Friday, November 03, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 317 )

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 44:

Muliakan Sultan, Amir,

Pemerintah Zalim

.... sambungan....



Dalil-dalil

=========


Dalil 1:

Firman Allah تَعَالَى


وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ


"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah.  Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."

[Hud (11) ; Ayat 113]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, iaitu janganlah kalian minta pertolongan kepada orang-orang yang zalim, kerana seakan-akan kamu rela kepada amal perbuatan mereka".

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Ertinya Jangan condong kepada orang berbuat zalim dan kekufuran.  Semua makna ini berdekatan.  Ibnu Zaid berkata :  Firman Allah  "الرُّكُونُ " bermaksud menjadi penjilat. "

[Tafsir Jaami' Li-Ahkam]



Dalil 2

Hadith Rasulullah ﷺ:

Ketika Rasulullah ﷺ melewati daerah Hajar, Baginda bersabda,“Janganlah kamu memasuki tempat tinggal orang-orang yang zalim, kecuali sambil menangis. Karena apa yang menimpa mereka boleh juga menimpa kamu.”   Lalu Baginda menutup kepala Baginda dengan kain selendangnya, dan mempercepat perjalanannya, hingga berhasil melewati daerah itu.”

[Imam Bukhari]


Dalil 3

Sabda Rasulullah ﷺ:

"Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasiq, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong.  Sesiapa yang sempat berada di zaman tersebut, jangan kalian menjadi pengutip cukai,  penyelia dan penguasa bagi pihak mereka.”

[Imam At-Tabrani]


Dalil 4

Sabda Rasulullah ﷺ:

"Akan ada sesudah-ku amir-amir (pemimpin) yang berdusta dan zalim.  Maka barang siapa membenarkan mereka dengan kedustaannya dan menolong mereka atas kezalimannya, maka tidaklah dia daripada-ku dan tidak aku daripadanya.  Dan dia tidak akan datang ke haudh (Telaga Rasulullah ﷺ)"

[Imam At-Tirmizi]



Dalil 5

Sabda Rasulullah ﷺ:

"Barang siapa memuliakan orang fasiq, maka sesungguhnya dia telah menolong meruntuhkan Islam."

[imam Ath-Thabrani]


Dalil 6

Rasulullah  ﷺ bersabda :

“Tiada sayugia bagi manusia yang menyaksikan suatu tempat, yang padanya ada kebenaran, melainkan mengatakan kebenaran itu.  Kerana sesungguhnya yang demikian tiada akan mendahulukan ajalnya dan tidak akan menghalangi rezeki yang teruntuk baginya.”

[Imam Al-Baihaqi, Imam At-Tirmizi]


Fatwa  Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

Hadith ini menunjukkan bahawa tidak boleh masuk ke rumah orang zalim, orang fasiq, dan tidak boleh menghadiri tempat-tempat yang dipersaksikan perbuatan mungkar padanya.  Dan ia tidak sanggup merubahnya.  Ini kerana Nabi ﷺ bersabda :    “La’nat (azab)  akan turun kepada orang yang menghadirinya.”    Dan tidak boleh menyaksikan perbuatan mungkar, tanpa ada keperluan, dengan alasan lemah dari mencegahnya.”

[Ihya Ulumuddin]



Bersambung siri 318 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

 🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 316 )

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 44:

Muliakan Sultan, Amir, 

Pemerintah Zalim

=====================



Definisi:

========


Dari segi bahasa :

Zalim berasal dari kata Arab   (  ظلم     يظلم    ظلما ) bermaksud :    gelap, tidak adil, bengis, kejam, menindas, menekan, menganiaya orang, tiada peri kemanusiaan, melampau batas, jauh dari kebenaran, menuruti jalan kebatilan, tidak meletakkan suatu pada tempatnya. 


Dari segi Istilah:

Zalim adalah kegelapan hati, kebatilan, kesesatan, jauh dari Petunjuk Allah, jauh dari kebenaran, melampaui ketentuan Agama (menentang Allah, Rasul-Nya dan Ulama Pewaris Nabi) dan melampaui tatacara hidup kemanusiaan.

     

Dengan pengertian ini :

Orang yang zalim adalah orang yang keluar dari landasan Agama yang haq, menyimpang dari Agama yang lurus, dan mengikut jalan kebatilan dan kesesatan dan melakukan berbagai kejahatan termasuk bertindak kejam, menindas, menganiaya, merampas hak orang lain bahkan sampai mencederakan atau membunuh manusia. 



Penjelasan

===========


(1) Secara umum yang dikatakan orang yang zalim adalah orang yang melampaui ketentuan Agama, melawan Allah, Rasul dan Ulama Warisatul Anbiya, iaitu melawan peraturan, undang-undang dan hukum yang telah ditetapkan oleh Masyaikh Ahlus Sunnah berpandukan Al-Qur'an dan Sunnah.  


(2) Di antara manusia yang banyak melakukan kezaliman atas muka bumi adalah Pemimpin-pemimpin, Raja-raja, Sultan, Amir-amir, Pegawai-pegawai iaitu mereka yang memegang kuasa.  Mereka menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menindas dan menzalimi manusia. 


(3) Sejaran ummat Islam menunjukkan hal ini.  Apabila seseorang manjadi Amir atau Sultan, dia sewenang-wenang melakukan berbagai kezaliman ke atas rakyat.


(4) Terdapat larangan khusus masuk ke tempat orang zalim, terutama pemimpin-pemimpin zalim kerana La'nat dan Kemurkaan Allah turun ke atas mereka. 


(5) Dilarang keras memuliakan orang zalim kerana mereka adalah musuh Allah dan musuh bagi sekalian orang beriman. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu

"Ketahuilah kiranya, bahawa kamu bersama amir-amir, sultan dan pegawai-pegawai dan orang-orang zalim mempunyai tiga hal:

Hal pertama:  Iaitu yang terburuk, ialah kamu masuk ke tempat mereka.

Hal kedua :  Iaitu yang kurang buruk dari itu ialah mereka masuk ke tempat kamu.

Hal ketiga :  Iaitu yang lebih selamat, ialah kamu mengasingkan diri dari mereka.  Maka kamu tidak melihat mereka dan mereka tidak melihat kamu.

Ada pun hal pertama, iaitu masuk ke tempat mereka, maka ia tersangat dicela pada Agama. Mengenai hal demikian terdapat ancaman berat berdasarkan Hadith dan athar.  Ada pun Hadith iaitu tatkala Rasulullah ﷺ menyifatkan amir-amir yang zalim, Baginda bersabda, "Maka barang siapa mencampakkan mereka, nescaya terlepaslah dia dan barang siapa mengasingkan diri dari mereka, nescaya selamatlah dia atau hampir selamat.  Dan barang siapa bersekutu dengan mereka dalam keduniaan, maka dia termasuk sebahagian dari mereka (amir-amir zalim) — Imam At-Thabrani."

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri 317 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

 🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 315 ) 

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 43:

Enggan Sedekah kerana Takut Miskin

sambungan....




Dalil-Dalil

=========


Kewajipan Syukur kepada Allah


Firman Allah:


وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ 


"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu Berfirman:  Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."

[Ibrahim (14) : Ayat 7]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang,  dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar.  Dalam urusan agama (ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohnya.  Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada Allah bahwa dia masih diberi kelebihan."

[Imam At-Tirmidzi]



Sedekah itu tambah-tambahkan rezeki


Firman Allah Ta'ala:


مَثَلُ الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ اَمْوَالَهُمْ فِىسَبِيْلِ اللهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ اَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فىِ كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللهُ يُضَاغِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ


"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, seumpama suatu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi orang yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) dan Maha Mengetahui.” 

