagaimana Kalam Allah Yang Maha Agung:


Firman Allah:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:

Menurut Ibnu Abbas, yang dikehendaki dengan Kalam Allah " يَعْبُدُونِ"   (Ya'budun)  pada ayat di atas adalah sebenarnya " يعرفون "  (ya'rifun)  iaitu Mengenal Allah (di dalam Pengertian mendalam disebut Ma'rifat).   Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan pengertian ini. 


Maka maksud Perintah Allah di atas adalah:

"Tidaklah Allah Ta'ala ciptakan jinn dan manusia melainkan untuk Mengenal Allah dengan sebenar kenal dan kemudian melakukan  Ubudiyyah —  ketaatan kepada Allah dan beribadah kepada-Nya  dengan tulus ikhlas.


Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah"   membawa maksud umum  kerana pekerjaan "ibadah"  dikerjakan juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain, atau tegasnya orang kafir dan Musyrik.   Berbeza dengan Ubudiyyah, ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — penyerahan diri sebagai hamba yang faqir  di hadapan Allah. 


Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat" (Mengenal Allah dengan sebenar kenal) dan "Ubudiyyah" (Perhambaan sempurna) itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia), BUKAN pengertian sempit "ibadah".  


Bagaimanakah cara untuk Mengenal Allah  ....   " يعرفون " ?

Bagaimanakah cara sebenar Ubudiyyah?

Bagaimanakah cara menyempurnakan tuntutan Allah di dalam ayat tersebut?


Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu menjelaskan darihal ayat ini:


"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.  

Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.     

Kedua  Ilmu batin, disebut Ma'rifat atau Toriqat.


Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat.  Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah.  Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : Ayat 19 dan 29."


Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.   Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah). Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah  sebagaimana Firman Allah    "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ". 

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]


Di dalam bahasa yang mudah difahami:


Tujuan Penciptaan manusia adalah untuk Mengenal Allah dengan sebenarnya, yakni Ma'rifat.  Untuk memperoleh "Ma'rifat "  dan seterusnya "Ubudiyyah" yang hakiki. Setiap orang beriman wajib mempelajari dan amalkan kedua-dua Ilmu yang diterima dari Junjungan Besar Rasulullah   ﷺ,  iaitu Ilmu Zahir (Syari'at) dan Ilmu Batin (Toriqat) dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.


Jika seseorang hanya amalkan ilmu zahir (Syari'at) sahaja dan tinggalkan ilmu batin (Toriqat)  atau dia hanya amalkan ilmu batin (Toriqat ) sahaja dan abaikan Ilmu Zahir (Syari'at), maka dia sama sekali tidak akan dapat mengenal Allah dengan sebenar dan tidak mungkin dapat Ubudiyyah (perhambakan diri) di dalam erti kata yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.   Bahkan orang-orang seperti ini di dalam bahaya kebinasaan Iman.  


Bersambung siri 677 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 714) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...