Sunday, August 18, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 444)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-56:

Tidak berpegang kepada

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

....... sambungan.....



Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)

====================================


Berikut adalah syarat-syarat seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq diambil dari fatwa Ulama-ulama terulung Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.  


Masyaikh Ahlus Sunnah sangat tegas di dalam menentukan Syarat-Syarat Mursyid yang Siddiq.  Setiap  Mursyid wajib menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.  Tujuannya adalah bagi menghindari "Guru-guru penyamar", "Guru-Guru palsu" yang mengaku Mursyid sedangkan mereka hanya berpura-pura untuk menipu orang-orang jahil bagi mengaut keuntungan duniawi. 


Syarat 1 :  Mempunyai Silsilah Sehingga Rasulullah ﷺ

Beliau termasuk di dalam 'rantaian' pewaris Nabi dipanggil Silsilah Rasulullah ﷺ .  Maksudnya beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikhnya (Mursyidnya) yang telah menerima daripada Shaikhnya dan seterusnya ke atas dan ke atas sehingga bertemu Rahmat-Al-lameen,  Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.


Hal ini merupakan satu dari tanda-tanda  BENARNYA  seorang Mursyid Pewaris Nabi. Sebagaimana kami menyebutnya berulangkali, “ Cahaya Silsilah Rasulullah ﷺ “ bukan rekaan atau buat-buatan manusia tetapi ia  adalah pancaran "Nur Muhammad" yang memancar ke dalam hati para Pewaris Nabi.  Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala.


Seseorang Guru yang tidak mempunyai Cahaya Nur Muhammad atau Cahaya Silsilah Keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat Ketuhanan kerana mereka sendiri tidak pernah dipimpin dan tidak pernah sampai ke Hadrat Ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain..!


Seluruh Pewaris Nabi yang Siddiq, yang terkenal dan diakui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka itu dari Silsilah keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah  ﷺ.  Dengan demikian Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman dan orang-orang yang menentangnya akan binasa.  

Wal Iyazubillah!


Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid tetapi tidak dapat membuktikan kelayakannya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan menunjukkan silsilahnya sampai kepada Rasulullah ﷺ, maka pengakuan ini tidak dapat diterima.  Kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura-pura menjadi Guru Mursyid.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu :

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian (Mursyid) mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan.  Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat.  Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.  Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram.  Dia memimpin si Salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Gurunya (Mursyidnya), sempurna di dalam kemurahan hatinya."

[Qala'id Al-Jawahir]


Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu anhu :

"Orang yang silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi ﷺ, itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah  ﷺ   (bukan Murshid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."

[Khazinah Al-Asrar]


Berkata Shaikh Ahmad Al-Kamashkhanawi Radhiallahu anhu :

"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah ﷺ  dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah."

[Jami' Usul Fil Aulia]


Bersambung siri 445 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 516) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...