■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 474)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 57:
Lalai dari Zikrullah
(Lupa kepada Allah)
..... sambungan.....
Penjelasan Tambahan: Akibat lupa kepada Allah, lalai dari mengingat Allah, tidak berzikir kepada Allah
Akibat Pertama : Nafsu Kejahatan Menguasai Hati
(1) Daripada huraian ringkas Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu, berkenaan jenis-jenis nafsu dan peranannya, kita memahami bahawa nafsu itu bukan satu macam, tetapi semuanya tujuh macam.
(2) Setiap nafsu dari yang tujuh macam ini berperanan meniupkan kejahatan ke dalam hati manusia dengan berbagai cara dan pendekatan. Kejahatan yang dimaksudkan adalah mengajak manusia kepada kefasikan (berbuat dosa-dosa), kesesatan (mengikut kelompok 72 golongan sesat — Khawarij (wahhabiyyah), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah dan lainnya) dan kekafiran.
(3) Asal perangai nafsu adalah menyeru kepada kejahatan, iaitu ingkar kepada Allah. Tetapi apabila hamba Allah itu berzikir (menurut kaifiyyatnya pada Toriqat, Tasawwuf), maka nafsu-nafsu kejahatan akan hilang atau musnah atau jadi lemah. Apabila dia berhenti berzikir, maka nafsu-nafsu akan kembali berkuasa semula menyeru kepada kejahatan.
(4) Penjelasan lain bagi gambarkan nafsu-nafsu manusia adalah seperti berikut :
Sekalian nafsu menerima dua macam pancaran :
Pertama : Pancaran kejahatan daripada nafsu Ammarah.
Kedua : Pancaran kebaikan daripada Cahaya Iman yang terhasil daripada Zikrullah (Ingat Allah terus-menerus).
Apabila pancaran nafsu Ammarah (ibu segala nafsu) meniup kepada sekalian nafsu-nafsu, maka dia berperangai dengan kejahatan — membawa kepada kefasikan, kesesatan dan kekafiran. Sebaliknya apabila cahaya Iman meniup kepada nafsu-nafsu, maka dia berperangai dengan kebaikan, keimanan dan ketaqwaan.
Catitan penting :
Pancaran kejahatan seringkali datang juga dari bisikan Syaitan. Syaitan manipulasi unsur kejahatan dalam nafsu Ammarah untuk menarik manusia kepada kefasikan dan kekafiran. (akan datang huraian lain)
(5) Cara lain memahami hakikat nafsu adalah :
Nafsu-nafsu seakan-akan mempunyai dua wajah, seperti sebuah talam — ada muka sebelah atas dan muka sebelah bawah ;
Diibaratkan wajah di atas adalah wajah kebaikan. Ini adalah wajah keimanan dan Taqwa. Wajah kedua di sebelah bawah adalah kejahatan, kefasikan, kesesatan dan kekafiran.
Apabila cahaya Zikrullah memancar pada nafsu-nafsu, maka keluarlah padanya wajah-wajah kebaikan iaitu sebelah atasnya berkuasa, maka jadilah dia berperangai dengan keimanan dan ketaqwaan.
Sebaliknya apabila kegelapan nafsu Ammarah meniup kepada nafsu-nafsu, maka yang berkuasa sekarang adalah wajah yang dibawahnya, maka jadilah dia berperangai dengan kefasikan dan kekafiran, iaitu menentang Allah.
(6) Kunci memahami keadaan ini adalah :
Barangsiapa berzikir Allah Allah di dalam hati terus-menerus dan berzikir sungguh-sungguh, pada setiap masa dan keadaan, maka selamatlah orang itu daripada kejahatan nafsu-nafsu. Sebaliknya apabila dia lalai, leka, lupa akan ingat Allah (tidak berzikir, enggan berzikir, malas berzikir), maka ketika itu nafsu-nafsu jahat yang menguasainya.
Bahaya besar yang akan menimpa seseorang yang lalai, leka, abaikan Zikrullah adalah nafsu-nafsu jahat menguasai hati dan menarik seseorang kepada kekafiran sekaligus masuk Kemurkaan Allah. Wal Iyazubillah.
(7) Pengetahuan dari hal hati, nafsu-nafsu jahat, serta bisikan-bisikan yang menarik manusia kepada kefasikan dan kekufuran dan cara-cara memerangi nafsu-nafsu jahat ini hanya wujud di dalam Ilmu Toriqat (Tasawwuf). Oleh kerana inilah sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah sepakat bahawa amalkan Toriqat (Tasawwuf) dengan pimpinan Guru yang benar-benar Arif (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah wajib.
Bersambung siri 475 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment