Sunday, August 18, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 446)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-56:

Tidak berpegang kepada

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

....... sambungan.....



Syarat ke-4 :  Berpegang Teguh dengan Syari’at


Sebahagian daripada Syarat yang wajib ada pada seorang Mursyid Pewaris Nabi adalah :  Tetap berpegang teguh dengan Syari’at.  Sifat ini merupakan satu lagi penjagaan yang amat penting.

Seorang Mursyid wajib mematuhi hukum-hukum yang termaktub di dalam  Al-Qur'an, Sunnah Nabi ﷺ dan Ijma’ Qias Ulama.  Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari'at sewenang-wenangnya sama ada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya sendiri secara terang-terangan atau mengadakan atau menganjurkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam.  Atau terlibat di dalam menyokong Majlis Mungkar.  Semua ini TIDAK layak bagi Mursyid.


[Perhatian: Maksud pelanggaran hukum Syariat, adalah hukum-hukum yang telah disepakati oleh Ulama-ulama Mu'tabar sebagai haram, dan bukan masalah khilafiyah.  Jika suatu hukum masih di dalam perselisihan Ulama, iaitu wujud beberapa pendapat Ulama, lalu seorang Mursyid pegang pada satu pendapat, maka ini TIDAK boleh dihukum melanggar hukum syari'at]


Jika seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang-terangan atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara-perkara mungkar, atau dia menyokong perkara-perkara mungkar yang telah disepakati oleh Ulama Ahlus Sunnah sebagai Haram, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh.  Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut iblis dan terkena Istidraj!   Wal Iyazubillah!


Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu anhu :

"Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi.  Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq.  Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta tidak mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya.  Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut syaitan dan musuh Islam.”

[Kashful Mahjoob]


Syarat ke-5 :  Da'wah -  Amr Bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar


Mursyid Pewaris Nabi adalah penyambung Risalah Rasulullah ﷺ, maka sudah semestinya beliau menjunjung tinggi amanah ini.  Seorang Mursyid sangat terlatih untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran melalui nasihat-nasihat, teguran-teguran dan amaran-amaran kepada murid-muridnya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.

Sepanjang sejarah Islam, Mursyid Pewaris Nabi ini telah terkenal dengan Da'wah mereka kepada Ummat Islam.  Mereka sering memberi amaran-amaran kepada semua manusia, termasuk pemerintah-pemerintah yang melakukan pelbagai kezaliman.


Syarat ke-6 :  Bersifat Siddiq (Benar) dalam Perkataan dan Perbuatannya.


Seorang Mursyid yang benar adalah sentiasa BENAR di dalam perkataan dan perbuatannya.  Dia bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq. 


Ini amat berbeza dengan Ulama-ulama  As-su (ulama jahat) dan Ulama sesat yang sanggup menjual agama untuk habuan dunia dan nafsu.  Mereka sanggup menipu ummat demi mendapat kedudukan tinggi  di sisi Pemerintah atau Pemimpin.  Mereka adalah “Ulama-ulama” politik yang menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.


Bersambung siri 447 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 514) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...