[Al-Baqarah (2) : Ayat 261]



Sedekah tidak mengurangkan rezeki


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sedekahkanlah hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menyimpan untuk diri dan enggan sedekah).  Jika tidak,  Allah akan menghilangkan berkah rezeki  tersebut.  Janganlah menghalangi Anugerah Allah untukmu.  Jika tidak, maka Allah akan menahan Anugerah dan Kemurahan untukmu.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



Tetap sedekah meskipun sempit rezeki


Firman Allah Ta'ala:


لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِۦ  وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ  لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا  سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ


Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.  Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya.  Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

[At-Talaaq (65) : Ayat 7]



Enggan sedekah kerana takut miskin adalah dari bisikan Syaitan


Firman Allah Ta'ala:


الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir) ; sedang Allah menjanjikan untukmu Keampunan daripada-Nya dan Kelebihan Kurnia-Nya.  Dan Allah Maha Luas Limpah Rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui” 

[Al-Baqarah (2) : Ayat 268]


Bersambung siri 316 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 314 ) 

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 43:

Enggan Sedekah Takut Miskin

======================



Definisi

=======

Enggan sedekah kepada Fi Sabilillah atau kepada faqir miskin dengan alasan akan kurang hartanya atau takut menjadi miskin.  Dan ini dosa besar.



Penjelasan

==========


(1) Allah Ta'ala Yang Maha Mengurniakan Rezeki kepada manusia, sebahagian mereka mendapat rezeki yang melimpah ruah menjadi kaya-raya. Sebahagian lain memperoleh rezeki pertengahan (cukup-cukup makan) dan lain-lain sangat kurang rezekinya.


(2) Semua orang beriman di Perintahkan mengeluarkan sedekah mengikut kemampuannya.  


(3) Orang yang kaya raya perlu mengeluarkan sedekah lebih dari nilai sedekah yang dikeluarkan oleh orang yang kurang rezekinya.   Orang yang rezekinya sedikit perlu juga sedekah mengikut kemampuannya sebagai tanda Syukur kepada Allah. 


(4) Orang yang enggan menghulurkan sedekah untuk Fi Sabillah atau orang lain yang sangat memerlukan adalah termasuk orang yang bakhil. 


(5) Orang yang enggan bersedekah kerana takut jatuh miskin adalah dia termasuk orang yang tidak mensyukuri Ni'mat Allah, tidak percaya kepada Janji-janji Allah dan sebaliknya percaya kepada bisikan syaitan. 


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Takut miskin dan bakhil adalah sebab orang enggan bersedekah (Untuk Fi sabilillah atau untuk manusia lain yang memerlukan). Mereka menggenggam tangan , terlalu berhemat dan gemar menyimpan harta.  Allah mengancam orang-orang seperti ini dengan siksaan berat".

[Al-Zawaajir]


Bersambung siri 315 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 313 )

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 42:

Ungkit Pemberian:

sambungan......




Contoh-contoh:

==============


Contoh 1

Seorang berkata kepada anak-anak yatim :   "Sepatutnya kalian berterima kasih padaku kerana aku yang banyak hulurkan sumbangan kepada kalian sehingga rumah ini makmur".

Ungkapan ini lazimnya dilontarkan apabila dia tidak dihargai.  Dengan ucapan tersebut, dia telah batalkan amal kebaikan dia, bahkan terkena dosa besar akibat mengungkit pemberiannya. 



Contoh 2

Orang yang banyak melakukan sedekah untuk Masjid berkata :  "Masa dulu tak ada apa pun kat masjid ini.  Akulah yang banyak sedekah sampai dapat macam-macam kemudahan.  Kalian patut contohi aku."

Zahirnya kelihatan seperti menunjukkan contoh kepada orang lain supaya bersedekah namun di sebaliknya adalalah sum'ah dan mengungkit-ungkit sedekah yang batalkan sekalian ganjaran dan jatuh kepada dosa besar. 



Contoh 3

Seorang dermawan berkata :   "Ustaz-ustaz semua puji aku sebab aku seorang je yang bagi sedekah banyak pada ustaz-ustaz tu"



Contoh 4 

Seseorang yang pernah menolong seseorang miskin sehingga berjaya di dalam perniagaannya : "Kalau lah bukan aku yang banyak bantu kau dulu, tentu kau merempat di jalanan." 


Contoh 5

Seseorang yang marah kepada penerima bantuannya berkata, " Kau jangan jadi seperti "kacang lupakan kulit".  Jangan lupa siapa yang tolong kau selama ini."    Walaupun zahirnya kelihatan seperti memberi nasihat, namun di dalam ucapan itu terkandung "mengungkit".  Maka hilanglah segala ganjarannya berubah menjadi sebuah dosa besar.


Bersambung siri 314   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...