■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 517)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-62:
Asabiyyah
===============
Definisi Asabiyyah
Taassub
================
Dari segi bahasa:
Asabiyyah ( عصبيية ), diambil dari kata:
i. ( عصب يعصب عصبا) — saraf, melipat, mengikat, membungkus, membalut.
ii. ( عُصْبَة ) — bersyarikat, sekutu, kumpulan, kelompok, pasukan, liga.
iii. (تَعَصُّب ) — fanatik kelompok, pegangan melampau falsafah kelompok, semangat pasukan melampau batas, tiada toleransi.
Dari segi istilah:
Asabiyyah adalah bersatu dan berjuang atas dasar perkauman, bangsa, kelompok dan BUKAN atas dasar Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah, serta melakukan berbagai kezaliman, penindasan, kerosakan terhadap kelompok atau golongan lain yang bertentangan dengan mereka.
Penjelasan:
========
(1) Allah Ta'ala menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan dan Memerintahkan mereka mengenal Allah — Ma'rifat kepada Allah dan Ubudiyyah tulus ikhlas kepada-Nya.
[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]
(2) Allah Ta'ala mengisytiharkan bahawa manusia dijadikan daripada jiwa yang satu (Adam Alaihis Salam) dan memerintahkan mereka supaya bertaqwa kepada Allah.
[An-Nisaa (4) : Ayat 1]
(3) Allah Ta'ala Ciptakan manusia berbangsa-bangsa, suku, keturunan supaya saling mengenali antara satu sama lain. (ertinya bukan bertujuan bermusuh-musuhan atau saling merendahkan atau berperang antara satu dengan lain)
[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]
(4) Allah Ta'ala Isytiharkan kepada manusia seluruhnya, bahawa manusia semuanya sama ; sama ada kamu Raja atau rakyat, sama ada kamu berpangkat tinggi atau tiada pangkat, sama ada kamu jutawan atau papa kedana, sama ada kamu kulit putih atau hitam, sama ada kamu tinggal di rumah mewah atau hidup di pondok buruk... hal yang membezakan kamu di Sisi Allah, hanyalah TAQWA.
[Al-Hujurat 49) : Ayat 13]
(5) Allah Ta'ala juga memerintahkan kepada orang beriman supaya tolong menolong di dalam melakukan kerja-kerja kebaikan, kebajikan dan Taqwa serta jauhi sama sekali tolong menolong pada perbuatan pencerobohan, permusuhan dan kezaliman.
[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]
(6) Beberapa penjelasan berkenaan:
"Tolong menolong pada pekerjaan Kebajikan dan Taqwa"
Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar, setiap pekerjaan di dalam kehidupan yang asalnya bersifat harus, akan menjadi Ibadah, kebaikan dan kebajikan apabila memenuhi 2 syarat:
Syarat 1: Niat semata-mata kerana Allah
Syarat 2: Pelaksanaannya mematuhi Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya.
Maksud Mematuhi Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya adalah:
Wajib mematuhi Prinsip, Syarat, Peraturan dan Adab yang Allah Ta'ala tetapkan — sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Masyaikh Ahlus Sunnah yang benar.
Maksudnya, sesuatu pekerjaan umum tidak akan menjadi ibadah hanya dengan niat ikhlas semata-mata tetapi wajib disertai kepatuhan kepada Prinsip, syarat dan peraturan Agama — Ahlus Sunnah yang benar.
Jika seseorang berniat ikhlas melakukan suatu pekerjaan tetapi perlaksanaannya melanggar prinsip, hukum, syarat dan adab yang Allah tetapkan, maka ia termasuk sia-sia atau boleh jadi haram dan berdosa apabila ternyata ia melanggar hukum syara'.
Setengah Ulama membuat syarat-syarat lain untuk sesuatu pekerjaan menjadi ibadah:
1. Niat ikhlas
2. Perlaksanaannya menurut pegangan Ahlus Sunnah
3. Pekerjaan tersebut diharuskan oleh Syara'
4. Hasilnya membawa manfaat kepada manusia
5. Tidak melanggar hukum asas Agama — tidak meninggalkan Ibadah asas Agama yang telah ditetapkan.
Pada hakikatnya kedua-dua penjelasan ini sama sahaja. Perkara 3, 4, 5 sudah pun termasuk di dalam ungkapan "Menepati Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya"
Bersambung siri 518 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment